Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bersahabat atau Berdating?​—Bahagian 2: Apakah Tanggapan yang Saya Berikan?

Bersahabat atau Berdating?​—Bahagian 2: Apakah Tanggapan yang Saya Berikan?

 Kamu selalu mendengar luahan hati kawan kamu. Kebelakangan ini, kamu sering berbual dengan salah seorang kawan kamu. Tetapi masalahnya, kawan itu berlawanan jantina. Jadi kamu berkata kepada diri sendiri, “Kami berkawan saja,” dan kamu berharap dia pun fikir begitu. Patutkah kamu berasa risau?

 Apa yang mungkin berlaku

 Memang tidak salah untuk mempunyai kawan yang berlawanan jantina. Tetapi bagaimana pula jika kamu lebih rapat dengannya berbanding kawan yang lain? Jika begitu, dia mungkin sangka bahawa kamu berminat terhadapnya.

 Adakah kamu ingin memberikan tanggapan sedemikian? Jika tidak, fikirlah beberapa hal yang mungkin menimbulkan salah faham.

  •   Kamu memberikan terlalu banyak perhatian kepadanya.

     “Biarpun kamu tidak dapat mengawal perasaan seseorang, kamu tidak sepatutnya berkata bahawa kamu hanya berkawan, padahal kamu selalu menelefon dan berbual dengan orang itu. Tindakan ini akan menimbulkan salah faham.”​—Sierra.

  •   Kamu selalu layan dia.

     “Bukan saya yang mula menghantar mesej kepada gadis itu, tapi saya selalu balas semua mesejnya. Jadi susah bagi saya untuk menjelaskan bahawa saya anggap dia kawan biasa saja.”​—Richard.

  •   Kamu suka dengan perhatian yang diberikannya.

     “Ada orang fikir bahawa tidak salah untuk bermain cinta. Mereka mempermainkan perasaan orang lain meskipun tidak berniat untuk berdating. Saya selalu nampak hal ini berlaku, dan pasti ada orang yang terluka.”​—Tamara.

 Kesimpulan: Jika kamu kerap berhubung dan selalu memberikan perhatian kepada seseorang, dia akan sangka bahawa kamu berminat terhadapnya.

 Mengapa kamu patut berfikir panjang

  •   Tindakan kamu akan melukai hati orang lain.

     Bible kata, “Harapan yang tidak tercapai memedihkan hati.” (Amsal 13:12, NW) Jika seseorang asyik menunjukkan bahawa dia berminat terhadap kamu, apakah yang akan kamu fikir?

     “Kadangkala orang suka memberikan harapan palsu. Hal ini boleh disamakan dengan seekor ikan yang sudah menggigit umpan tapi tidak ditangkap ataupun dilepaskan. Hal yang sama boleh berlaku dalam hubungan manusia. Kalau kamu tidak berminat untuk berdating tapi kamu terus memberikan harapan yang palsu kepada seseorang, kamu akan melukai perasaan orang itu.”​—Jessica.

  •   Tindakan kamu akan merosakkan reputasi kamu.

     Bible kata, “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.” (Filipi 2:4) Apakah pendapat kamu tentang seseorang yang hanya menjaga kepentingan dirinya? Bagaimanakah sikap ini akan mempengaruhi reputasinya?

     “Saya tidak suka pemuda yang bermain cinta. Tindakannya menunjukkan bahawa dia mungkin akan berlaku curang kelak. Orang sedemikian ego dan mementingkan diri kerana dia memperalatkan orang lain supaya dia berasa hebat.”​—Julia.

 Kesimpulan: Orang yang memberikan tanggapan bahawa dia berminat terhadap seseorang tetapi sebenarnya tidak berminat untuk berdating, bukan sahaja melukai orang lain, tetapi juga merosakkan reputasinya sendiri.

 Apa yang dapat kamu lakukan

  •   Bible menyuruh kita melayan ‘lelaki yang muda seolah-olah dia abang atau adik kita’ dan ‘wanita yang muda dengan hati yang murni, seolah-olah dia kakak atau adik kita.’ (1 Timotius 5:​1, 2) Jika kamu ikut prinsip ini, kamu dapat melindungi persahabatan kamu dengan kawan yang berlawanan jantina.

     “Jika saya sudah berkahwin, saya tidak akan bermain cinta dengan suami orang lain. Saya masih bujang, jadi memang baik bagi saya untuk belajar cara bergaul dengan orang yang berlawanan jantina sekarang.”​—Leah.

  •   Bible kata, “Semakin banyak bercakap, semakin besar kemungkinan berdosa.” (Amsal 10:19) Prinsip ini boleh diterapkan semasa kamu berbual dengan orang lain dan semasa kamu menghantar mesej. Berhati-hatilah dengan isi perbualan kamu dan seberapa kerap kamu berkomunikasi dengan kawan yang berlawanan jantina.

     “Kalau kamu tidak berniat untuk berdating, kamu tidak patut hantar mesej kepada seorang gadis setiap hari.”​—Brian.

  •   Bible kata, “Kebijaksanaan yang datang dari syurga pertama-tamanya murni.” (Yakobus 3:​17) Pelukan dapat diberikan dengan cara yang murni, tetapi juga boleh diberikan sebagai bukti bahawa kamu berminat terhadap seseorang.

     “Semasa berbual, saya selalu ramah, tapi saya juga menetapkan batasan dan jaga jarak.”​—Maria.

 Kesimpulan: Periksa tingkah laku kamu semasa kamu bergaul dengan kawan yang berlawanan jantina. “Susah mendapat sahabat yang baik, jadi jangan rosakkan persahabatan kamu dengan kelakuan yang boleh menyebabkan kawan kamu salah faham,” kata seorang remaja yang bernama Jennifer.

  Tip

  •    Dengarlah kata-kata orang lain. Jika ada orang bertanya, “Adakah kamu dan dia berdating?” hal ini mungkin menandakan bahawa kamu berdua terlalu rapat.

  •    Berikanlah layanan yang sama kepada semua kawan yang berlawanan jantina, dan jangan berikan terlalu banyak perhatian kepada salah seorang daripada mereka.

  •   Berhati-hati semasa menghantar mesej. Berjaga-jagalah dengan isi mesej kamu, seberapa kerap kamu bermesej, dan bila kamu menghantar mesej. “Buat apa hantar mesej kepada kawan yang berlawanan jantina pada tengah malam?” kata seorang gadis yang bernama Alyssa.