Apakah yang Dilambangkan oleh Binatang Buas yang Mempunyai Tujuh Kepala di Wahyu Bab 13?
Jawapan Bible
Binatang buas yang mempunyai tujuh kepala yang disebutkan di Wahyu 13:1 melambangkan sistem politik dunia.
Binatang itu memiliki kekuatan, takhta, dan kuasa. Maka kita dapat menyimpulkan bahawa binatang itu melambangkan organisasi politik.—Wahyu 13:2.
Binatang itu berkuasa atas “setiap suku, kaum, bahasa, dan bangsa,” maka kekuasaannya tidak terhad kepada satu negara sahaja.—Wahyu 13:7.
Binatang itu mempunyai ciri-ciri empat binatang yang disebutkan di Daniel 7:2-8. Contohnya, binatang itu kelihatan seperti harimau bintang, kakinya seperti kaki beruang, mulutnya seperti mulut singa, dan binatang itu mempunyai 10 tanduk. Binatang-binatang dalam buku Daniel melambangkan raja-raja yang berbeza, atau kuasa-kuasa politik yang memerintah dunia secara berturut-turut. (Daniel 7:17, 23) Maka, binatang buas di Wahyu bab 13 melambangkan gabungan beberapa buah organisasi politik.
Binatang itu “keluar dari laut.” Laut melambangkan keadaan masyarakat dunia yang kacau-bilau, dan kerajaan manusia dibentuk daripada masyarakat yang huru-hara ini.—Wahyu 13:1; Yesaya 17:12, 13.
Bible menyatakan bahawa binatang itu bernama “666,” iaitu “nombor manusia.” (Wahyu 13:17, 18) Hal ini menunjukkan bahawa binatang itu ialah sebuah organisasi manusia, dan bukannya organisasi makhluk roh.
Biarpun kerajaan-kerajaan manusia tidak bersatu padu, mereka mempunyai matlamat yang sama, iaitu mempertahankan kekuasaan mereka dan menolak pemerintahan Kerajaan Tuhan. (Mazmur 2:2) Semasa perang Armagedon, mereka juga akan bergabung kuasa untuk melawan angkatan tentera Tuhan yang dipimpin oleh Yesus Kristus. Tetapi mereka akan dilenyapkan dalam perang itu.—Wahyu 16:14, 16; 19:19, 20.
“Sepuluh tanduk dan tujuh kepala”
Dalam Bible, sesetengah nombor mempunyai erti simbolik. Contohnya, nombor “10” dan “7” melambangkan kesempurnaan. Untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang “10 tanduk dan tujuh kepala” yang dimiliki oleh binatang buas yang disebutkan di Wahyu bab 13, kita perlu melihat satu lagi binatang buas yang disebutkan dalam buku Wahyu. Binatang buas ini ialah “patung” yang dibuat menurut gambaran binatang buas yang pertama. Patung ini juga mempunyai tujuh kepala dan 10 tanduk, tetapi berwarna merah marak. (Wahyu 13:1, 14, 15; 17:3) Bible menyatakan bahawa tujuh kepala patung ini melambangkan “tujuh orang raja,” atau kerajaan.—Wahyu 17:9, 10.
Demikian juga, tujuh kepala pada binatang buas di Wahyu 13:1 melambangkan tujuh kerajaan, atau tujuh empayar dunia yang memerintah sepanjang sejarah dan yang menentang umat Tuhan, iaitu Mesir, Assyria, Babilon, Media dan Persia, Yunani, Roma, dan Inggeris dan Amerika. Jika “10 tanduk” melambangkan semua kerajaan di dunia, maka mahkota yang ada pada setiap tanduk itu menunjukkan bahawa kerajaan-kerajaan di dunia akan memerintah pada masa yang sama dengan salah sebuah empayar.