Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Tekanan Rakan Sebaya untuk Melakukan Hubungan Seks?

Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Tekanan Rakan Sebaya untuk Melakukan Hubungan Seks?

 “Semasa di sekolah dulu, kalau ada orang cakap dia sudah buat seks, orang lain berasa mereka pun perlu buat, sebab tiada orang mahu kelihatan ganjil.”—Elaine, 21.

 Pernahkah kamu berasa tertekan untuk mengadakan hubungan seks kerana nampaknya semua orang melakukannya?

 Pernahkah kamu berasa tertekan untuk mengadakan hubungan seks kerana orang yang kamu cintai memujuk kamu untuk melakukannya?

 Jika ya, rencana ini dapat membantu kamu menolak tekanan daripada orang lain dan nafsu sendiri agar kamu dapat membuat pilihan yang lebih baik.

 Mitos dan fakta

 MITOS: Semua orang pun melakukan seks kecuali saya.

 FAKTA: Dalam satu tinjauan, dua per tiga remaja yang berumur 18 tahun mengatakan bahawa mereka telah melakukan seks. Hal ini bermaksud bahawa ada lebih daripada 30 peratus remaja yang belum melakukannya. Jadi bukan “semua orang” telah mengadakan hubungan seks.

 MITOS: Seks dapat menguatkan hubungan kami.

 FAKTA: Walaupun sesetengah lelaki mungkin menggunakan kata-kata itu untuk memujuk gadis agar melakukan hubungan seks, hal itu tidak benar. Sering kali, seorang lelaki akan memutuskan hubungannya dengan seorang gadis selepas menidurinya. Sudah pasti, gadis itu terkejut dan sedih kerana dia menyangka bahawa lelaki itu mencintainya atau akan setia kepadanya. a

 MITOS: Bible berkata bahawa perbuatan seks adalah salah.

 FAKTA: Bible mempunyai pandangan yang positif tentang hubungan seks. Namun, hubungan ini hanyalah patut dinikmati oleh pasangan suami isteri.—Kejadian 1:28; 1 Korintus 7:3.

 MITOS: Saya tidak akan bahagia jika saya hidup menurut piawaian moral Bible.

 FAKTA: Jika kamu hanya mengadakan hubungan seks selepas kamu berkahwin, kamu akan berasa lebih bahagia. Hal ini kerana kamu dapat menghindari perasaan risau, sesal, atau gelisah yang sering timbul akibat hubungan seks sebelum berkahwin.

 Kesimpulan: Tiada sesiapa pun yang akan disakiti jika menunggu sehingga alam perkahwinan untuk mengadakan hubungan seks. Sebaliknya, ada yang pernah disakiti kerana mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin.

 Bagaimana melawan tekanan untuk melakukan hubungan seks

  •   Teguhkan pendirian moral kamu. Mengenai orang yang matang, Bible berkata, “Daya penilaian mereka sudah terlatih untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.” (Ibrani 5:14) Oleh sebab mereka mempunyai pendirian moral yang teguh, mereka tidak akan mudah untuk menyerah kepada tekanan untuk melakukan apa yang salah.

     “Saya berusaha sedaya upaya untuk melakukan apa yang benar dan mempunyai reputasi yang baik. Jadi saya tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan reputasi saya.”—Alicia, 16.

     Cuba renungkan: Apakah reputasi yang kamu inginkan? Adakah berbaloi untuk merosakkan reputasi kamu hanya untuk diterima oleh orang lain?

  •   Fikirkan akibatnya. Bible berkata, “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.” (Galatia 6:7) Bayangkan bagaimana kehidupan kamu dan orang itu akan berubah jika kamu menyerah kepada tekanan untuk mengadakan hubungan seks. b

     “Orang yang melakukan hubungan seks sebelum berkahwin sering menyesal, berasa bersalah, dan tidak dikasihi. Selain itu, mereka mungkin mengalami kehamilan yang tidak diingini atau penyakit kelamin.”—Sienna, 16.

     Cuba renungkan: Menurut buku Sex Smart, “Jika kawan kamu memaksa kamu melakukan sesuatu yang menyebabkan kamu menderita, patutkah kamu meluangkan masa dengan mereka atau mendengar nasihat mereka?”

  •   Pupuklah pandangan yang seimbang. Seks bukanlah musuh. Sebenarnya, Bible menunjukkan bahawa pasangan suami isteri patut menikmati hubungan intim.—Amsal 5:18, 19.

     “Hubungan seks ialah sebahagian daripada ciptaan Tuhan yang indah. Tuhan ingin kita menikmatinya, tetapi melalui aturan yang ditetapkan-Nya, iaitu melalui perkahwinan.”—Jeremy, 17.

     Cuba renungkan: Suatu hari nanti selepas berkahwin, kamu boleh mengadakan hubungan seks dengan pasangan kamu. Pada masa itu, kamu dapat benar-benar menikmatinya tanpa akibat buruk yang disebutkan tadi.

a Sudah tentu, bukan sahaja lelaki yang memujuk gadis untuk melakukan seks. Sering kali, gadis juga akan memujuk lelaki untuk berbuat demikian.

b Sebagai contoh, akibatnya boleh merangkumi kehamilan yang tidak diingini. Selain itu, tindakan undang-undang boleh dikenakan bagi individu yang melakukan hubungan seks dengan orang yang di bawah umur.