Keluaran 34:1-35
34 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua keping batu tulis seperti yang dahulu.+ Aku akan menulis padanya kata-kata yang ada pada batu-batu pertama,+ yang telah engkau pecahkan.+
2 Bersiap-siaplah pada pagi esok untuk naik ke Gunung Sinai. Engkau akan menghadap Aku di puncak gunung itu.+
3 Tetapi tiada sesiapa pun yang boleh naik bersamamu. Tiada seorang pun yang boleh berada di gunung itu, bahkan kawanan lembu dan bebiri tidak boleh meragut rumput di kaki gunung itu.”+
4 Maka Musa memahat dua keping batu tulis seperti yang dahulu. Pada awal pagi, dia bangun lalu mendaki Gunung Sinai dengan membawa dua keping batu itu, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa.
5 Yehuwa turun+ di dalam awan; Dia berdiri di sebelah Musa di atas gunung itu lalu mengisytiharkan nama-Nya, iaitu Yehuwa.+
6 Yehuwa lalu di hadapan Musa dan berseru, “Akulah Yehuwa, Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan.+ Akulah Yehuwa, Tuhan yang tidak cepat murka.+ Aku berpegang pada kebenaran* dan menunjukkan kasih setia yang melimpah.+
7 Aku menunjukkan kasih setia kepada beribu-ribu generasi.+ Aku mengampunkan kesalahan dan dosa,+ tetapi Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah bebas daripada hukuman.+ Aku akan menghukum bapa-bapa kerana dosa mereka, dan hukuman ini akan turut menimpa anak-anak dan cucu-cicit mereka, sehingga generasi yang ketiga dan keempat.”+
8 Dengan segera, Musa berlutut ke tanah lalu bersujud.
9 Kemudian Musa berkata, “Jika Engkau berkenan kepadaku, ya Yehuwa, pergilah bersama kami.+ Ya Yehuwa, kami umat yang degil,+ tetapi ampunkanlah kesalahan dan dosa kami,+ dan terimalah kami sebagai umat-Mu.”
10 Tuhan menjawab, “Sekarang Aku membuat perjanjian dengan kamu semua. Di depan mata umat Israel, Aku akan melakukan hal-hal yang menakjubkan, yang belum pernah dilakukan dalam kalangan bangsa-bangsa lain di seluruh bumi.+ Semua bangsa yang tinggal di sekeliling kamu akan melihat hal-hal luar biasa yang akan Aku, Yehuwa, lakukan dalam kalangan kamu.+
11 “Dengarkanlah perintah yang Aku berikan kepada kamu hari ini.+ Aku akan mengusir orang Amori, Kanaan, Het, Feris, Hewi, dan Yebus daripada kalangan kamu.+
12 Berhati-hatilah dan jangan membuat perjanjian dengan penduduk di tanah yang akan kamu masuki,+ kerana hal itu akan menjadi jerat bagi kamu.+
13 Sebaliknya, musnahkanlah mazbah-mazbah mereka. Hancurkanlah tugu-tugu suci* mereka dan tebanglah tiang-tiang suci* mereka.+
14 Jangan menyembah tuhan-tuhan lain.+ Sembahlah Aku sahaja. Ya, kamu hanya boleh menyembah Aku, Yehuwa.+
15 Berhati-hatilah dan jangan membuat perjanjian dengan penduduk di tanah itu. Hal ini demikian kerana apabila mereka mempersembahkan korban dan menyembah tuhan-tuhan mereka,*+ mereka akan menjemput kamu, lalu kamu akan memakan korban yang telah dipersembahkan itu.+
16 Kemudian kamu pasti akan mengahwinkan anak lelaki kamu dengan anak perempuan mereka.+ Apabila anak perempuan mereka menyembah tuhan-tuhan lain, anak lelaki kamu juga akan berbuat demikian.+
17 “Jangan membuat tuhan-tuhan daripada logam.+
18 “Kamu harus menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi.+ Kamu harus memakan roti tidak beragi selama tujuh hari pada masa yang ditetapkan pada bulan Abib,*+ seperti yang telah Aku perintahkan. Hal ini demikian kerana pada bulan Abib, kamu telah keluar dari Mesir.
19 “Setiap anak lelaki sulung dan anak jantan sulung ternakan kamu merupakan milik-Ku,+ tidak kira lembu jantan atau biri-biri jantan.+
20 Setiap anak sulung keldai haruslah ditebus dengan seekor biri-biri. Jika tidak, kamu harus mematahkan leher keldai itu. Setiap anak lelaki sulung kamu juga harus ditebus.+ Tiada sesiapa pun yang boleh menghadap Aku dengan tangan kosong.
21 “Selama enam hari kamu boleh bekerja. Tetapi pada hari ketujuh, kamu mesti berehat+ biarpun pada musim membajak dan musim menuai.
22 “Kamu harus menyambut Perayaan Menuai semasa kamu mempersembahkan hasil pertama gandum kamu. Sambutlah juga Perayaan Pondok Daun pada akhir tahun.+
23 “Tiga kali setahun, semua lelaki harus datang menghadap Aku, Tuan yang benar. Akulah Yehuwa, Tuhan orang Israel.+
24 Apabila kamu datang menghadap Aku tiga kali setahun, tiada seorang pun yang akan merampas tanah kamu. Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, akan mengusir bangsa-bangsa lain daripada kalangan kamu+ dan meluaskan wilayah kamu.
25 “Jangan persembahkan darah korban binatang bersama apa-apa yang beragi kepada-Ku.+ Korban yang dipersembahkan semasa Perayaan Paska tidak boleh disimpan sehingga pagi esok.+
26 “Bawalah hasil pertama yang terbaik dari ladang kamu ke rumah milik Aku, Yehuwa, Tuhan kamu.+
“Jangan memasak anak kambing di dalam air susu induknya.”+
27 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, “Tulislah kata-kata ini+ kerana berdasarkan kata-kata ini, Aku membuat perjanjian denganmu dan dengan umat Israel.”+
28 Musa berada di sana bersama Yehuwa selama 40 hari dan 40 malam. Dia tidak makan roti atau minum air.+ Pada batu-batu tulis itu, Tuhan menuliskan kata-kata perjanjian, iaitu Sepuluh Hukum.+
29 Kemudian Musa turun dari Gunung Sinai dengan membawa dua keping batu tulis itu.+ Semasa Musa turun dari gunung itu, mukanya bercahaya kerana dia telah bercakap dengan Tuhan, tetapi dia tidak menyedari hal itu.
30 Apabila Harun dan semua orang Israel melihat bahawa muka Musa bercahaya, mereka takut untuk mendekatinya.+
31 Tetapi Musa memanggil Harun dan semua pemimpin orang Israel. Maka mereka datang, dan Musa bercakap dengan mereka.
32 Selepas itu, semua orang Israel datang kepada Musa, dan dia pun menyampaikan semua perintah yang telah diberikan oleh Yehuwa kepadanya di Gunung Sinai.+
33 Musa akan menutupi mukanya dengan selubung setiap kali dia habis bercakap kepada umat Israel.+
34 Tetapi Musa akan membuka selubung itu apabila dia masuk ke dalam khemah untuk bercakap dengan Yehuwa.+ Selepas Musa keluar dari khemah, dia akan menyampaikan segala perintah yang diterimanya kepada umat Israel.+
35 Orang Israel nampak bahawa muka Musa bercahaya. Maka Musa menutupi mukanya semula sehingga sampai masanya dia masuk ke dalam khemah untuk bercakap dengan Tuhan.+
Nota Kaki
^ Atau “kesetiaan.”
^ Atau “dan melacurkan diri dengan tuhan-tuhan mereka.”
^ Lihat Lampiran B15.