AYAT BIBLE DIJELASKAN
Pengkhutbah 3:11—“Tuhan Telah Membuat Segala Sesuatu dengan Baik, Tepat pada Waktunya”
“Tuhan telah membuat segala sesuatu dengan baik, tepat pada waktunya. Dia telah menyematkan keabadian ke dalam hati manusia. Meskipun demikian, manusia masih tidak dapat memahami perbuatan Tuhan yang benar dengan sepenuhnya.”—Pengkhutbah 3:11, Terjemahan Dunia Baharu.
‘Dia menjadikan segala sesuatu indah pada waktunya, malah Dia meletakkan keabadian dalam hati mereka. Namun begitu, manusia tidak dapat menyelami pekerjaan yang dilakukan Tuhan dari awal hingga akhir.’—Pengkhutbah 3:11, Alkitab Versi Borneo.
Maksud Pengkhutbah 3:11
“Tuhan telah membuat segala sesuatu dengan baik, tepat pada waktunya.” Perkataan Ibrani yang diterjemahkan “baik” atau “indah” bukan sekadar merujuk kepada kecantikan luaran, tetapi juga boleh diterjemahkan sebagai “teratur” atau “sesuai.” (Pengkhutbah 3:11) Perbuatan Tuhan yang indah tidak hanya merangkumi hal-hal yang diciptakan-Nya, tetapi juga semua yang dilakukan-Nya untuk melaksanakan tujuan-Nya.—Daniel 2:21; 2 Petrus 3:8; Wahyu 4:11.
“Dia telah menyematkan keabadian ke dalam hati manusia.” Tuhan menciptakan manusia untuk hidup selama-lamanya. (Mazmur 37:29) Maka, tidak hairanlah Tuhan menyematkan keinginan itu dalam diri mereka. Namun, pasangan manusia yang pertama, iaitu Adam dan Hawa, telah mengingkari Tuhan. Akibatnya, mereka dan keturunan mereka mengalami kematian. (Kejadian 3:17-19; Roma 5:12) Namun, Tuhan berjanji untuk “memuaskan keinginan semua makhluk hidup,” termasuk keinginan manusia untuk hidup selama-lamanya. (Mazmur 145:16) Bible menerangkan apa yang dilakukan oleh Yehuwa supaya manusia dapat memperoleh semula harapan untuk hidup kekal.—Roma 6:23.
“Manusia masih tidak dapat memahami perbuatan Tuhan yang benar dengan sepenuhnya.” Kebijaksanaan Tuhan sangat mendalam dan mengagumkan sehingga Bible berkata bahawa ‘tiada sesiapa pun yang dapat memahaminya.’ (Roma 11:33) Namun, Tuhan sudi menyingkapkan tujuan-Nya kepada orang yang ingin menyenangkan hati-Nya.—Amos 3:7.
Konteks Pengkhutbah 3:11
Buku Pengkhutbah ditulis oleh Raja Salomo dari Israel kuno. Dia terkenal kerana kebijaksanaannya yang dikurniakan Tuhan. Buku ini mengandungi nasihat praktikal tentang hal-hal yang bermanfaat dalam hidup dan hal-hal yang tidak berguna. (Pengkhutbah 1:2, 3; 2:1, 17; 7:1; 12:1, 13) Di bab 3, Salomo menggambarkan beberapa kitaran hidup di bumi. Bab itu menyebut tentang aktiviti dan pekerjaan yang berbeza-beza. (Pengkhutbah 3:1-8, 10) Tuhan telah memberi manusia kebebasan untuk memilih aktiviti yang ingin dilakukan oleh mereka dan bila mereka akan melakukannya. (Ulangan 30:19, 20; Yosua 24:15) Namun, Salomo menerangkan bahawa manusia hanya dapat menikmati hasil kerja keras mereka jika mereka mengikut tujuan Tuhan dan menghormati “waktu yang tertentu,” iaitu waktu yang telah ditentukan Tuhan. Menurut Salomo, nikmat ini ialah “pemberian daripada Tuhan.”—Pengkhutbah 3:1, 12, 13.
Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Pengkhutbah.