Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Ibrani 4:12—“Firman [Tuhan] Hidup dan Berkuasa”

Ibrani 4:12—“Firman [Tuhan] Hidup dan Berkuasa”

 “Firman Tuhan itu hidup, berkuasa, dan lebih tajam daripada mana-mana pedang bermata dua. Firman Tuhan dapat menusuk dan memisahkan rupa luar seseorang daripada apa yang ada dalam hatinya. Firman Tuhan juga dapat menusuk dan memisahkan sendi-sendi daripada tulang sumsum, dan dapat menilai fikiran dan niat hati seseorang.”—Ibrani 4:12, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Firman [Tuhan] hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang dua mata, menembusi ke garis pemisah nyawa dan roh, sendi dan sumsum, serta mengenal antara fikiran dan niat di hati.”—Ibrani 4:12, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Ibrani 4:12

 Mesej Tuhan yang dicatatkan dalam Bible mempunyai kuasa untuk mendedahkan fikiran dan niat hati kita yang sebenar. Mesej itu juga dapat mengubah seseorang menjadi insan yang lebih baik.

 “Firman Tuhan itu hidup.” Ungkapan “firman Tuhan” merujuk kepada kata-kata Tuhan, janji-Nya, atau tujuan-Nya, seperti yang tercatat dalam Bible. a Tujuan Tuhan termasuk kehendak-Nya agar manusia yang taat hidup bersatu padu buat selama-lamanya di bumi dalam suasana yang damai.—Kejadian 1:28; Mazmur 37:29; Wahyu 21:3, 4.

 Apakah maksud firman Tuhan itu “hidup”? Firman Tuhan dapat memberikan kesan yang besar kepada orang yang menerimanya dan memberi mereka harapan dan tujuan hidup. (Ulangan 30:14; 32:47) Firman Tuhan juga “hidup” kerana Tuhan yang hidup sedang bertindak untuk menunaikan janji-Nya. (Yohanes 5:17) Tidak seperti manusia, Tuhan tidak menjanjikan sesuatu lalu melupakannya, atau mendapati bahawa Dia tidak dapat menunaikannya. (Bilangan 23:19) Firman-Nya “tidak akan kembali [kepada-Nya] dengan sia-sia.”—Yesaya 55:10, 11.

 “Firman Tuhan . . . berkuasa.” Perkataan “berkuasa” juga boleh diterjemahkan sebagai “aktif” atau “melaksanakan apa-apa yang dikehendaki.” Maka, apa sahaja yang dikatakan atau dijanjikan oleh Tuhan Yehuwa b pasti menjadi kenyataan. (Mazmur 135:6; Yesaya 46:10) Sebenarnya, Dia mampu menunaikan janji-Nya dalam cara yang tidak pernah kita jangkakan.—Efesus 3:20. c

 Firman Tuhan juga “berkuasa” kerana dapat membantu orang yang menghormatinya untuk membuat perubahan dalam hidup dan keperibadian mereka. Firman Tuhan menjadi sebati dengan diri mereka lalu mempengaruhi pemikiran, gaya hidup, dan matlamat hidup mereka. (Roma 12:2; Efesus 4:24) Dengan demikian, firman Tuhan “bekerja dalam diri” orang yang menerimanya sebagai “perkhabaran daripada Tuhan.”—1 Tesalonika 2:13.

 “Firman Tuhan . . . lebih tajam daripada mana-mana pedang bermata dua.” Secara kiasan, firman Tuhan lebih tajam daripada mana-mana pedang yang dibuat oleh manusia. Tidak seperti ajaran manusia, firman Tuhan dapat menyentuh hati, atau batin, seseorang dengan jauh lebih berkesan. Mari kita lihat apa yang dinyatakan seterusnya di Ibrani 4:12.

 “Firman Tuhan dapat menusuk dan memisahkan rupa luar seseorang daripada apa yang ada dalam hatinya. Firman Tuhan juga dapat menusuk dan memisahkan sendi-sendi daripada tulang sumsum.” Secara kiasan, “firman Tuhan” dapat menusuk “tulang sumsum” yang merujuk kepada perasaan dan pemikiran kita yang paling dalam. Dengan membantu kita melihat diri kita yang sebenar, ajaran Yehuwa menggerakkan kita untuk membuat perubahan dalam hidup kita. Hal ini menyenangkan hati Yehuwa dan membawa sukacita kepada kita.

 “Firman Tuhan juga . . . dapat menilai fikiran dan niat hati seseorang.” Reaksi seseorang terhadap apa yang difirmankan oleh Tuhan dapat menunjukkan fikiran dan niat hati sebenarnya. Itulah hal-hal yang mempengaruhi kelakuan dan tindak-tanduknya. Sebagai contoh, jika seseorang sudi mendengar firman Tuhan dan mengubah kehidupannya, hal itu menunjukkan bahawa dia rendah hati, ikhlas, dan ingin menggembirakan hati Tuhan. Namun, jika dia cuba mencari kesalahan firman Tuhan, hal itu mungkin menunjukkan bahawa dia sombong, mementingkan diri, atau cuba mencari alasan untuk melakukan sesuatu yang tidak disenangi Tuhan.—Yeremia 17:9; Roma 1:24-27.

 Sebuah rujukan Bible menyatakan bahawa firman Tuhan “dapat mencapai lubuk hati atau bahagian diri kita yang paling dalam.” Tiada apa-apa dalam diri kita yang tersembunyi daripada Tuhan atau yang tidak dapat disingkapkan oleh firman-Nya. Ibrani 4:13 kata, “Segala sesuatu jelas kelihatan dan terdedah di mata-Nya, dan kita mesti memberikan pertanggungjawaban kepada-Nya.”

Konteks Ibrani 4:12

 Buku Ibrani ditulis oleh Rasul Paulus pada sekitar tahun 61 Masihi dan ditujukan kepada orang Kristian berbangsa Yahudi yang tinggal di Yerusalem dan Yudea.

 Di bab 3 dan 4, Paulus menyebut tentang orang Israel kuno dan menggunakan contoh mereka sebagai amaran bagi orang Kristian. (Ibrani 3:8-12; 4:11) Yehuwa berjanji untuk membebaskan orang Israel daripada perhambaan dan membawa mereka ke Tanah yang Dijanjikan supaya mereka dapat “hidup dengan aman.” (Ulangan 12:9, 10) Namun, orang Israel yang keluar dari Mesir berulang kali menunjukkan bahawa mereka tidak beriman terhadap janji Tuhan dan selalu melanggar perintah-Nya. Akibatnya, mereka ‘tidak dapat menikmati hari rehat Tuhan’ dan tidak mempunyai hubungan yang damai dengan-Nya. Sebaliknya, mereka telah mati di padang belantara. Walaupun keturunan mereka mewarisi Tanah yang Dijanjikan, generasi-generasi yang berikutnya masih suka mengingkari Tuhan. Akibatnya, bangsa Israel dihukum dengan berat.—Nehemia 9:29, 30; Mazmur 95:9-11; Lukas 13:34, 35.

 Paulus menjelaskan bahawa orang Kristian harus mengambil iktibar daripada orang Israel kuno yang tidak setia kepada Yehuwa. Jika kita mematuhi firman-Nya dan beriman kepada janji-janji-Nya, kita dapat menikmati hari rehat Tuhan dan mendapat perkenan-Nya.—Ibrani 4:1-3, 11.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Ibrani.

a Dalam konteks Ibrani 4:12, ungkapan “firman Tuhan” tidak merujuk kepada seluruh Bible sahaja. Namun, memandangkan janji-janji Tuhan dicatatkan dalam Bible, ungkapan “firman Tuhan” di Ibrani 4:12 juga merangkumi seluruh Bible.

b Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?