Apakah yang Dikatakan Bible tentang Persahabatan?
Jawapan Bible
Persahabatan dapat menyumbang kepada kehidupan yang bahagia dan berjaya. Sahabat yang baik dapat mempengaruhi kita untuk mencapai potensi kita dengan sepenuhnya dan mengukuhkan sifat-sifat positif kita.—Amsal 27:17.
Namun, Bible berkata bahawa kita perlu memilih sahabat dengan cermat. Bible juga memberikan amaran tentang persahabatan yang buruk. (Amsal 13:20; 1 Korintus 15:33) Persahabatan sedemikian dapat menyebabkan seseorang membuat keputusan yang tidak bijak serta merosakkan sifat-sifat baiknya.
Dalam rencana ini
Apakah sifat yang dimiliki sahabat yang baik?
Bible menunjukkan bahawa persahabatan yang baik tidak hanya berasaskan minat atau hobi yang sama. Sebenarnya, persahabatan yang baik merangkumi perkara yang lebih mendalam lagi. Contohnya, Mazmur 119:63 menyatakan, “Aku bersahabat dengan semua orang yang takut akan-Mu, a dan dengan semua orang yang mengikut perintah-Mu.” Penulis Bible ini menyatakan bahawa dia memilih untuk bersahabat dengan orang yang takut melakukan hal-hal yang dibenci Tuhan dan yang mempunyai keinginan untuk hidup selaras dengan piawaian-Nya.
Bible juga menyatakan sifat-sifat yang harus dimiliki seorang sahabat yang baik. Contohnya:
“Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17.
“Ada sahabat-sahabat yang cenderung menghancurkan satu sama lain, namun ada sahabat yang lebih karib daripada saudara kandung.”—Amsal 18:24.
Ayat-ayat Bible ini menunjukkan bahawa seorang sahabat yang baik mempunyai sifat kesetiaan, kasih, kebaikan hati, dan kemurahan hati. Apabila kita mempunyai masalah, seorang sahabat sejati dapat diharapkan untuk membantu kita. Sahabat sejati juga berani untuk menasihati kita apabila kita membuat keputusan yang tidak bijak atau melakukan sesuatu yang salah.—Amsal 27:6, 9.
Apakah beberapa contoh persahabatan yang baik dalam Bible?
Bible mengandungi beberapa contoh persahabatan yang baik antara orang yang berlainan umur, latar belakang, budaya, dan kedudukan. Fikirkan tiga contoh berikut.
Rut dan Naomi. Rut merupakan menantu kepada Naomi, dan besar kemungkinan Naomi jauh lebih berusia daripada Rut. Selain itu, Rut mempunyai budaya dan latar belakang yang berbeza dengan Naomi. Meskipun demikian, mereka telah menjalin persahabatan yang sangat erat.—Rut 1:16.
Daud dan Yonatan. Yonatan berusia kira-kira 30 tahun lebih tua daripada Daud. Namun, Bible berkata bahawa mereka berdua “menjalin persahabatan yang erat.”—1 Samuel 18:1.
Yesus dan para rasulnya. Yesus merupakan guru dan tuan kepada para rasulnya. Jadi, Yesus mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada mereka. (Yohanes 13:13) Namun, Yesus tidak berasa bahawa mereka tidak layak untuk menjadi sahabatnya. Sebaliknya, Yesus mempunyai persahabatan yang akrab dengan orang yang mengikut ajarannya. Dia berkata, “Aku memanggil kamu sahabat-sahabatku kerana aku sudah memberitahu kamu segala yang telah aku dengar daripada Bapaku.”—Yohanes 15:14, 15.
Bolehkah seseorang menjadi sahabat Tuhan?
Ya, manusia boleh menjadi sahabat Tuhan. Bible berkata, “Dia akrab dengan orang yang melakukan apa yang benar.” (Amsal 3:32) Dalam kata lain, Tuhan bersahabat dengan orang yang berusaha untuk menjadi baik, jujur, dan hidup selaras dengan piawaian-Nya tentang apa yang betul dan salah. Contohnya, lelaki setia yang bernama Abraham dipanggil sahabat Tuhan dalam Bible.—2 Tawarikh 20:7; Yesaya 41:8; Yakobus 2:23.
a Konteks mazmur ini menunjukkan bahawa kata ganti diri “Mu” dalam ayat ini merujuk kepada Tuhan.