Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Belajar untuk Menumpukan Perhatian?

Bagaimanakah Saya Dapat Belajar untuk Menumpukan Perhatian?

 Mengapakah saya susah untuk berfokus?

 “Dulu saya suka baca buku, tapi sekarang baca perenggan yang panjang pun saya tidak suka.”—Elaine.

 “Jika saya rasa video itu membosankan, saya akan lajukan video itu supaya cepat habis.”—Miranda.

 “Bila saya sedang fokus buat sesuatu dan tiba-tiba telefon saya berbunyi, saya akan asyik fikir, ‘Siapa yang mesej saya?’”—Jane.

 Adakah teknologi menyebabkan kita lebih susah untuk bertumpu? Sesetengah orang menjawab, “Ya.” Nicholas Carr, seorang pengarang dan konsultan, menulis, “Jika kita selalu guna Internet, perhatian kita akan lebih senang tersimpang. Otak kita mungkin dapat proses maklumat dengan lebih cepat, tetapi kita gagal memberikan tumpuan yang sepenuhnya.” a

 Perhatikan bagaimana teknologi mungkin mengganggu tumpuan kamu dalam tiga situasi berikut:

  •   Semasa berbual. “Orang akan SMS, main game, atau tengok media sosial di telefon, bahkan semasa sedang berbual dengan seseorang. Mereka tidak berikan perhatian sepenuhnya terhadap orang itu,” kata Maria.

  •   Semasa dalam kelas. Buku Digital Kids menyatakan, “Semasa dalam kelas, banyak pelajar menggunakan alat elektronik mereka untuk SMS, melayari Internet, dan membaca atau melihat hal-hal yang tidak berkaitan dengan pelajaran mereka.” Mereka guna alat-alat itu “bukan untuk tujuan pendidikan.”

  •   Semasa belajar. “Saya akan tengok telefon saya setiap kali telefon berbunyi. Hati saya tidak tenang selagi saya tidak periksanya,” kata Chris yang berumur 22 tahun. Jika alat elektronik mengganggu fokus kamu, kerja sekolah yang boleh dibuat dalam sejam akan mengambil masa tiga jam atau lebih untuk disiapkan.

 Kesimpulannya: Kamu akan berasa lebih susah untuk bertumpu jika kamu membiarkan alat elektronik mengganggu dan mengawal kehidupan kamu.

Minda yang tidak fokus adalah seperti kuda liar yang tidak terkawal

 Cara meningkatkan fokus kamu

  •   Semasa berbual. Bible menyatakan, “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.” (Filipi 2:4) Jika kamu mendengar dengan teliti semasa orang bercakap, kamu menunjukkan bahawa kamu peduli terhadap mereka. Cubalah pandang mata mereka semasa bercakap, dan jangan biarkan perhatian kamu diganggu oleh alat elektronik.

     “Semasa berbual dengan seseorang, elakkan daripada melihat telefon kamu. Tunjukkan hormat kepadanya dengan beri dia tumpuan yang sepenuhnya.”—Thomas.

     TIP: Semasa berbual, simpanlah telefon kamu. Para penyelidik menyatakan bahawa meletakkan telefon berhampiran kamu akan membuat perhatian kamu senang diganggu.

  •   Semasa dalam kelas. Bible menyatakan, “Perhatikanlah cara kamu mendengar.” (Lukas 8:18) Jika sekolah kamu mengizinkan pelajar guna Internet dalam kelas, ingatlah nasihat Bible itu. Jangan baca mesej, main game, atau chat semasa belajar.

     “Berikan tumpuan semasa dalam kelas, dan cubalah untuk menulis nota. Jika dapat, duduklah di barisan depan agar kamu lebih senang berfokus.”—Karen.

     TIP: Cubalah ambil nota dengan menggunakan pen dan kertas, dan bukannya melalui komputer. Penyelidik menyatakan bahawa cara itu akan membantu kamu lebih berfokus dan senang mengingati apa yang dipelajari.

  •   Semasa belajar. Bible menyatakan, “Hendaklah kamu memperoleh kebijaksanaan dan pengertian.” (Amsal 4:5) Oleh itu, kamu perlu berfikir secara mendalam dan bukan hanya membaca dengan cepat atau sepintas lalu.

     “Semasa belajar, saya akan ubah tetapan tablet saya ke mod penerbangan dan fokus kepada tugasan saya. Saya juga tidak akan lihat notifikasi. Jika saya teringat sesuatu yang perlu dilakukan, saya akan catatkannya.”—Chris.

     TIP: Semasa belajar, pilihlah tempat yang kurang gangguan. Pastikan tempat itu bersih dan kemas.

a Daripada buku The Shallows—What the Internet Is Doing to Our Brains.