Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Mengapa Belajar Bahasa Lain?

Mengapa Belajar Bahasa Lain?

 Mempelajari bahasa lain memerlukan disiplin diri dan kerendahan hati. Adakah usaha ini berbaloi? Banyak kaum muda menjawab ya! Rencana ini akan menjelaskan mengapa mereka melakukannya.

 Mengapa perlu melakukannya?

 Ramai orang diwajibkan untuk belajar bahasa baharu semasa berada di bangku sekolah. Yang lain pula berbuat demikian atas sebab yang lain. Contohnya:

  •   Anna, seorang remaja di Australia, memutuskan untuk belajar bahasa Latvia, iaitu bahasa ibunda ibunya. “Kami sekeluarga bercadang untuk bercuti di Latvia,” kata Anna, “dan saya mahu berkomunikasi dengan saudara-mara saya di sana.”

  •   Gina, seorang Saksi-Saksi Yehuwa dari Amerika Syarikat, mempelajari bahasa isyarat Amerika (ASL) dan berpindah ke Belize untuk meluaskan khidmatnya. “Orang pekak hanya dapat berkomunikasi dengan segelintir orang,” jelasnya. “Apabila saya memberitahu orang bahawa saya mempelajari ASL untuk mengajar Bible dalam bahasa mereka, mereka sangat menghargainya!”

 Tahukah kamu? Bible menubuatkan bahawa berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan diumumkan kepada ‘setiap bangsa, suku, dan bahasa.’ (Wahyu 14:6) Nubuat ini telah menjadi kenyataan. Contohnya, banyak kaum muda dalam kalangan Saksi-Saksi Yehuwa telah mempelajari bahasa baharu untuk meluaskan khidmat mereka di negara sendiri ataupun di negara lain.

 Apakah cabarannya?

 Tidaklah senang untuk mempelajari bahasa baharu. Seorang remaja yang bernama Corrina berkata, “Saya sangka saya hanya perlu mempelajari perkataan baharu. Namun, akhirnya saya sedar bahawa saya juga perlu mempelajari budaya baharu dan cara pemikiran yang baharu. Mempelajari bahasa baharu memang memakan masa.”

 Kamu juga perlu rendah hati. James, seorang pemuda yang belajar bahasa Sepanyol, berkata, “Kamu pasti akan buat banyak kesilapan, tetapi janganlah terlalu tegas dengan diri sendiri. Kalau boleh, ketawalah sahaja, kerana itu memang proses belajar.”

 Kenyataan: Jika kamu dapat mengatasi halangan dan menghadapi situasi yang memalukan ketika melakukan kesilapan, kamu tentu akan lebih berjaya dalam mempelajari bahasa lain.

 Tip: Janganlah putus asa jika orang lain nampaknya buat lebih banyak kemajuan daripada kamu. Bible menyatakan, “Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri, dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.”​—Galatia 6:4.

 Apakah hasilnya?

 Ada banyak manfaatnya jika kamu mempelajari bahasa baharu. Contohnya, seorang remaja yang bernama Olivia berkata, “Apabila kamu mempelajari bahasa lain, kamu sedang membuka hati kamu dan kamu akan mendapat lebih banyak kawan baharu.”

 Seorang remaja yang bernama Mary mendapati bahawa mempelajari bahasa baharu dapat meningkatkan keyakinan dirinya. Dia berkata, “Saya berasa susah untuk bangga dengan pencapaian saya, tetapi saya gembira setiap kali saya mempelajari satu perkataan baharu. Saya rasa lebih yakin.”

 Gina, yang disebutkan tadi, sedar bahawa mengajar orang lain tentang Bible dalam bahasa isyarat telah menambahkan sukacitanya. “Apabila saya melihat senyuman yang terukir di raut wajah orang semasa saya menggunakan bahasa mereka, saya rasa sangat puas!” katanya.

 Kenyataan: Dengan mempelajari bahasa baharu, kamu dapat mencari kawan baharu, meningkatkan keyakinan diri, dan lebih menghargai kerja penyebaran. Itulah cara penting untuk menyampaikan berita baik kepada “semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa.”​—Wahyu 7:9.