Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Mengubah Tabiat Suka Menunda-Nunda?

Bagaimanakah Saya Dapat Mengubah Tabiat Suka Menunda-Nunda?

Adakah kamu sudah berasa jemu kerana sering lewat menyiapkan kerja rumah dan kerja sekolah? Maksudnya, kamu harus mengubah tabiat suka berlengah-lengah, bahkan jika

Selepas membaca rencana ini,  buatlah kuiz tabiat suka menunda-nunda.

 Bible menunjukkan bahawa orang yang suka berlengah-lengah menuai akibat buruk. Contohnya: “Orang yang asyik memerhatikan angin tidak akan menabur benih, dan orang yang asyik memerhatikan awan tidak akan menuai apa-apa.”—Pengkhutbah 11:4.

 Perhatikan beberapa faktor yang menyumbang kepada tabiat suka berlengah-lengah. Kemudian, lihatlah cara untuk mengubah tabiat itu.

 Tugasan itu terlalu susah.

 Tidak dinafikan bahawa sesetengah kerja memang sangat susah sehingga kamu cenderung mengetepikannya. Perhatikan beberapa cadangan yang dapat membantu kamu.

  •   Bahagikan projek itu kepada beberapa bahagian. Seorang gadis bernama Melissa berkata, “Biarpun saya sudah ketinggalan jauh, saya berusaha untuk menyiapkannya bahagian demi bahagian.”

  •   Segera memulakannya. “Sebaik sahaja kamu menerima suatu tugasan, mulakanlah dengan segera. Barangkali dengan mencatatkannya dalam senarai kerja atau mencatatkan beberapa idea tentang tugasan itu sebelum kamu lupa.”—Vera.

  •   Minta bantuan. Ibu bapa atau guru kamu mungkin pernah mengalami cabaran yang sama. Tanyalah pengalaman mereka. Mereka mungkin dapat memberikan cadangan yang baik dan membantu kamu merancang kerja kamu.

 Tip “Buatlah jadual. Maksudnya, kamu harus mengaturkan kerja dengan baik dan bertekad untuk mengikut jadual yang ditetapkan. Cara ini amat berkesan. Kamu dapat menyelesaikan kerja kamu pada masa yang ditetapkan.”—Abbey.

 Kamu tiada semangat melakukannya.

 Sering kali, kamu berasa bahawa tugas kamu membosankan. Jadi, apakah yang dapat kamu lakukan jika kamu tidak berminat terhadap projek tersebut? Cubalah cadangan berikut:

  •   Fikirkan satu sebab kamu perlu melakukannya dengan secepat mungkin. Misalnya, bayangkan perasaan kamu apabila kamu berjaya menyiapkan kerja yang ditugaskan. Seorang gadis bernama Amy berkata, “Seronok sekali apabila saya berjaya mendahului jadual saya atau menghabiskan suatu kerja pada masa yang ditentukan. Akhirnya, saya pun dapat relaks.”

  •   Selalu ingat akan akibatnya. Jika kamu selalu menunda, kamu hanya akan menjadi semakin tertekan dan susah untuk berjaya dalam tugas kamu. Bible berkata, “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.”—Galatia 6:7.

  •   Dalam minda kamu, pindahkanlah tarikh akhir yang ditetapkan kepada suatu tarikh yang lebih awal. Seorang gadis bernama Alicia berkata, “Melalui cara ini, saya dapat menyiapkan kerja saya satu atau dua hari lebih awal. Kemudian, saya dapat menggunakan masa yang tinggal untuk menyemak semula kerja yang sudah disiapkan.”

 Tip “Cara berfikir sangat penting. Jadi, beritahulah diri sendiri, ‘Saya pasti akan buat apa yang patut dan tiada apa-apa yang dapat menghalang saya.’ Apabila saya cakap begitu, saya biasanya dapat menyiapkan kerja saya.”—Alexis.

 Kamu terlalu sibuk.

 Seorang pemuda bernama Nathan berkata, “Orang selalu cakap saya suka menunda-nunda. Tetapi itu tidak adil! Mereka tidak tahu betapa sibuknya saya!” Jika kamu pun berasa sama seperti Nathan, cubalah tip berikut:

  •   Buatlah tugas yang senang dahulu. Seorang gadis bernama Amber berkata, “Seseorang pernah beritahu saya bahawa jika suatu tugasan dapat dibuat dalam masa lima minit, saya perlu segera melakukannya. Misalnya, membersihkan bilik, gantung baju-baju sendiri, mencuci pinggan mangkuk, dan membuat panggilan telefon.”

  •   Tetapkan keutamaan. Bible berkata, ‘Kenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.’ (Filipi 1:10) Bagaimanakah kamu dapat menerapkan nasihat ini dalam kehidupan seharian kamu? Seorang gadis bernama Anna berkata, “Saya menyenaraikan semua kerja yang perlu dibuat. Tetapi yang terpenting, saya menetapkan masa untuk melakukan dan menyiapkan setiap tugasan.”

 Adakah cara ini membuat kamu rasa terkongkong? Cuba fikirkan. Dengan membuat jadual, kamulah yang mengawal masa kamu dan bukan masa yang mengawal kamu. Hal ini dapat mengurangkan tekanan kamu. Seorang gadis bernama Kelly berkata, “Saya berasa lebih tenang jika ada jadual yang baik dan saya dapat berfokus untuk menyiapkan kerja-kerja itu.”

  •   Jangan tersimpang. Jennifer berkata, “Saya akan beritahu semua orang di rumah terlebih dahulu tentang jadual saya. Jika mereka memerlukan bantuan saya, mereka harus beritahu saya lebih awal sebelum saya memulakan projek saya. Saya juga mematikan telefon bimbit dan memadamkan bunyi e-mel.”

 Tip “Tugasan kamu tidak akan selesai selagi kamu tidak bertindak. Oleh itu, daripada terus risau akan tugas itu, buatlah kerja kamu. Selepas itu, barulah kamu boleh relaks.”—Jordan.