Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

A3

Sejarah Bible Kita

Tuhan ialah Pengarang Bible, dan Dia memastikan bahawa Bible terpelihara untuk kita. Dia telah mengilhami ayat Bible berikut:

“Firman Tuhan kita kekal buat selama-lamanya.”Yesaya 40:8.

Ayat Bible ini terbukti benar meskipun tiada manuskrip asal Kitab Ibrani dan Aram a atau Kitab Yunani Kristian yang masih wujud pada hari ini. Jadi, bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa Bible yang kita miliki pada hari ini mencerminkan firman Tuhan yang asal?

JURUTULIS MEMELIHARA FIRMAN TUHAN

Bagaimanakah Kitab Ibrani dipelihara? Salah satu faktor yang menyumbang kepada hal ini ialah tradisi kuno yang telah diasaskan oleh Tuhan. Dia telah memberikan perintah bahawa kitab ini harus disalin. b Contohnya, Yehuwa telah menyuruh raja-raja Israel untuk menyalin Hukum-Nya. (Ulangan 17:18) Selain itu, Tuhan juga memberi orang Lewi tugas untuk memelihara Hukum-Nya dan mengajarkan Hukum itu kepada umat-Nya. (Ulangan 31:26; Nehemia 8:7) Setelah orang Yahudi dibuang negeri ke Babilon, terdapat sekumpulan jurutulis, atau penyalin hukum Tuhan (Soferim), yang membantu dalam kerja memelihara firman Tuhan. (Ezra 7:6, nota kaki) Seraya masa berlalu, kumpulan jurutulis itu telah membuat banyak salinan untuk kesemua 39 buku kecil dalam Kitab Ibrani.

Selama berabad-abad, kumpulan jurutulis melakukan kerja penyalinan dengan teliti. Pada Zaman Pertengahan, sekumpulan jurutulis Yahudi yang dipanggil Masoret meneruskan tradisi ini. Manuskrip Masoret lengkap yang paling awal ialah Kodeks Leningrad. Kodeks ini telah ditulis sekitar tahun 1008/1009 Masihi. Tetapi pada pertengahan abad ke-20, kira-kira 220 manuskrip atau cebisan Bible yang merupakan sebahagian daripada Gulungan Laut Mati telah ditemui. Manuskrip dan cebisan ini wujud ribuan tahun sebelum Kodeks Leningrad. Setelah membandingkan Gulungan Laut Mati dengan Kodeks Leningrad, inilah kesimpulan penting yang dibuat: Meskipun beberapa perbezaan dalam pemilihan kata-kata dijumpai antara gulungan dengan kodeks ini, perbezaannya tidak mempengaruhi mesej Bible.

Bagaimana pula Kitab Yunani Kristian dipelihara? Kesemua 27 buku kecil dalam kitab ini telah ditulis oleh beberapa orang rasul dan pengikut Yesus Kristus. Seperti kumpulan jurutulis Yahudi, orang Kristian pada abad pertama juga menyalin buku-buku kecil itu. (Kolose 4:16) Biarpun maharaja Roma yang bernama Diocletian dan orang lain mencuba memusnahkan semua bahan bacaan Kristian, mereka tidak berjaya. Sampai hari ini, ribuan manuskrip dan cebisan kuno tetap terpelihara.

Bahan bacaan Kristian juga diterjemahkan dalam bahasa-bahasa lain. Pada masa dahulu, Bible telah diterjemahkan dalam beberapa bahasa kuno seperti Armenia, Qibti, Ge’ez, Georgia, Latin, dan Suryani.

MEMILIH TEKS IBRANI DAN YUNANI UNTUK KERJA TERJEMAHAN

Bukan semua salinan manuskrip Bible yang kuno menggunakan kata-kata yang sama. Oleh itu, bagaimanakah kita dapat mengetahui kandungan teks Bible yang asal?

Bayangkan situasi berikut: Seorang guru menyuruh 100 orang murid untuk menyalin satu bab daripada sebuah buku. Biarpun setiap murid melakukan kesilapan semasa menyalin, mereka semua tidak mungkin akan melakukan kesilapan yang sama. Sekiranya buku asal itu hilang, kita masih dapat mengetahui kandungan asal bab itu dengan membandingkan semua salinan murid itu. Begitu juga dengan kandungan asal Bible. Apabila pakar bahasa membandingkan ribuan salinan, manuskrip, dan cebisan Bible, mereka dapat mengenal pasti kesilapan yang dibuat oleh jurutulis dan menentukan kandungan asalnya.

“Tiada satu karya kuno pun yang telah disampaikan dengan begitu tepat”

Mengapakah kita boleh yakin bahawa idea-idea daripada tulisan Bible yang asal telah disampaikan dengan tepat? Berkenaan Kitab Ibrani, seorang pakar yang bernama William H. Green berkata, “Tiada satu karya kuno pun yang telah disampaikan dengan begitu tepat.” Berkenaan Kitab Yunani Kristian, yang juga dikenali sebagai Perjanjian Baharu, seorang pakar Bible yang bernama F. F. Bruce berkata, “Jika tiada orang yang mempersoalkan kesahihan tulisan kuno yang lain, maka kesahihan Perjanjian Baharu juga tidak seharusnya dipersoalkan kerana Perjanjian Baharu telah disokong dengan begitu banyak bukti.” Dia juga berkata, “Jika Perjanjian Baharu ialah hasil tulisan sekular, tiada orang akan mempersoalkan kesahihannya.”

Yesaya bab 40 daripada Gulungan Laut Mati (bertarikh antara tahun 125 SM hingga tahun 100 SM)

Setelah membandingkan gulungan ini dengan manuskrip Ibrani lain yang dihasilkan kira-kira seribu tahun kemudian, hanya beberapa perbezaan kecil ditemui. Kebanyakannya ialah perbezaan dari segi ejaan

Yesaya bab 40 daripada Kodeks Aleppo, iaitu manuskrip Masoret Ibrani yang penting dari sekitar tahun 930 M

Teks Ibrani: Kitab Ibrani Terjemahan Dunia Baharu (1953-1960) telah diterjemahkan berdasarkan Biblia Hebraica, yang disediakan oleh Rudolf Kittel. Sejak masa itu, teks Ibrani yang telah dikemaskinikan seperti Biblia Hebraica Stuttgartensia dan Biblia Hebraica Quinta, telah memuatkan kajian terkini daripada Gulungan Laut Mati dan manuskrip-manuskrip kuno yang lain. Kedua-dua teks Ibrani ini telah disediakan berdasarkan Kodeks Leningrad, dan menyertakan nota-nota kaki yang mencatatkan perbandingan antara kodeks ini dengan tulisan daripada sumber lain, seperti Gulungan Laut Mati, Pentateuch orang Samaria, Septuagint bahasa Yunani, Targum bahasa Aram, Vulgate bahasa Latin, dan Peshitta bahasa Suryani. Biblia Hebraica Stuttgartensia dan Biblia Hebraica Quinta telah digunakan sebagai rujukan semasa Terjemahan Dunia Baharu diterjemahkan.

Teks Yunani: Pada akhir abad ke-19, B. F. Westcott dan F.J.A. Hort membandingkan manuskrip-manuskrip dan cebisan Bible untuk menyediakan teks utama Yunani yang mencerminkan tulisan asal Bible dengan paling tepat. Teks utama ini telah digunakan oleh Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baharu untuk melakukan kerja penterjemahan pada pertengahan abad ke-20. Kertas-kertas papirus yang mungkin berasal dari abad kedua dan ketiga Masihi juga digunakan. Sejak waktu itu, kertas-kertas papirus yang lain telah ditemui. Selain itu, teks-teks utama yang disediakan oleh Nestle dan Aland dan oleh United Bible Societies memuatkan kajian yang terkini. Terjemahan ini mencerminkan hasil kajian-kajian ini.

Teks-teks utama itu menunjukkan bahawa beberapa ayat dalam Kitab Yunani Kristian telah ditambah oleh jurutulis pada kemudian hari. Ayat-ayat tambahan ini bukan sebahagian daripada Ayat-Ayat Suci yang diilhami Tuhan. Sesetengah terjemahan Bible yang lama, seperti King James Version, telah memasukkan ayat-ayat ini. Ayat-ayat tambahan ini ialah Matius 17:21; 18:11; 23:14; Markus 7:16; 9:44, 46; 11:26; 15:28; Lukas 17:36; 23:17; Yohanes 5:4; Kisah 8:37; 15:34; 24:7; 28:29; dan Roma 16:24. Oleh sebab pembahagian ayat-ayat Bible telah ditetapkan pada abad ke-16, ayat-ayat tambahan yang dikeluarkan dalam Terjemahan Dunia Baharu telah ditandakan dengan nota kaki.

Kesimpulan panjang bagi Markus 16:9-20, kesimpulan pendek bagi Markus 16, dan ayat-ayat di Yohanes 7:53–8:11 tidak terdapat dalam manuskrip-manuskrip asal Bible. Oleh itu, ayat-ayat ini tidak dimasukkan dalam Terjemahan Dunia Baharu. c

Setelah meneliti kajian terkini yang dibuat oleh pakar-pakar Bible, terjemahan sesetengah ayat telah dibetulkan untuk mencerminkan teks Bible yang asal dengan lebih tepat. Contohnya, menurut sesetengah manuskrip, Matius 7:13 berbunyi, “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu yang lebar dan jalan yang luas menuju kebinasaan.” Dalam edisi lama Terjemahan Dunia Baharu bahasa Inggeris, ayat ini berbunyi, “kerana lebar dan luaslah jalan yang menuju kebinasaan.” Perhatikan bahawa ungkapan “pintu yang” tidak dimasukkan. Tetapi setelah kajian lanjut dilakukan, kesimpulan dibuat bahawa teks asal Bible mengandungi ungkapan “pintu yang.” Maka ungkapan ini dimasukkan ke dalam edisi bahasa Inggeris yang dikemaskinikan. Edisi bahasa Inggeris mengandungi beberapa pembetulan sedemikian. Pembetulan sedemikian amat kecil dan tidak mempengaruhi maksud utama Firman Tuhan.

Manuskrip papirus yang menunjukkan 2 Korintus 4:13–5:4 dari sekitar tahun 200 M

a Kedua-dua kitab ini akan disebut sebagai Kitab Ibrani.

b Salah satu sebab Kitab Ibrani perlu disalin semula adalah kerana kitab yang asal ditulis pada bahan-bahan yang mudah reput.

c Untuk maklumat lanjut, sila lihat nota-nota kaki dalam New World Translation of the Holy Scriptures—With References dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan pada tahun 1984.