Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah kalau Saya Dibuli?

Bagaimanakah kalau Saya Dibuli?

 Perbuatan membuli tidak patut diremehkan. Berdasarkan satu kajian di Britain, lebih daripada 40 peratus kes bunuh diri yang berlaku dalam kalangan kaum muda adalah disebabkan kes buli.

 Apakah itu membuli?

 Membuli bukan sahaja serangan secara fizikal, tetapi juga merangkumi hal-hal berikut:

  •   Serangan melalui kata-kata. “Perempuan pun boleh mengeluarkan kata-kata yang sangat kasar dan menyakitkan. Saya masih ingat kata-kata dan gelaran yang digunakan mereka untuk ejek saya. Mereka membuat saya berasa diabaikan dan tidak berguna. Saya lebih rela dipukul mereka daripada dilayan begini,” kata Celine yang berumur 20 tahun.

  •   Disisihkan. “Rakan sekelas mula mengelak saya. Mereka akan buat seolah-olah tiada ruang lagi di meja makan kantin untuk menghalang saya daripada makan bersama mereka. Selama setahun, saya menangis dan makan bersendirian,” kata Haley yang berumur 18 tahun.

  •   Dibuli menerusi Internet. Daniel yang berumur 14 tahun berkata, “Dengan beberapa ketukan kekunci di komputer, kamu dapat merosakkan reputasi bahkan kehidupan seseorang. Walaupun perkara ini kedengaran seperti pernyataan yang berlebih-lebihan, tetapi hal ini benar-benar boleh berlaku!” Membuli menerusi Internet juga merangkumi perbuatan menghantar gambar atau mesej yang memalukan melalui telefon bimbit.

 Mengapakah orang membuli?

 Berikut merupakan beberapa sebabnya:

  •   Mereka sendiri pernah dibuli. “Saya sudah bosan dilayan dengan jahat oleh rakan-rakan. Jadi saya pun membuli orang lain supaya diterima oleh mereka. Sekarang barulah saya sedar bahawa perbuatan itu adalah salah,” kata seorang pemuda yang bernama Antonio.

  •   Tiada teladan baik yang dapat dicontohi oleh mereka. Dalam sebuah buku yang berjudul Life Strategies for Dealing With Bullies, Jay McGraw menulis: “Ramai orang muda yang suka membuli melayan orang lain . . . sepertimana ibu bapa, abang, dan kakak, atau ahli keluarga mereka memperlakukan orang lain.”

  •   Mereka berlagak sangat hebat, tetapi mereka sebenarnya kurang keyakinan diri. Dalam sebuah buku yang berjudul The Bully, the Bullied, and the Bystander, Barbara Coloroso menulis, “Kanak-kanak menyembunyikan kepedihan dan rasa kurang yakin dengan menunjukkan sikap suka berlagak hebat dan membuli orang lain.”

 Siapakah yang biasa dibuli?

  •   Orang yang selalu menyendiri. Sasaran utama bagi pembuli ialah orang muda yang tidak pandai bergaul dan selalu menyendiri.

  •   Anak muda yang kelihatan berbeza daripada orang lain. Ramai kaum muda dibuli disebabkan perbezaan dari segi penampilan, bangsa, agama, ataupun kerana mereka mengalami kecacatan tertentu. Apa-apa pun dapat digunakan oleh pembuli untuk mengejek mereka.

  •   Kaum muda yang kurang keyakinan diri. Pembuli suka mengganggu orang yang berpandangan negatif terhadap diri sendiri. Mereka biasanya mudah menjadi sasaran kerana mereka tidak melawan balik apabila dibuli.

 Apakah yang harus kamu lakukan jika kamu dibuli?

  •   Jangan layan mereka. Seorang gadis yang bernama Kylie berkata, “Pembuli ingin tahu jika dia dapat membuat kamu berpandangan negatif terhadap diri sendiri. Mereka akan berhenti mengganggu kamu jika kamu tidak melayan mereka.” Bible menyatakan, “Orang bijak bertenang dan dapat mengawal perasaannya.”​—Amsal 29:11.

  •   Jangan membalas. Jika kamu membalas, keadaan akan menjadi semakin rumit. Bible menyatakan, “Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan.”​—Roma 12:17; Amsal 24:19.

  •   Elakkan situasi yang berbahaya. Jika boleh, elakkanlah daripada pembuli atau situasi yang memberi mereka peluang untuk mengganggu kamu.​—Amsal 22:3.

  •   Tunjukkan reaksi yang tidak disangka mereka. Menurut Bible: “Jawapan yang lembut meredakan kemarahan.”​—Amsal 15:1.

  •   Balas dengan lawak jenaka. Jika si pembuli mengatakan bahawa kamu terlalu gemuk, kamu boleh senyum dan menjawab, “Ya betul, saya macam perlu berdiet kan?”

  •   Beredar dari situ. Nora, yang berusia 19 tahun, berkata, “Dengan berdiam diri, kamu menunjukkan kamu matang dan jauh lebih kuat daripada dia. Kamu mempunyai kawalan diri, sifat yang tidak dimiliki si pembuli.”

  •   Pupuklah keyakinan diri. “Si pembuli akan tahu jika kamu berasa gementar. Mereka akan guna kelemahan kamu itu untuk memusnahkan segala keyakinan yang ada dalam diri kamu,” kata seorang gadis yang bernama Rita.

  •   Beritahulah seseorang masalah kamu. Menurut satu kajian, lebih daripada setengah mangsa buli tidak melaporkan apa yang berlaku. Hal ini kerana mereka mungkin berasa malu (terutamanya lelaki) ataupun takut dibalas balik oleh si pembuli. Tetapi ingatlah, pembuli tidak akan berhenti jika kamu terus berdiam diri. Laporkanlah masalah itu agar perbuatan mereka dapat dicegah.