Lompat ke kandungan

Apakah Itu Pembaptisan?

Apakah Itu Pembaptisan?

Jawapan Bible

 Pembaptisan bermaksud seseorang dimasukkan sepenuhnya ke dalam air. a Dalam Bible, terdapat banyak kisah tentang pembaptisan. (Kisah 2:41) Antaranya ialah pembaptisan Yesus, yang berlaku di Sungai Yordan. (Matius 3:13, 16) Bertahun-tahun kemudian, seorang sida-sida dari Etiopia dibaptis di “suatu tempat yang banyak airnya.”—Kisah 8:36-40.

 Yesus mengajar bahawa sesiapa yang ingin menjadi pengikutnya mesti dibaptis. (Matius 28:19, 20) Rasul Petrus juga menulis tentang hal yang sama.—1 Petrus 3:21.

Dalam rencana ini

 Pembaptisan melambangkan apa?

 Semasa dibaptis, seseorang menunjukkan di hadapan umum bahawa dia sudah bertaubat daripada dosanya dan telah berjanji kepada Tuhan untuk melakukan kehendak-Nya. Dalam kata lain, dia berjanji untuk mentaati Tuhan dan Yesus seumur hidupnya. Orang yang dibaptis akan hidup menurut cara yang dikehendaki Tuhan agar mereka diberi kehidupan kekal.

 Pembaptisan sangat sesuai untuk melambangkan perubahan seseorang dalam hidupnya. Mengapa? Bible menyamakan pembaptisan dengan pengebumian. (Roma 6:4; Kolose 2:12) Apabila seseorang dibenamkan ke dalam air, dia menunjukkan bahawa cara hidupnya yang lama sudah mati. Selepas keluar dari air, dia seolah-olah memulakan kehidupan yang baharu sebagai orang Kristian.

 Apakah yang dikatakan Bible tentang pembaptisan bayi?

 Bible tidak ada ungkapan “pembaptisan bayi” atau menyebut bahawa bayi patut dibaptis. b

 Pembaptisan bayi bukanlah ajaran Bible. Bible menyatakan bahawa seseorang yang mahu dibaptis mesti memenuhi syarat tertentu. Contohnya, dia harus memahami ajaran asas Bible dan hidup selaras dengan ajaran itu. Dia juga perlu bertaubat daripada dosanya, dan dia perlu berdoa kepada Tuhan untuk membaktikan diri. (Kisah 2:38, 41; 8:12) Bayi tidak dapat melakukan hal-hal ini.

 Apakah maksud dibaptis atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan?

 Yesus menyuruh para pengikutnya, “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan. Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.” (Matius 28:19, 20) Dibaptis “atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan” bermaksud orang yang dibaptis itu menerima dan mengakui kuasa dan kedudukan Bapa dan Anak serta peranan kuasa suci Tuhan. Fikirkan contoh ini: Semasa mengusir roh jahat, Rasul Paulus berkata, “Atas nama Yesus Kristus, aku memerintahkan kamu untuk keluar daripada perempuan ini.” (Kisah 16:18) Dengan berkata demikian, Paulus menunjukkan bahawa dia mengakui kuasa dan kedudukan Yesus dan sedar bahawa mukjizat itu hanya dapat dilakukan dengan bantuan Yesus.

  •   “Bapa” merujuk kepada Tuhan Yehuwa. c Sebagai Pencipta, Pemberi Kehidupan, dan Tuhan Yang Maha Kuasa, Yehuwa mempunyai kuasa dan kedudukan yang tertinggi.—Kejadian 17:1; Wahyu 4:11.

  •   “Anak” merujuk kepada Yesus Kristus, yang mengorbankan nyawanya demi kita. (Roma 6:23) Jika kita mahu diselamatkan, kita mesti mengakui dan menerima peranan penting Yesus dalam tujuan Tuhan bagi manusia.—Yohanes 14:6; 20:31; Kisah 4:8-12.

  •   “Kuasa suci Tuhan,” yang biasanya dipanggil “roh kudus,” merujuk kepada kuasa yang digunakan oleh Tuhan untuk melaksanakan kehendak-Nya. d Tuhan telah menggunakan kuasa suci-Nya untuk menciptakan segala sesuatu, memberikan kehidupan, menyampaikan perkhabaran-Nya kepada para nabi dan hamba-hamba-Nya, dan memberi mereka kekuatan untuk melakukan kehendak-Nya. (Kejadian 1:2; Ayub 33:4; Roma 15:18, 19) Dengan kuasa suci-Nya, Tuhan juga mengilhami penulis Bible untuk mencatatkan fikiran-Nya.—2 Petrus 1:21.

 Bolehkah seseorang dibaptis semula?

 Sesetengah orang mungkin memutuskan untuk menukar agama mereka. Hal ini memang biasa. Tetapi, seandainya seseorang pernah dibaptis dalam gereja, adakah dia berdosa jika dia dibaptis lagi? Ada yang berkata, “Ya.” Mereka mungkin teringat ayat di Efesus 4:5, yang kata, “Hanya ada satu Tuan, satu kepercayaan, satu pembaptisan.” Namun, ayat ini tidak bermaksud bahawa seseorang tidak boleh dibaptis semula. Mengapa?

 Konteks. Konteks Efesus 4:5 menunjukkan bahawa Rasul Paulus sedang menekankan pentingnya orang Kristian sejati memiliki iman dan kepercayaan yang sama. (Efesus 4:1-3, 16) Perpaduan sebegini dapat wujud hanya jika mereka mengikut Tuan yang sama, iaitu Yesus Kristus, mempunyai kepercayaan atau pemahaman yang sama tentang ajaran Bible, dan dibaptis mengikut syarat Bible yang sama.

 Rasul Paulus pernah menggalakkan sesetengah orang yang sudah dibaptis untuk dibaptis semula. Hal ini demikian kerana semasa mereka dibaptis, mereka belum memahami ajaran Bible dengan sepenuhnya.—Kisah 19:1-5.

 Pembaptisan yang diterima oleh Tuhan. Pembaptisan yang diterima oleh Tuhan mesti dibuat berdasarkan pengetahuan yang tepat tentang kebenaran Bible. (1 Timotius 2:3, 4) Semasa dibaptis, jika seseorang masih mempercayai ajaran yang bercanggah dengan Bible, pembaptisannya tidak diterima oleh Tuhan. (Yohanes 4:23, 24) Biarpun orang itu sangat ikhlas, dia telah dibaptis “tanpa pengetahuan yang tepat.” (Roma 10:2) Jika dia mahu diterima oleh Tuhan, dia perlu mempelajari kebenaran Bible, hidup selaras dengan apa yang dipelajarinya, membaktikan diri kepada Tuhan, dan dibaptis semula. Dalam keadaan sebegini, jika dia dibaptis semula, dia tidak berdosa, malah melakukan apa yang patut dilakukannya.

 Pembaptisan lain yang disebut dalam Bible

 Bible menyebut beberapa pembaptisan lain yang membawa erti yang berbeza daripada pembaptisan yang dijalani oleh pengikut Kristus. Perhatikan beberapa contoh.

 Pembaptisan yang dilakukan oleh Yohanes Pembaptis. e Yohanes telah membaptis orang Yahudi dan orang asing yang memeluk agama Yahudi. Orang yang menjalani pembaptisan ini menunjukkan bahawa mereka bertaubat daripada dosa mereka, dan menyesal kerana melanggar Hukum Musa, iaitu Hukum yang diberikan oleh Yehuwa kepada orang Israel. Pembaptisan yang dilakukan oleh Yohanes membantu mereka bersedia mengenal pasti dan menerima Yesus sebagai Mesias.—Lukas 1:13-17; 3:2, 3; Kisah 19:4.

 Pembaptisan yang dijalani Yesus. Yesus dibaptis oleh Yohanes Pembaptis. Namun, pembaptisan Yesus istimewa kerana dia sempurna dan tidak pernah berdosa. (1 Petrus 2:21, 22) Jadi untuk dibaptis, Yesus tidak perlu bertaubat atau memohon “kepada Tuhan untuk hati nurani yang bersih.” (1 Petrus 3:21) Sebaliknya, pembaptisan Yesus menunjukkan bahawa dia mempersembahkan dirinya kepada Tuhan sebagai Mesias yang dijanjikan, dan bahawa dia mahu melakukan kehendak Tuhan, termasuklah mengorbankan nyawanya bagi kita.—Ibrani 10:7-10.

 Dibaptis dengan kuasa suci Tuhan. Yohanes Pembaptis dan Yesus Kristus pernah menyebut tentang pembaptisan yang dilakukan dengan kuasa suci Tuhan. (Matius 3:11; Lukas 3:16; Kisah 1:1-5) Pembaptisan itu berbeza daripada pembaptisan yang dilakukan atas nama kuasa suci Tuhan. (Matius 28:19) Mengapa?

 Hanya segelintir pengikut Yesus yang dibaptis dengan kuasa suci Tuhan. Mereka diurapi kuasa suci Tuhan dan dipanggil untuk menjadi raja dan imam bersama Yesus di syurga. f (1 Petrus 1:3, 4; Wahyu 5:9, 10) Bersama Yesus, mereka akan memerintah berjuta-juta pengikut Yesus yang akan hidup selama-lamanya di bumi firdaus.—Matius 5:5; Lukas 23:43.

 Dibaptis dan bersatu dengan Kristus Yesus dan dibaptis dalam kematiannya. Orang yang dibaptis dengan kuasa suci Tuhan juga merupakan orang yang “dibaptis dan yang bersatu dengan Kristus Yesus.” (Roma 6:3) Pembaptisan ini dijalani oleh pengikut Yesus yang terurap, iaitu mereka yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. Apabila mereka dibaptis dan bersatu dengan Kristus Yesus, mereka menjadi anggota sidang Kristus yang terurap. Yesus ialah Kepala sidang dan mereka ialah tubuh sidang.—1 Korintus 12:12, 13, 27; Kolose 1:18.

 Orang Kristian terurap juga “dibaptis dalam [kematian Yesus].” (Roma 6:3, 4) Seperti Yesus, mereka mematuhi Tuhan seumur hidup mereka dan rela mengetepikan keinginan sendiri. Mereka juga mengorbankan harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi. Semasa mereka mati dan dibangkitkan sebagai makhluk roh, tujuan pembaptisan ini sudah tercapai.—Roma 6:5; 1 Korintus 15:42-44.

 Dibaptis dengan api. Yohanes Pembaptis memberitahu para pendengarnya, “[Yesus] akan membaptis kamu dengan kuasa suci Tuhan dan api. . . .  Tangannya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan membersihkan tempat mengirik gandum dan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat dipadamkan.” (Matius 3:11, 12) Perhatikan bahawa pembaptisan dengan api berbeza daripada pembaptisan dengan kuasa suci Tuhan. Apakah perbezaannya?

 Gandum melambangkan orang yang sudi mendengar ajaran Yesus dan mematuhinya. Mereka berpeluang dibaptis dengan kuasa suci Tuhan. Sekam pula melambangkan orang yang enggan mendengar Yesus. Mereka akan dibaptis dengan api, iaitu dibinasakan buat selama-lamanya.—Matius 3:7-12; Lukas 3:16, 17.

a Menurut Vine’s Complete Expository Dictionary of Old and New Testament Words, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “pembaptisan” bermaksud “masuk ke dalam air, dibenamkan sepenuhnya ke dalam air, dan keluar dari air.”

b “Pembaptisan bayi” merupakan upacara yang dilakukan di sesetengah gereja. Seorang bayi akan diberikan nama dan “dibaptis” dengan memercikkan atau menuangkan air ke atas kepalanya.

c Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?

e Lihat rencana “Siapakah Yohanes Pembaptis?

f Lihat rencana “Siapakah yang Naik ke Syurga?

g Bible juga menggunakan istilah “pembaptisan” untuk menggambarkan upacara penyucian tertentu. (Ibrani 9:10, nota kaki) Upacara penyucian sebegini sangat berbeza daripada pembaptisan yang dijalani oleh Yesus dan pengikutnya, di mana orang yang dibaptis perlu dibenamkan sepenuhnya ke dalam air.