Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Bible Dapat Membantu Saya?​—Bahagian 2: Jadikan Pembacaan Bible Sesuatu yang Menyeronokkan

Bagaimanakah Bible Dapat Membantu Saya?​—Bahagian 2: Jadikan Pembacaan Bible Sesuatu yang Menyeronokkan

 Seorang remaja yang bernama Will berkata, “Pembacaan Bible boleh membosankan jika kamu tidak tahu cara yang betul untuk melakukannya.”

 Adakah kamu ingin tahu rahsia untuk menikmati pembacaan Bible? Rencana ini dapat membantu kamu.

 Hayati Ayat-Ayat Bible

 Bagaimanakah kamu boleh menjadikan ayat-ayat Bible hidup semasa membaca Bible? Cubalah langkah-langkah berikut:

  1.   Pilih suatu kisah Bible yang kamu ingin baca. Kamu boleh pilih suatu peristiwa Bible, contohnya sebuah kisah tentang kehidupan Yesus semasa dia di bumi, atau salah satu rakaman Pembacaan Bible yang Dramatik yang terdapat di jw.org.

  2.   Baca kisah tersebut. Kamu boleh membacanya sendiri, atau bersama kawan atau ahli keluarga. Salah seorang boleh membaca bahagian ulasan, manakala orang lain boleh membaca dialog watak-watak dalam kisah itu.

  3.   Cubalah cadangan-cadangan berikut:

    •   Lukis gambar tentang kisah tersebut. Kamu juga boleh melukis gambar yang ringkas seperti komik untuk menggambarkan urutan ceritanya. Tuliskan secara ringkas tentang apa yang sedang berlaku dalam setiap gambar.

    •   Lukis gambar rajah. Contohnya, setelah kamu membaca kisah tentang seorang hamba Tuhan, kamu boleh catatkan sifat-sifat dan perbuatannya yang baik, lalu kaitkan hal itu dengan berkat yang dia terima.

    •   Jadikan kisah itu seperti sebuah laporan berita. Kamu boleh melaporkan peristiwa itu dari pelbagai sudut pandangan, dan juga “menemu-ramah” watak utama dan saksi-saksi dalam kisah itu.

    •   Jika salah satu watak dalam kisah itu telah membuat keputusan yang kurang bijak, bayangkan apakah kesudahannya jika dia membuat keputusan yang betul. Contohnya, fikirkan tentang Petrus semasa dia menyangkal Yesus. (Markus 14:66-​72) Apakah yang patut Petrus lakukan pada masa itu semasa dia di bawah tekanan?

    •   Jika kamu ingin lakukan sesuatu yang kreatif, kamu boleh cuba mencipta suatu jalan cerita drama berdasarkan kisah Bible yang telah kamu baca. Kamu boleh masukkan pengajaran daripada kisah itu ke dalam cerita drama.​—Roma 15:4.

      Jadikanlah amalan pembacaan Bible kamu sesuatu yang menyeronokkan!

 Selidiklah!

 Jika kamu mengkaji Bible secara terperinci, kamu akan menemui permata rohani yang terpendam. Kadang kala, terdapat satu atau dua perkataan yang boleh membuat suatu kisah itu sangat bermakna.

 Sebagai contoh, bandingkan Matius 28:7 dengan Markus 16:7.

  •    Mengapakah Markus menyebut bahawa Yesus akan berjumpa dengan Petrus dan murid-muridnya? Mengapakah Petrus disebut secara berasingan?

  •  Petunjuk: Markus tidak menyaksikan peristiwa itu sendiri, sebaliknya dia mendapat maklumat daripada Petrus.

  •  Permata rohani yang terpendam: Mengapakah Petrus pasti berasa lega hati apabila dia tahu Yesus ingin berjumpa dengan dia lagi? (Markus 14:66-​72) Bagaimanakah Yesus membuktikan diri sebagai seorang sahabat sejati kepada Petrus? Bagaimanakah kamu boleh mencontohi Yesus dan menjadi seorang sahabat sejati bagi orang lain?

 Apabila kamu menghayati ayat-ayat Bible dan membuat penyelidikan secara terperinci, kamu pasti akan lebih menikmati pembacaan Bible!