Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Apakah yang Perlu Saya Tahu tentang Sexting?

Apakah yang Perlu Saya Tahu tentang Sexting?

 Apa itu sexting?

 Sexting ialah perbuatan mengirim pesanan, gambar, atau video lucah secara elektronik. “Sekarang hampir semua orang berbuat demikian,” kata seorang lelaki. “Mula-mula, kamu kirim mesej kepada satu sama lain. Tidak lama kemudian, kamu akan kirim gambar-gambar seksi dan lucah.”

 Mengapakah banyak orang berbuat demikian? Menurut akhbar The New York Times, seorang peguam yang berpengalaman berkata bahawa bagi sesetengah remaja, “foto bogel teman lelaki atau wanita ialah bukti bahawa kehidupan seks mereka normal.” Seorang remaja bahkan mengatakan bahawa sexting ialah “amalan seks yang selamat,” kerana “kamu tidak akan hamil atau dapat penyakit kelamin,” katanya.

 Sebab-sebab lain mengapa remaja menghantar sexting:

  •   Untuk mengurat seseorang yang diminati.

  •   Untuk “membalas” foto lucah orang lain.

 Apakah akibat buruknya?

 Sebaik sahaja kamu menghantar satu foto, kamu tidak lagi menjadi pemilik foto itu. Kamu juga tidak dapat berbuat apa-apa jika foto itu digunakan untuk merosakkan reputasi kamu. Dalam laporannya berkenaan sexting, Amanda Lenhart, seorang penyelidik dan penulis dari Pusat Penyelidikan Pew, berkata, “Sekarang begitu mudah untuk mengirim perbuatan lucah anda secara elektronik, dan mudah juga bagi orang lain untuk menyimpannya dan menyebarkannya untuk tontonan ramai.”

 Hal-hal berikut pernah terjadi:

  •    Orang yang menerima foto-foto bogel telah menyebarkannya kepada kawan-kawan.

  •    Bekas teman lelaki yang marah telah menyebarkan foto-foto bogel teman wanita untuk membalas dendam.

 TAHUKAH KAMU? Perbuatan berkongsi foto bogel diklasifikasikan sebagai pengedaran pornografi kanak-kanak dan dianggap sama serius dengan penderaan kanak-kanak di sesetengah negara. Sesetengah remaja bawah umur yang terjebak dalam gejala sexting telah disabitkan bersalah sebagai pesalah seks.

 Apakah pandangan Bible?

 Bible menyatakan bahawa tidak salah untuk melakukan hubungan seks dalam perkahwinan. (Amsal 5:​18) Tetapi, Bible mengutuk hubungan seks di luar perkahwinan. Pertimbangkan ayat-ayat Bible berikut:

  •   “Jangan ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang menyebut tentang perbuatan seks yang tidak bermoral, . . . kelakuan yang memalukan, perkara yang bodoh, atau jenaka yang lucah.”​—Efesus 5:​3, 4.

  •   “Matikanlah keinginan dalam anggota tubuh kamu sehubungan dengan perbuatan seks yang tidak bermoral, kenajisan, hawa nafsu yang tidak terkawal, keinginan yang jahat, dan ketamakan.”​—Kolose 3:5.

 Ayat-ayat tersebut bukan sahaja mengutuk “perbuatan cabul” (perbuatan seks di luar perkahwinan) tetapi juga mengutuk hal-hal seperti “kenajisan” (istilah yang merujuk kepada semua jenis perbuatan yang kotor secara moral) dan “hawa nafsu yang tidak terkawal” (merujuk kepada nafsu yang menyebabkan perbuatan tidak senonoh, bukannya perasaan romantik yang boleh dipenuhi dalam perkahwinan).

 Tanyalah diri sendiri:

  •   Mengapakah perbuatan mengirim foto-foto bogel digolongkan sebagai “kenajisan”?

  •   Bagaimanakah sexting menyemarakkan “hawa nafsu yang tidak terkawal”?

  •   Mengapakah keinginan untuk melihat atau menyebarkan foto-foto bogel ialah “keinginan yang jahat”?

 Ayat-ayat Bible yang berikut memberi kita alasan yang lebih kukuh untuk menjauhi perbuatan sexting:

  •   “Berusahalah sedaya upaya untuk mempersembahkan dirimu kepada Tuhan sebagai orang yang diperkenankan-Nya, sebagai pekerja yang tidak malu dengan pekerjaannya.”​—2 Timotius 2:​15.

  •    “Kamu seharusnya berkelakuan suci dan melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa kamu mengabdikan diri kepada Tuhan.”​—2 Petrus 3:​11.

 Ayat-ayat tersebut menggambarkan manfaat yang diraih oleh orang yang bersih secara moral. Apabila kamu berkelakuan dalam cara yang terpuji, kamu tidak akan dihantui rasa bersalah.​—Galatia 6:7.

 Tanyalah diri sendiri:

  •    Saya orang yang macam mana?

  •    Adakah saya mempedulikan reputasi orang lain?

  •    Adakah saya suka dengan hal-hal yang boleh menyakiti orang lain?

  •    Bagaimanakah sexting mempengaruhi reputasi saya?

  •    Jika saya menghantar sexting, adakah ibu bapa masih akan mempercayai saya?

 KISAH BENAR “Kawan saya merahsiakan bahawa dia mempunyai seorang teman lelaki. Kemudian dia mengirim foto bogelnya kepada teman lelakinya, dan teman lelaki itu juga mengirim foto bogelnya kepada kawan saya. Dua hari kemudian, bapa kawan saya memeriksa telefonnya, dan ternampak foto-foto itu. Bapanya sedih dan meminta penjelasan daripadanya. Jadi dia terpaksa menceritakan segala-galanya kepada ibu bapanya. Meskipun dia menyesali perbuatannya, dia sudah kehilangan kepercayaan ibu bapanya.”

 Hakikat hidup: Sexting merosakkan maruah diri si pengirim dan si penerima. “Saya begitu jijik dan kecewa dengan diri sendiri,” kata seorang remaja yang dipaksa oleh teman lelakinya untuk menghantar sexting.

 Sexting merosakkan akhlak, tidak bermoral, dan salah di sisi undang-undang. Maka kamu patut menurut nasihat Bible berikut:

  •   “Jauhkanlah diri daripada nafsu orang muda.”​—2 Timotius 2:22.

  •   “Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia.”​—Mazmur 119:37.

 Apakah yang dapat kamu lakukan?

 Terapkanlah nasihat Bible dalam hidup kamu. Bacalah kata-kata Janet, dan buatlah pilihan yang terbaik.

 “Saya pernah bertemu dengan seorang pemuda, dan kami bertukar nombor telefon. Tidak sampai seminggu, dia minta saya kirim foto saya memakai bikini.”​—Janet.

 Apakah yang patut dilakukan oleh Janet? Apakah yang akan kamu lakukan?

  •  PILIHAN A Kamu mungkin berfikir, “Permintaannya tidak salah. Lagipun, kalau kami pergi berenang, dia pun akan nampak saya pakai baju renang.”

  •  PILIHAN B Kamu mungkin berfikir, “Saya tidak pasti dia mahu apa. Tapi biarlah saya kirim foto yang tidak terlalu seksi kepada dia dulu, dan tengok apa yang akan berlaku.”

  •  PILIHAN C Kamu mungkin berfikir, “Saya sudah tahu dia mahu apa. Saya akan delete mesejnya.”

 Nampaknya pilihan C ialah pilihan terbaik, bukan? Lagipun Bible menyatakan, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian.”​—Amsal 22:3.

 Kisah Janet menyedarkan kita bahawa pergaulan buruk ialah faktor penyebab perbuatan sexting dan pelbagai salah laku yang lain. Adakah kamu pandai memilih kawan? (Amsal 13:20) “Bergaullah dengan orang yang membenci perbuatan buruk,” kata seorang gadis yang bernama Sarah. Seorang gadis yang bernama Delia bersetuju dengan kata-kata Sarah. Katanya, “Sesetengah ‘kawan’ tidak akan bantu kamu menjaga kebersihan moral. Mereka akan mengumpan kamu untuk berbuat jahat.” Dia menyambung, “Jika perbuatan mereka bertentangan dengan hukum Tuhan, mereka akan mempengaruhi kamu untuk tidak setia kepada Tuhan. Adakah kamu mahu kawan seperti itu?”