Siapakah atau Apakah Itu Malaikat?
Jawapan Bible
Para malaikat ialah makhluk yang lebih berkuasa dan lebih berkebolehan daripada manusia. (2 Petrus 2:11) Mereka wujud di syurga ataupun alam roh, iaitu tempat yang lebih tinggi daripada alam semesta. (1 Raja-Raja 8:27; Yohanes 6:38) Oleh itu, mereka juga digelar sebagai makhluk roh.—1 Raja-Raja 22:21; Mazmur 18:11.
Apakah asal usul malaikat?
Tuhan telah menciptakan para malaikat melalui Yesus, yang digelar dalam Bible sebagai “anak sulung antara semua ciptaan”. Semasa menghuraikan bagaimana Tuhan menggunakan Yesus dalam penciptaan, Bible menyatakan, “Segala sesuatu yang lain diciptakan melalui dia [Yesus], baik yang di syurga mahupun yang di bumi, baik yang kelihatan mahupun yang tidak kelihatan,” termasuk para malaikat. (Kolose 1:13-17) Para malaikat tidak berkahwin ataupun beranak cucu. (Markus 12:25) Sebaliknya, setiap daripada “makhluk-makhluk syurga” ini diciptakan satu persatu oleh Tuhan.—Ayub 1:6.
Para malaikat telah diciptakan sejak dahulukala, sebelum wujudnya bumi. Apabila Tuhan menciptakan bumi, para malaikat “bersorak gembira.”—Ayub 38:4-7.
Berapakah bilangan malaikat?
Bible tidak menyatakan angka yang spesifik, tetapi Bible menunjukkan bahawa bilangan mereka banyak sekali. Sebagai contoh, Rasul Yohanes nampak ratusan juta malaikat dalam satu penglihatan.—Wahyu 5:11, nota kaki.
Adakah malaikat mempunyai nama dan keperibadian?
Ya. Bible memberitahu nama dua malaikat: Mikhael dan Gabriel. (Daniel 12:1; Lukas 1:26) a Malaikat-malaikat yang lain mengakui bahawa mereka mempunyai nama, tetapi mereka tidak mendedahkannya.—Kejadian 32:29; Hakim-Hakim 13:17, 18.
Para malaikat mempunyai keperibadian yang berbeza. Mereka boleh berkomunikasi dengan satu sama lain. (1 Korintus 13:1) Mereka memiliki daya pemikiran dan mampu membentuk ungkapan untuk memuji Tuhan. (Lukas 2:13, 14) Mereka juga mempunyai kebebasan untuk memilih antara apa yang betul dengan apa yang salah. Hal ini jelas kelihatan apabila sesetengah daripada para malaikat berdosa dengan menyertai Syaitan Si Iblis untuk memberontak terhadap Tuhan.—Matius 25:41; 2 Petrus 2:4.
Adakah malaikat mempunyai pangkat yang berbeza?
Ya. Malaikat yang paling berkuasa dan berwibawa ialah Mikhael, iaitu ketua malaikat. (Yudas 9; Wahyu 12:7) Para serafim ialah malaikat yang berpangkat tinggi dan mereka berdiri dekat takhta Yehuwa. (Yesaya 6:2, 6) Para kerub pula membentuk satu lagi kelas malaikat yang berpangkat tinggi dan memikul tanggungjawab yang istimewa. Sebagai contoh, selepas Adam dan Hawa diusir, para kerub menjaga pintu masuk Taman Eden.—Kejadian 3:23, 24.
Adakah malaikat membantu orang?
Ya. Dewasa ini, Tuhan menggunakan para malaikat-Nya yang setia untuk membantu orang.
Tuhan juga menggunakan para malaikat untuk membimbing umat-Nya dalam kerja penyebaran berita baik Kerajaan Tuhan. (Wahyu 14:6, 7) Bimbingan tersebut bermanfaat bagi mereka yang menginjil, dan juga mereka yang mendengar berita baik.—Kisah 8:26, 27.
Para malaikat membantu menjaga sidang Kristian daripada dicemari oleh perbuatan orang jahat.—Matius 13:49.
Para malaikat membimbing dan melindungi mereka yang setia kepada Tuhan.—Mazmur 34:8; 91:10, 11; Ibrani 1:7, 14.
Tidak lama lagi, para malaikat akan membawa kelegaan kepada manusia dengan berjuang bersama Yesus Kristus untuk melenyapkan kejahatan.—2 Tesalonika 1:6-8.
Adakah kita masing-masing mempunyai malaikat pelindung?
Walaupun para malaikat menjaga kemakmuran hamba-hamba Tuhan secara rohani, hal ini tidak semestinya bermaksud bahawa Tuhan menugaskan satu malaikat untuk setiap orang Kristian sebagai pelindung peribadi. b (Matius 18:10) Para malaikat tidak akan melindungi hamba-hamba Tuhan daripada setiap cubaan atau godaan. Menurut Bible, apabila seseorang menghadapi cabaran, Tuhan sering kali akan “memberikan jalan keluar” dengan memberikan hikmat dan kekuatan untuk bertabah.—1 Korintus 10:12, 13; Yakobus 1:2-5.
Tanggapan yang salah mengenai malaikat
Tanggapan yang salah: Semua malaikat adalah baik.
Kebenaran: Bible merujuk sesetengah malaikat sebagai “roh-roh jahat” dan “malaikat-malaikat yang berdosa.” (Efesus 6:12; 2 Petrus 2:4) Malaikat-malaikat yang jahat ini ialah roh-roh jahat yang menyertai Syaitan dalam pemberontakan terhadap Tuhan.
Tanggapan yang salah: Malaikat tidak dapat mati.
Kebenaran: Malaikat yang jahat termasuk Syaitan Si Iblis akan dimusnahkan.—Yudas 6.
Tanggapan yang salah: Manusia akan menjadi malaikat selepas meninggal.
Kebenaran: Malaikat-malaikat ialah ciptaan Tuhan yang berlainan daripada manusia. Malaikat-malaikat ini bukanlah berasal daripada manusia yang telah dibangkitkan. (Kolose 1:16) Manusia yang dibangkitkan untuk hidup di syurga pula menerima kurniaan kehidupan abadi daripada Tuhan. (1 Korintus 15:53, 54) Mereka akan memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada malaikat-malaikat.—1 Korintus 6:3.
Tanggapan yang salah: Malaikat wujud untuk berkhidmat kepada manusia.
Kebenaran: Para malaikat mematuhi perintah Tuhan, bukannya perintah kita. (Mazmur 103:20, 21) Malahan, Yesus pun mengakui bahawa dia meminta bantuan daripada Tuhan dan bukannya daripada malaikat.—Matius 26:53.
Tanggapan yang salah: Kita boleh berdoa kepada malaikat untuk meminta bantuan.
Kebenaran: Berdoa ialah sebahagian daripada penyembahan kita kepada Tuhan Yehuwa. (Wahyu 19:10) Kita patut berdoa hanya kepada Tuhan, melalui Yesus.—Yohanes 14:6.
a Di Yesaya 14:12, sesetengah penterjemah Bible menggunakan istilah “Lucifer” yang difahami oleh sesetengah orang sebagai nama malaikat yang telah menjadi Syaitan Si Iblis. Namun demikian, perkataan asal Ibrani yang telah digunakan di sini merujuk kepada “bintang fajar yang cemerlang.” Konteks ini menunjukkan bahawa istilah ini bukan merujuk kepada Syaitan, tetapi kepada dinasti Babilon yang akan dihina oleh Tuhan kerana keangkuhannya. (Yesaya 14:4, 13-20) Ungkapan “bintang fajar yang cemerlang” digunakan untuk mengejek dinasti Babilon selepas dinasti itu digulingkan.
b Sesetengah orang percaya bahawa kisah tentang pembebasan Petrus dari penjara menunjukkan bahawa dia mempunyai malaikat pelindung peribadi. (Kisah 12:6-16) Namun demikian, apabila pengikut-pengikut Yesus merujuk kepada “malaikat [Petrus],” mungkin mereka menyangka bahawa mereka telah dilawati oleh satu malaikat utusan yang mewakili Petrus, dan bukannya Petrus sendiri.