Siapakah Anti-Kristus atau Musuh Kristus?
Jawapan Bible
Istilah “anti-Kristus” tidak hanya merujuk kepada seseorang, sebuah organisasi, atau entiti yang tertentu. Bible menyatakan bahawa terdapat “banyak musuh Kristus,” atau anti-Kristus. (1 Yohanes 2:18) Istilah “anti-Kristus” yang datang daripada perkataan Yunani yang bermaksud “menentang Kristus” merujuk kepada orang yang melakukan perkara-perkara berikut:
Menolak Yesus sebagai Kristus (Mesias) atau tidak mahu mengakuinya sebagai Anak Tuhan.—1 Yohanes 2:22.
Menentang Kristus yang diurapi Tuhan.—Mazmur 2:1, 2; Lukas 11:23.
Berpura-pura menjadi Kristus.—Matius 24:24.
Menganiaya pengikut Yesus, kerana Yesus menganggap perbuatan ini seperti dilakukan terhadapnya sendiri.—Kisah 9:5.
Mengakui diri sebagai orang Kristian tetapi pada masa yang sama berbuat jahat atau menipu.—Matius 7:22, 23; 2 Korintus 11:13.
Menurut Bible, anti-Kristus merangkumi semua orang, organisasi, atau kumpulan yang melakukan perkara yang telah disenaraikan. (2 Yohanes 7) Anti-Kristus mula muncul sejak zaman para rasul Yesus. Sehingga hari ini, mereka terus bergiat menentang Yesus. Hal-hal ini telah dinubuatkan dalam Bible.—1 Yohanes 4:3.
Cara untuk mengenal pasti anti-Kristus
Mereka menyebarkan ajaran yang salah tentang Yesus. (Matius 24:9, 11) Contohnya, orang yang mengajar tentang Tritunggal atau mengatakan bahawa Yesus ialah Tuhan Yang Maha Kuasa sedang menyebarkan ajaran palsu. Yesus sendiri berkata bahawa “Bapa lebih besar daripada aku.”—Yohanes 14:28.
Anti-Kristus menolak ajaran Yesus tentang Kerajaan Tuhan. Misalnya, ada pemimpin agama yang berkata bahawa Kristus memerintah melalui kerajaan manusia. Tetapi, ajaran ini bercanggahan dengan kata-kata Yesus yang berikut: “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.”—Yohanes 18:36.
Mereka mengaku Yesus ialah Tuan, tetapi mereka tidak mentaatinya, termasuk perintahnya untuk menginjil tentang berita baik Kerajaan Tuhan.—Matius 28:19, 20; Lukas 6:46; Kisah 10:42.