Ulangan 11:1-32
11 “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu,+ dan sentiasa melaksanakan segala kewajipan kamu terhadap-Nya. Kamu mesti mematuhi semua perintah, ketetapan, dan peraturan yang diberikan-Nya.
2 Pada hari ini, aku bercakap kepada kamu semua, dan bukannya kepada anak-anak kamu. Mereka tidak merasai disiplin Yehuwa,+ dan tidak melihat perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan-Nya+ dengan tangan-Nya yang kuat+ dan perkasa.
3 Anak-anak kamu tidak melihat tanda dan mukjizat yang dilakukan oleh Tuhan terhadap raja Mesir dan seluruh negerinya,+
4 dan terhadap tentera Mesir, termasuk semua kuda dan kereta kuda Firaun. Semasa kamu dikejar, Yehuwa telah menenggelamkan seluruh tentera Mesir di dalam Laut Merah dan membinasakan mereka sama sekali.+
5 Anak-anak kamu tidak melihat apa yang dilakukan oleh Tuhan untuk* kamu semasa kamu berada di padang belantara sehingga kamu tiba di tempat ini.
6 Anak-anak kamu juga tidak melihat apa yang dilakukan oleh Tuhan terhadap Datan dan Abiram, iaitu anak-anak Eliab daripada suku Ruben. Di depan seluruh umat Israel, bumi menelan mereka, keluarga mereka, khemah mereka, dan semua yang mengikut mereka.+
7 Sesungguhnya, kamulah yang telah melihat semua perkara menakjubkan itu yang dilakukan oleh Yehuwa.
8 “Kamu mesti mematuhi segala perintah yang aku sampaikan kepada kamu hari ini. Dengan demikian, kamu akan menjadi bangsa yang kuat dan kamu dapat menyeberangi sungai untuk menakluki tanah itu.
9 Selain itu, kamu dapat hidup lama+ di tanah yang melimpah dengan susu dan madu itu.+ Yehuwa telah berjanji untuk memberikan tanah tersebut kepada nenek moyang kamu dan keturunan mereka.+
10 “Tanah yang akan kamu duduki itu bukan seperti Mesir, tempat kamu tinggal dahulu. Di sana, apabila kamu menabur benih, kamu perlu berjerih payah untuk mengairi ladang,* sebagaimana orang perlu menyiram air ke atas kebun sayur.
11 Tetapi tanah yang akan kamu takluki itu mempunyai kawasan pergunungan dan dataran-dataran,+ yang diairi oleh hujan.+
12 Yehuwa, Tuhan kamu, akan sentiasa memelihara tanah itu. Ya, Yehuwa akan menjaga tanah itu dari awal tahun hingga akhir tahun.
13 “Jika kamu mematuhi perintah yang aku sampaikan kepada kamu hari ini dengan bersungguh-sungguh, dan jika kamu mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu, dan mengabdikan diri kepada-Nya dengan sepenuh hati dan segenap jiwa,+
14 Tuhan akan memberi kamu hujan pada waktunya, iaitu pada musim luruh dan musim bunga. Dengan itu, kamu dapat mengumpulkan biji-bijian, minyak, dan wain baharu kamu.+
15 Tuhan akan menyebabkan rumput bertumbuh dengan subur di padang untuk ternakan kamu. Kamu juga akan menikmati makanan yang berlimpah-limpah sehingga kamu berasa puas.+
16 Tetapi berwaspadalah agar hati kamu tidak tergoda untuk berpaling daripada Tuhan lalu bersujud dan menyembah tuhan-tuhan lain.+
17 Jika kamu menyembah tuhan-tuhan lain, Yehuwa akan murka terhadap kamu. Dia tidak akan menurunkan hujan,+ dan tanah kamu tidak akan mengeluarkan hasil, lalu kamu akan segera mati di sana, iaitu di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu itu.+
18 “Kamu harus menyimpan kata-kata itu dalam hati kamu dan menerapkannya dalam hidup kamu. Kamu harus sentiasa mengingati kata-kata itu, seolah-olah mengikatkannya pada lengan kamu dan pada dahi kamu.+
19 Ajarkanlah semua itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah semua itu semasa kamu di rumah, semasa kamu berjalan, semasa kamu berbaring, dan semasa kamu bangun.+
20 Tuliskanlah hukum-hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu gerbang kota kamu.
21 Jika kamu melakukan semua itu, kamu dan keturunan kamu akan hidup lama+ di tanah yang dijanjikan oleh Yehuwa untuk diberikan kepada nenek moyang kamu.+ Kamu akan tinggal di sana selama ada langit di atas bumi.
22 “Jika kamu mematuhi dengan teliti segala perintah yang aku sampaikan kepada kamu, dan jika kamu mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu,+ serta hidup menurut segala kehendak-Nya dan berpaut erat pada-Nya,+
23 kamu akan berjaya menawan bangsa-bangsa yang lebih kuat dan lebih besar daripada kamu,+ kerana Yehuwa akan mengusir mereka semua dari hadapan kamu.+
24 Setiap tanah yang kamu pijak akan menjadi milik kamu.+ Sempadan negeri kamu akan terbentang luas bermula dari kawasan padang belantara sampai ke Lebanon, dan dari Sungai Efrat sampai ke Laut Tengah.*+
25 Tiada seorang pun yang dapat mengalahkan kamu.+ Yehuwa, Tuhan kamu, akan menyebabkan semua orang berasa takut dan gementar terhadap kamu,+ seperti yang telah dijanjikan-Nya.
26 “Pada hari ini, aku memberi kamu pilihan antara berkat dengan kutuk.+
27 Kamu akan menerima berkat jika kamu mematuhi semua perintah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+
28 Tetapi kamu akan menerima kutukan jika kamu enggan mematuhi semua perintah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu,+ dan jika kamu menyimpang daripada haluan yang telah aku ajarkan kepada kamu, lalu menyembah tuhan-tuhan asing yang tidak kamu kenal.
29 “Selepas Yehuwa, Tuhan kamu, membawa kamu ke tanah yang akan kamu duduki itu, kamu mesti mengisytiharkan berkat di Gunung Gerizim dan mengisytiharkan kutuk di Gunung Ebal.+
30 Gunung-gunung itu terletak di seberang Sungai Yordan, di sebelah barat, iaitu di tanah orang Kanaan yang tinggal di Araba. Gunung-gunung itu terletak di hadapan Gilgal, berdekatan pokok-pokok besar di More.+
31 Kamu akan menyeberangi Sungai Yordan untuk masuk dan menakluki tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu itu.+ Apabila kamu sudah menakluki dan menduduki tanah itu,
32 kamu mesti mematuhi semua peraturan dan ketetapan yang aku sampaikan kepada kamu hari ini dengan bersungguh-sungguh.+
Nota Kaki
^ Atau “terhadap.”
^ Iaitu, dengan menggunakan kaki semasa membuat parit atau semasa menggunakan kincir air.
^ Iaitu, Laut Mediterranean.