Lompat ke kandungan

Apakah yang Dinyatakan dalam Bible tentang Tahun 1914?

Apakah yang Dinyatakan dalam Bible tentang Tahun 1914?

Jawapan Bible

 Bible menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan ditubuhkan di syurga pada tahun 1914. Kita dapat mengetahui hal ini dengan mengkaji nubuat yang tercatat dalam buku Daniel bab 4.

 Isi-isi utama nubuat itu. Tuhan menyebabkan Raja Nebukadnezar dari Babilon bermimpi tentang sebatang pokok besar yang ditebang. Tunggul pokok itu tidak dibenarkan untuk bertumbuh selama “tujuh waktu.” Tetapi selepas tempoh masa itu berlalu, pokok itu akan dibenarkan untuk bertumbuh sekali lagi.​—Daniel 4:​1, 10-​16.

 Kali pertama nubuat itu menjadi kenyataan. Pokok besar itu melambangkan Raja Nebukadnezar. (Daniel 4:​20-​22) Dia seakan-akan ‘ditebang’ apabila dia hilang akal buat suatu jangka waktu dan tidak dapat memerintah selama tujuh tahun. (Daniel 4:​25) Apabila Tuhan membenarkannya untuk menjadi waras semula, barulah Nebukadnezar memperoleh kembali kerajaannya dan dia telah mengakui bahawa Tuhan ialah Pemerintah yang tertinggi.​—Daniel 4:​34-​36.

 Nubuat itu menjadi kenyataan sekali lagi dan dalam skala yang lebih besar. Tujuan nubuat itu adalah supaya “semua orang tahu bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi ialah Pemerintah kerajaan manusia, dan Dia memberikan kuasa pemerintahan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, bahkan kepada orang yang paling hina.” (Daniel 4:​17) Adakah Tuhan akan memberikan kuasa pemerintahan itu kepada Nebukadnezar? Tidak, kerana sebelum itu, Tuhan sudah memberi Nebukadnezar satu lagi mimpi yang menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan itu tidak akan diberikan kepadanya atau mana-mana pemerintah manusia yang lain. Sebaliknya, Tuhan sendiri akan “mendirikan sebuah kerajaan yang tidak dapat dimusnahkan.”​—Daniel 2:​31-​44.

 Pada zaman dahulu, Tuhan menubuhkan sebuah kerajaan untuk mewakili pemerintahan-Nya di bumi. Kerajaan itu ialah bangsa Israel kuno. Tetapi oleh sebab raja-raja Israel tidak setia kepada-Nya, Tuhan membenarkan kerajaan itu dimusnahkan. Namun Dia menubuatkan bahawa kuasa pemerintahan Kerajaan-Nya akan menjadi milik “orang yang berhak memilikinya.” (Yehezkiel 21:25-​27) Bible menyatakan bahawa Yesus Kristus ialah orang yang berhak untuk memiliki kuasa pemerintahan itu. (Lukas 1:​30-​33) Tidak seperti Nebukadnezar, Yesus memiliki sikap “rendah hati.”​—Matius 11:29.

 Apakah yang dilambangkan oleh pokok yang disebutkan dalam buku Daniel bab 4? Dalam Bible, pokok kadangkala melambangkan kuasa pemerintahan. (Yehezkiel 17:22-​24; 31:​2-5) Maka, apabila nubuat dalam buku Daniel bab 4 menjadi kenyataan buat kali kedua, pokok besar itu melambangkan kuasa pemerintahan Tuhan.

 Apakah maksud tersirat bagi penebangan pokok itu? Penebangan pokok itu menunjukkan bahawa pemerintahan Tuhan di bumi akan berhenti buat sementara waktu, sama seperti yang berlaku kepada pemerintahan Raja Nebukadnezar. Pemerintahan Tuhan di bumi berhenti buat sementara waktu apabila Nebukadnezar memusnahkan kota Yerusalem, iaitu tempat raja-raja Israel duduk di atas “takhta Yehuwa” sebagai wakil-Nya.​—1 Tawarikh 29:23.

 Apakah yang dilambangkan oleh “tujuh waktu?” “Tujuh waktu” itu melambangkan tempoh masa Tuhan mengizinkan bangsa-bangsa untuk memerintah bumi tanpa apa-apa pengaruh daripada kerajaan yang didirikan-Nya. “Tujuh waktu” itu bermula pada bulan Oktober tahun 607 SM, semasa Yerusalem dibinasakan oleh orang Babilon, seperti yang dinubuatkan dalam Bible. a​—2 Raja-Raja 25:​1, 8-​10.

 Berapa lamakah tempoh “tujuh waktu” itu? Tempoh masanya tidak mungkin merujuk kepada hanya tujuh tahun seperti yang berlaku kepada Raja Nebukadnezar. Yesus memberi kita petunjuk tentang hal ini semasa dia berkata bahawa “Yerusalem [lambang pemerintahan Tuhan] akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa lain sehingga waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain genap.” (Lukas 21:24) “Waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain,” iaitu jangka masa Tuhan mengizinkan pemerintahan-Nya “diinjak-injak oleh bangsa-bangsa lain,” adalah sama dengan “tujuh waktu” yang disebutkan dalam buku Daniel bab 4. Hal ini bermaksud bahawa “tujuh waktu” itu masih berlangsung bahkan semasa Yesus berada di bumi.

 Bible mengandungi petunjuk untuk membantu kita menentukan tempoh “tujuh waktu” itu. Bible menyatakan bahawa tiga waktu setengah adalah bersamaan dengan 1,260 hari. Maka “tujuh waktu” (1,260 hari x 2) adalah bersamaan dengan 2,520 hari. (Wahyu 12:​6, 14) Dengan menggunakan prinsip “satu tahun untuk setiap hari,” 2,520 hari itu melambangkan 2,520 tahun. Maka “tujuh waktu,” atau 2,520 tahun, berakhir pada bulan Oktober tahun 1914.​—Bilangan 14:34; Yehezkiel 4:6.

a Untuk maklumat lanjut tentang mengapa tahun 607 SM digunakan, bacalah rencana “Kapan Yerusalem Kuno Dihancurkan—Bagian Satu” dalam majalah Menara Pengawal terbitan 1 Oktober 2011, muka surat 26-​31, dan juga rencana “Kapan Yerusalem Kuno Dihancurkan—Bagian Dua” dalam majalah Menara Pengawal terbitan 1 November 2011, muka surat 22-​28, dalam bahasa Indonesia.