Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA

Bercakap kepada Anak-Anak tentang Minuman Keras

Bercakap kepada Anak-Anak tentang Minuman Keras

 “Sewaktu anak perempuan kami berusia enam tahun, kami bercakap tentang minuman beralkohol dengannya buat kali pertama. Kami terkejut kerana dia tahu begitu banyak tentang hal ini.”​—Alexander.

 Apa yang perlu anda ketahui

 Pentingnya bercakap kepada anak anda tentang alkohol. Jangan tunggu sehingga anak anda sudah remaja. Khamit, dari Rusia, berkata, “Amat penting untuk bercakap kepada anak-anak tentang penggunaan alkohol sejak mereka kecil. Saya mendapati bahawa anak lelaki saya sering minum alkohol semenjak dia berusia 13 tahun. Kami menyesal kerana tidak bercakap tentang hal ini semasa dia masih kecil.”

 Mengapakah anda harus prihatin tentang hal ini?

  •   Rakan sekolah, iklan, dan rancangan TV dapat mempengaruhi pandangan anak anda tentang alkohol.

  •   Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit A.S., sebanyak 11 peratus alkohol di Amerika Syarikat diminum oleh orang di bawah umur.

 Itulah sebabnya pegawai kesihatan mencadangkan agar ibu bapa mengajar anak-anak mereka yang masih kecil tentang bahaya alkohol. Bagaimanakah caranya?

 Apa yang dapat anda lakukan

 Fikirkan terlebih dahulu soalan yang mungkin ditanyakan oleh anak anda. Rasa ingin tahu anak-anak kecil memang kuat, tetapi rasa ingin tahu anak remaja jauh lebih kuat. Oleh itu, anda patut membuat persediaan terlebih dahulu untuk menjawab soalan mereka. Contohnya:

  •   Jika anak anda ingin tahu bagaimana rasanya sesuatu minuman beralkohol, anda boleh menjawab bahawa wain adalah seperti jus buah-buahan yang masam, dan bir pula agak pahit.

  •   Jika dia mahu merasainya sendiri, anda boleh berkata bahawa alkohol tidak bagus untuk kesihatan kanak-kanak. Anda juga boleh menyatakan kesan alkohol, seperti alkohol dapat membuat seseorang menjadi relaks, tetapi jika dia minum terlalu banyak, dia akan berasa pening dan bercakap atau bertindak dalam cara yang memalukan.​—Amsal 23:29-​35.

 Anda sendiri harus menimba pengetahuan. Bible menyatakan, “Orang bijak bertindak berdasarkan pengetahuan.” (Amsal 13:16) Jika anda ingin membantu anak anda, anda sendiri haruslah memahami kesan-kesan alkohol dan undang-undang yang berkenaan dengan alkohol.

 Ambillah inisiatif untuk berbincang tentang topik ini. Mark, seorang bapa dari Britain, berkata, “Anak-anak keliru tentang alkohol. Anak saya berusia lapan tahun, dan saya pernah bertanya kepadanya sama ada kita patut minum alkohol atau tidak. Saya bersikap tenang semasa menanyakan soalan ini, dan hal ini membantunya untuk meluahkan pendapatnya secara jujur.”

 Anda boleh menyesuaikan perbincangan sedemikian berdasarkan umur anak anda, dan anda mungkin perlu membincangkannya buat beberapa kali. Semasa berbincang tentang alkohol, anda juga boleh menyentuh tentang topik-topik yang lain, seperti keselamatan di jalan raya dan pendidikan seks.

 Jadilah teladan yang baik. Kanak-kanak adalah seperti span yang menyerap apa yang ada di sekeliling mereka. Kajian menunjukkan bahawa ibu bapa meninggalkan pengaruh yang terbesar atas diri anak-anak mereka. Hal ini bererti bahawa jika anda minum alkohol untuk menenangkan diri atau mengurangkan stres, anak anda mungkin akan berfikir bahawa alkohol dapat menyelesaikan masalah kehidupan. Maka jadilah contoh yang baik bagi anak anda. Pastikan bahawa anda tidak minum alkohol secara berlebihan.

Teladan anda dapat mempengaruhi pandangan anak-anak anda tentang alkohol