Pengalaman Hampir Mati—Apakah Maksudnya?
Jawapan Bible
Ramai orang yang hampir mati mengatakan bahawa pada saat itu, mereka rasa seperti terpisah daripada tubuh mereka atau melihat cahaya yang terang atau sebuah tempat yang sangat indah. Sebuah buku yang bertajuk Recollections of Death menyatakan, “Ada orang menganggapnya sebagai suatu pengalaman istimewa kerana dapat melihat wujudnya alam kehidupan yang lain.” Walaupun Bible tidak menyebut tentang pengalaman hampir mati, Bible mengandungi fakta penting yang menunjukkan bahawa pengalaman sedemikian bukanlah penglihatan tentang kehidupan setelah kematian.
Orang mati tidak tahu apa-apa.
Bible mengatakan bahawa orang yang telah mati “tidak tahu apa-apa pun.” (Pengkhutbah 9:5) Selepas mati, kita tidak akan pergi ke alam lain. Sebaliknya, kita tidak wujud lagi. Bible tidak pernah mengajar bahawa kita mempunyai roh atau jiwa yang masih hidup di alam yang lain selepas kematian. (Yehezkiel 18:4, Alkitab Versi Borneo) Jadi, apa-apa pengalaman yang dialami oleh seseorang pada saat hampir mati, bukanlah penglihatan tentang syurga, neraka, atau kehidupan yang seterusnya.
Adakah Lazarus menceritakan tentang kehidupan selepas kematian?
Bible mencatatkan pengalaman kematian Lazarus. Selepas mati selama empat hari, dia dibangkitkan oleh Yesus. (Yohanes 11:38-44) Di manakah Lazarus selama empat hari itu? Bayangkan Lazarus sedang menikmati kehidupan di alam lain. Tidakkah Yesus dianggap kejam kerana membangkitkannya semula ke bumi ini? Dalam catatan Bible, Lazarus tidak pernah mengatakan apa-apa tentang kehidupan setelah kematian. Sudah tentu dia akan menceritakan hal itu jika dia pernah mengalaminya, bukan? Tambahan lagi, Yesus menggambarkan kematian Lazarus seperti orang yang sedang tidur. Hal itu membuktikan bahawa semasa Lazarus mati, dia sama sekali tidak sedar akan apa-apa pun.—Yohanes 11:11-14.