Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Penciptaan atau Evolusi?​—Bahagian 1: Mengapakah Percaya kepada Tuhan?

Penciptaan atau Evolusi?​—Bahagian 1: Mengapakah Percaya kepada Tuhan?

 Penciptaan atau evolusi?

 Adakah kamu percaya bahawa Tuhan menciptakan segala sesuatu? Jika ya, kamu tidak bersendirian; ramai kaum muda (dan orang dewasa) mempunyai pandangan yang sama. Tetapi ada yang berkata bahawa kehidupan dan alam semesta datang secara evolusi​—tanpa dicipta oleh “Peribadi Tertinggi.”

 Tahukah anda? Mereka yang menyokong atau menolak teori evolusi cepat membuat kesimpulan tentang apa yang dipercayai mereka. Tetapi, mereka mungkin tidak mengetahui mengapa mereka mempercayai hal itu.

  •   Sesetengah orang mempercayai penciptaan kerana itulah yang diajar oleh agama mereka.

  •   Yang lain pula mempercayai evolusi kerana mereka diajar sedemikian di sekolah.

 Rencana bersiri ini akan membantu kamu untuk mengukuhkan dan menjelaskan kepercayaan kamu mengenai penciptaan. Mula-mula, tanyalah diri soalan asas yang berikut:

 Mengapakah saya percaya kepada Tuhan?

 Mengapakah soalan ini penting? Bible menggalakkan kamu untuk “menggunakan daya pemikiran.” (Roma 12:1) Maksudnya, kamu tidak sepatutnya mempercayai kewujudan Tuhan semata-mata kerana

  •  perasaan sendiri (Saya berasa bahawa mesti ada kuasa yang lebih tinggi)

  •  pengaruh orang lain (Saya tinggal dalam komuniti yang kuat beragama)

  •  tekanan daripada orang lain (Ibu bapa mengajar saya bahawa Tuhan memang wujud. Jika tidak, saya akan dimarahi oleh mereka)

 Sebaliknya, kamu sendiri mesti mempercayai Tuhan wujud berdasarkan alasan yang kukuh.

 Jadi, apakah yang meyakinkan kamu bahawa Tuhan wujud? Lembaran kerja “Mengapakah Saya Percaya kepada Tuhan?” dapat menguatkan kepercayaan kamu. Pertimbangkan cara kaum muda lain menjawab soalan ini.

 “Di dalam kelas, saya mendengar bagaimana cikgu menjelaskan cara badan kita berfungsi, saya tidak ragu-ragu bahawa Tuhan memang wujud. Setiap bahagian tubuh kita mempunyai peranan tersendiri dan berfungsi dengan begitu baik tanpa kita sedari. Tubuh manusia memang sangat menakjubkan!”​—Teresa.

 “Apabila saya melihat pencakar langit, kapal persiaran, atau kereta, saya terfikir, ‘Siapakah yang membinanya?’ Sebagai contoh, sebuah kereta ada banyak komponen kecil yang harus dipasang dengan betul agar dapat berfungsi. Sudah tentu, kereta dicipta oleh orang yang sangat bijak. Jika kereta ada pencipta, manusia juga pasti ada Pencipta.”​—Richard.

 “Manusia yang paling bijak pun memerlukan masa ratusan tahun untuk memahami sebahagian kecil tentang alam semesta. Jadi, memang tidak masuk akal untuk berfikir bahawa seluruh alam semesta boleh wujud tanpa Pencipta yang bijak!”​—Karen.

 “Semakin banyak saya belajar tentang sains, semakin susah bagi saya untuk mempercayai teori evolusi. Contohnya, saya terfikir tentang kejituan matematik dalam alam semula jadi dan keunikan manusia, termasuk keperluan untuk mencari tahu siapakah kita, asal usul kita, dan tujuan hidup kita. Penjelasan teori evolusi banyak berkait rapat dengan binatang, tetapi tidak pernah menjelaskan mengapa manusia unik. Bagi saya, lebih banyak ‘iman’ diperlukan untuk percaya teori evolusi daripada percaya kepada Pencipta.”​—Anthony.

 Menjelaskan kepercayaan saya

 Bagaimana pula jika rakan sekelas mengejek kamu kerana percaya sesuatu yang tidak kelihatan? Bagaimana jika mereka mengatakan bahawa sains telah “membuktikan” teori evolusi?

 Mula-mula, yakinlah tentang kepercayaan kamu. Jangan berasa takut atau malu. (Roma 1:16) Ingatlah:

  1.   Kamu tidak bersendirian; ramai orang masih percaya kepada Tuhan. Mereka termasuklah golongan pakar yang pintar. Contohnya, terdapat para saintis yang percaya bahawa Tuhan wujud.

  2.   Kadangkala, orang yang berkata bahawa mereka tidak percaya kepada Tuhan sebenarnya mereka hanya tidak mengenali Tuhan. Mereka berkata demikian bukan kerana mereka tidak pernah memikirkan bukti tentang kewujudan Tuhan, tetapi kerana ada banyak soalan yang membuat mereka rasa keliru seperti, “Jika Tuhan wujud, mengapakah Dia mengizinkan penderitaan?”

  3.   Manusia mempunyai “keperluan rohani.” (Matius 5:3) Hal ini mencakup keperluan kita untuk percaya kepada Tuhan. Jika seseorang berkata bahawa Tuhan tidak wujud, dia bertanggungjawab untuk menjelaskan dasar kesimpulannya.​—Roma 1:18-20.

  4.   Adalah munasabah untuk percaya Tuhan wujud. Ternyatalah bahawa kehidupan tidak wujud secara kebetulan. Tiada bukti yang menyokong idea bahawa kehidupan boleh muncul daripada benda yang tidak bernyawa.

 Apakah yang boleh kamu katakan jika seseorang mempersoalkan kepercayaan kamu tentang kewujudan Tuhan? Pertimbangkan beberapa situasi yang berikut.

 Jika seseorang berkata: “Hanya orang yang tidak berpendidikan sahaja yang percaya kepada Tuhan.”

 Kamu boleh menjawab: “Adakah kamu betul-betul percaya bahawa itulah pendirian yang harus diikuti? Saya tidak percaya. Menurut satu tinjauan yang melibatkan 1,600 orang profesor sains dari pelbagai universiti yang terkenal, satu pertiga daripada mereka tidak mengakui bahawa mereka ialah ateis atau agnostik. a Adakah ini bermaksud mereka kurang berpendidikan kerana percaya akan kewujudan Tuhan?”

 Jika seseorang berkata: “Jika Tuhan wujud, mengapakah Dia mengizinkan penderitaan?”

 Kamu boleh menjawab: “Adakah maksud kamu Tuhan tidak peduli terhadap kita? [Izinkan maklum balas.] Saya telah mendapat jawapan yang memuaskan tentang mengapa begitu banyak penderitaan. Tetapi, kita perlu mengkaji beberapa ajaran Bible untuk memahaminya. Adakah kamu ingin mengetahui dengan lebih lanjut?”

 Rencana yang berikut dalam siri ini akan membincangkan sebab teori evolusi tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan tentang kewujudan kita.

a Sumber: Social Science Research Council, “Religion and Spirituality Among University Scientists,” ditulis oleh Elaine Howard Ecklund, 5 Februari 2007.