Lompat ke kandungan

Adakah Hari Kematian Kita Ditakdirkan?

Adakah Hari Kematian Kita Ditakdirkan?

Jawapan Bible

 Tidak. Waktu bagi seseorang untuk meninggal tidak ditakdirkan oleh Tuhan. Sebenarnya, Bible mengajarkan bahawa kematian sering kali disebabkan oleh “kejadian yang tidak terduga.”​—Pengkhutbah 9:​11.

Tidakkah Bible menyatakan bahawa “ada waktu untuk mati”?

 Ya, Pengkhutbah 3:2 menyatakan, “Ada waktu untuk lahir, dan ada waktu untuk mati; ada waktu untuk menanam, dan ada waktu untuk mencabut apa yang telah ditanam.” Namun, konteks ayat ini menunjukkan bahawa Bible sedang menyebut tentang kitaran hidup benda-benda hidup di bumi. (Pengkhutbah 3:​1-8) Tuhan tidak menentukan bila kita akan mati, sepertimana Dia juga tidak menentukan bila seorang petani akan menanam benih. Sebenarnya, ayat itu sedang menggalakkan kita agar tidak terlalu khusyuk dengan aktiviti harian sehingga melupakan Pencipta kita.​—Pengkhutbah 3:​11; 12:​1, 13.

Jangka hayat seseorang dapat dipanjangkan

 Meskipun kehidupan kita penuh dengan ketidakpastian, jangka hayat kita dapat dipanjangkan jika kita membuat keputusan yang bijak. Bible menyatakan, “Ajaran orang bijak memberikan kehidupan dan dapat menyelamatkan seseorang daripada jerat maut.” (Amsal 13:14) Begitu juga, Musa memberitahu orang Israel bahawa mereka akan “panjang umur” jika mereka mematuhi hukum Tuhan. (Ulangan 6:2) Sebaliknya, kita akan pendek umur jika kita melakukan hal-hal yang buruk atau bodoh.​—Pengkhutbah 7:​17.

 Namun demikian, tidak kira seberapa bijak atau berhati-hati kita bertindak, kita tidak dapat menghindari kematian. (Roma 5:​12) Tetapi hal ini akan berubah kerana Bible menjanjikan bahawa pada masa hadapan, “kematian tidak akan ada lagi.”​—Wahyu 21:4.