KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah Saya Dapat Berhenti Berfikir tentang Seks?
“Saya tiba-tiba mula berfikir tentang seks dan tidak dapat berfikir tentang hal-hal lain. Saya berasa seolah-olah ada orang lain yang sedang mengawal pemikiran saya.”—Vera.
“Lebih senang untuk belajar terbang daripada berhenti berfikir tentang seks.”—John.
Adakah kamu mempunyai perasaan yang sama dengan perasaan Vera atau John? Jika ya, rencana ini dapat membantu kamu.
Mengapakah kita tidak patut asyik berfikir tentang seks?
“Pak cik saya beritahu saya bahawa jika Tuhan menciptakan manusia dengan keinginan seks, Dia pasti mahu manusia memuaskan keinginan itu,” kata seorang pemuda yang bernama Alex.
Sebahagian daripada apa yang dikatakan oleh pak cik Alex memang betul—Tuhan telah memberi kita keinginan seksual dan Dia mahu kita memuaskannya dalam cara yang betul. Manusia wujud hari ini kerana pemberian Tuhan ini. Jika demikian, mengapakah kita tidak patut asyik berfikir tentang seks? Berikut merupakan dua sebab yang baik:
Bible mengajar kita bahawa hanya pasangan suami isteri yang telah berkahwin boleh menikmati hubungan seks.—Kejadian 1:28; 2:24.
Jika kamu masih bujang dan kamu asyik berfikir tentang seks, kamu akan menyeksa diri sendiri kerana tidak dapat memuaskan keinginan seks kamu. Lagipun, kamu akan senang tergoda untuk mengadakan hubungan seks dan kamu pasti akan menyesali keputusan kamu.
Jika kamu berusaha untuk mengawal pemikiran kamu, kamu akan belajar untuk memupuk sifat kawalan diri yang sangat penting dalam semua aspek kehidupan.—1 Korintus 9:25.
Sifat kawalan diri akan membantu kamu menikmati kehidupan yang lebih memuaskan. Satu kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai kawalan diri jarang mempunyai masalah kesihatan yang serius, masalah kewangan, atau masalah dengan pihak berkuasa apabila mereka sudah dewasa. a
Mengapakah susah untuk berhenti berfikir tentang seks?
Hormon dan dunia kita yang gila seks membuat orang susah mengawal nafsu seks.
“Hampir semua rancangan TV menggalakkan perbuatan seks sebelum berkahwin dan menunjukkan seolah-olah hal itu tiada akibat buruknya. Kamu senang tergoda untuk berfikir tentang seks jika kamu asyik diberitahu bahawa hal itu OK.”—Ruth.
“Di tempat kerja, orang asyik berbual tentang hal yang lucah. Rasa ingin tahu saya tentang seks menjadi kuat. Banyak orang anggap perbuatan seks yang tidak bermoral sebagai sesuatu yang normal, jadi susah bagi saya untuk berfikir bahawa hal itu salah.”—Nicole.
“Semasa kamu melihat gambar-gambar di media sosial, kamu mungkin lupa untuk terus berwaspada terhadap gambar-gambar yang tidak senonoh. Tapi, jika kamu lihat satu gambar lucah sahaja, gambar itu akan terpahat di fikiran kamu buat masa yang lama!”—Maria.
Oleh itu, kamu mungkin setuju dengan kata-kata Rasul Paulus. Dia menulis, “Apabila aku mahu melakukan apa yang baik, apa yang jahat ada padaku.”—Roma 7:21.
Apa yang dapat kamu lakukan
Fikir tentang hal-hal yang lain. Cuba mengalihkan fikiran kamu kepada hal-hal yang lain, seperti hobi, sukan, senaman, atau aktiviti-aktiviti yang lain. Seorang wanita muda yang bernama Valerie berkata, “Membaca Bible membantu saya.” Dia menyambung, “Bible mengandungi fikiran Tuhan. Semasa kamu berfikir tentang kata-kata Tuhan, kamu tidak akan berfikir tentang hal-hal yang lain.”
Memang normal bagi kita untuk terfikir tentang seks dari masa ke masa. Tetapi kamu dapat memilih sama ada kamu mahu melayan fikiran sedemikian atau tidak. Keputusannya dalam tangan kamu.
“Semasa saya mula berfikir tentang seks, saya memaksa diri saya untuk berfikir tentang hal yang lain. Saya juga akan cuba mengenal pasti apa yang telah menimbulkan pemikiran yang salah itu. Jika hal itu disebabkan oleh lagu atau gambar tertentu dalam alat elektronik saya, saya akan memadamkannya.”—Helena.
Prinsip Bible: ‘Teruslah memikirkan semua perkara yang diperkenankan Tuhan dan semua perkara yang murni.’—Filipi 4:8.
Pilih kawan yang baik. Jika kawan-kawan kamu asyik bercakap tentang seks, susah bagi kamu untuk berfikir tentang hal-hal yang baik.
“Semasa saya seorang remaja, saya tidak dapat mengawal pemikiran saya kerana pengaruh buruk kawan-kawan saya. Jika kamu dikelilingi orang yang menggalakkan kamu untuk berfikir tentang hal yang salah, hal itu seperti menambahkan minyak pada api.”—Sarah.
Prinsip Bible: “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak, tetapi orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.”—Amsal 13:20.
Hindari hiburan yang tidak sihat. Hampir setiap aspek dunia hiburan mempunyai unsur seks. “Muzik amat mempengaruhi saya,” kata Nicole. “Muzik dapat membangkitkan nafsu seks sehingga saya rasa susah untuk mengawalnya.”
“Saya mula menonton filem dan rancangan TV yang mempunyai unsur seks. Tanpa disedari, saya asyik berfikir tentang seks. Saya mendapati bahawa fikiran sedemikian berpunca daripada filem dan rancangan TV yang telah saya tonton. Selepas saya berhenti menonton filem dan rancangan TV sedemikian, saya jarang berfikir tentang seks. Jika kamu memilih hiburan kamu dengan cermat, kamu akan mempunyai pemikiran yang murni.”—Joanne.
Prinsip Bible: “Jangan ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang menyebut tentang perbuatan seks yang tidak bermoral, ketamakan, atau setiap jenis kenajisan.”—Efesus 5:3.
Kesimpulan: Ada orang berasa bahawa mereka tidak patut—dan tidak dapat—mengawal nafsu seks mereka. Tetapi Bible menyatakan bahawa hal itu tidak benar. Bible menyatakan bahawa kita dapat mengawal pemikiran kita.
Prinsip Bible: “Hendaklah kamu terus membaharui cara kamu berfikir.”—Efesus 4:23.
a Kawalan diri bahkan diperlukan oleh orang yang sudah berkahwin. Maka kamu patut belajar untuk memupuk sifat ini semasa masih bujang.