Apakah yang Dikatakan Bible tentang Daniel?
Jawapan Bible
Daniel merupakan seorang nabi Yahudi yang setia yang hidup pada abad ketujuh dan keenam SM. Tuhan memberi Daniel kebolehan untuk mentafsirkan mimpi, memberinya penglihatan tentang masa depan, dan mengilhaminya untuk menulis salah satu buku Bible, iaitu buku Daniel.—Daniel 1:17; 2:19.
Siapakah Daniel?
Daniel membesar di Yehuda, sebuah kerajaan yang merangkumi kota Yerusalem dan Rumah Tuhan. Pada 617 SM, Raja Nebukadnezar dari Babilon telah menyerang Yerusalem dan membawa “orang yang terkemuka” sebagai tawanan ke Babilon. (2 Raja-Raja 24:15; Daniel 1:1) Daniel juga dibawa bersama mereka. Kemungkinan besar, dia seorang remaja pada masa itu.
Daniel dan beberapa pemuda lain (termasuklah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego) dibawa ke istana Babilon untuk menerima latihan khas agar dapat berkhidmat kepada raja. Daniel dan tiga sahabatnya tetap setia kepada Tuhan mereka, Yehuwa, walaupun mereka menghadapi tekanan untuk melanggar perintah Tuhan. (Daniel 1:3-8) Selepas menerima latihan selama tiga tahun, Raja Nebukadnezar memuji mereka atas kebijaksanaan dan kemahiran mereka. Dia berkata bahawa mereka ‘10 kali lebih baik daripada semua imam yang mengamalkan ilmu sihir dan semua tukang tilik di seluruh kerajaannya.’ Dia melantik Daniel dan sahabat-sahabatnya untuk berkhidmat di istana raja.—Daniel 1:18-20.
Puluhan tahun kemudian, apabila Daniel berumur 90-an, dia dipanggil ke istana. Raja Belsyazar, yang memerintah Babilon pada masa itu, meminta Daniel untuk menterjemahkan tulisan yang muncul pada dinding istana. Yehuwa membantu Daniel untuk mengetahui maksud tulisan itu, lalu Daniel menyingkapkan bahawa Babilon akan dikalahkan oleh Empayar Media dan Persia. Pada malam itu juga Babilon dikalahkan!—Daniel 5:1, 13-31.
Semasa Babilon berada di bawah pemerintahan Media dan Persia, Daniel dilantik sebagai pegawai tinggi, namun Raja Darius ingin memberikan Daniel kedudukan yang lebih tinggi lagi. (Daniel 6:1-3) Para pegawai lain berasa cemburu terhadap Daniel. Mereka berkomplot untuk membunuh Daniel dengan membuangnya ke dalam gua singa, tetapi Yehuwa menyelamatkannya. (Daniel 6:4-23) Pada penghujung kehidupannya, satu malaikat menampakkan diri kepada Daniel, dan sebanyak dua kali, malaikat itu meyakinkannya bahawa dia “amat berharga di mata Tuhan.”—Daniel 10:11, 19.
Tontonlah peristiwa-peristiwa ini dalam drama Bible Daniel—Lelaki yang Beriman bahagian 1 dan 2.