AYAT BIBLE DIJELASKAN
Yohanes 3:16—“Tuhan Begitu Mengasihi Dunia Ini”
“Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.”—Yohanes 3:16, Terjemahan Dunia Baharu.
‘Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.’—Yohanes 3:16, Alkitab berita baik.
Maksud Yohanes 3:16
Tuhan begitu mengasihi kita dan mahu kita hidup selama-lamanya. Oleh sebab itu, Dia mengutus anak-Nya, Yesus Kristus, ke bumi. Semasa di bumi, Yesus melakukan banyak kerja yang penting. Salah satu perkara yang dilakukan oleh Yesus ialah mengajar pengikutnya tentang Tuhan dan Bapanya. (1 Petrus 1:3) Dia juga mengorbankan nyawanya untuk manusia. Jadi kita harus beriman kepada Yesus agar mendapat kehidupan yang kekal.
Ungkapan “Dia memberikan Anak tunggal-Nya” menunjukkan betapa dalamnya kasih Tuhan. a Yesus ialah Anak Tuhan yang sangat istimewa, kerana dia sahajalah yang diciptakan oleh Tuhan sendiri. (Kolose 1:17) Dia ialah “anak sulung antara semua ciptaan.” (Kolose 1:15) Semua ciptaan yang lain, termasuk para malaikat, diciptakan melalui Yesus. Namun, Tuhan Yehuwa b rela mengutus anak-Nya yang dikasihi untuk “melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.” (Matius 20:28) Oleh sebab kita mewarisi dosa dan kematian daripada manusia yang pertama, Adam, Yesus telah menderita dan mati untuk membebaskan kita daripada dosa dan kematian.—Roma 5:8, 12.
Beriman kepada Yesus bukan sekadar mempercayainya atau mengakui apa yang telah dilakukannya bagi kita. Kita mesti membuktikan iman kita kepada anak Tuhan dengan mentaatinya dan meniru teladannya. (Matius 7:24-27; 1 Petrus 2:21) Bible berkata, “Sesiapa yang beriman kepada Anak akan meraih kehidupan kekal, tetapi sesiapa yang tidak patuh kepada Anak tidak akan meraih kehidupan.”—Yohanes 3:36.
Konteks Yohanes 3:16
Yesus mengucapkan kata-kata itu semasa bercakap dengan seorang pemimpin agama Yahudi yang bernama Nikodemus. (Yohanes 3:1, 2) Dalam perbualan mereka, Yesus menjelaskan tentang Kerajaan Tuhan c dan tentang “dilahirkan semula.” (Yohanes 3:3) Yesus juga menubuatkan bagaimana dia akan mati. “Anak manusia mesti digantungkan supaya semua orang yang percaya kepadanya boleh mendapat kehidupan kekal.” (Yohanes 3:14, 15) Kemudian dia menekankan bahawa kerana kasih Tuhan yang agung terhadap manusia, manusia berpeluang untuk memperoleh kehidupan yang kekal. Yesus mengakhiri perbualan itu dengan menjelaskan bahawa untuk mendapat kehidupan kekal, kita mesti menunjukkan iman dan melakukan perkara yang menyenangkan hati Tuhan.—Yohanes 3:17-21.
a Perkataan Yunani untuk “tunggal” ialah monogenes, yang bermaksud “hanya satu, . . . satu-satunya daripada suatu golongan atau jenis, unik.”—A Greek-English Lexicon of the New Testament and Other Early Christian Literature, ms. 658.
b Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.
c Kerajaan Tuhan juga dipanggil sebagai “Kerajaan di syurga.” Kerajaan ini ialah sebuah pemerintahan yang didirikan di syurga. (Matius 10:7; Wahyu 11:15) Tuhan melantik Kristus sebagai Raja Kerajaan ini. Melalui Kerajaan ini, Tuhan akan melaksanakan kehendak-Nya di bumi. (Daniel 2:44; Matius 6:10) Untuk maklumat lanjut, sila lihat rencana “Apakah itu Kerajaan Tuhan?”