Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | BIBLE​—TERPELIHARA WALAUPUN DIANCAM

Bible Terpelihara walaupun Ditentang

Bible Terpelihara walaupun Ditentang

ANCAMANNYA: Matlamat ahli politik dan para pemimpin agama berbeza dengan apa yang diajarkan Bible. Jadi mereka menggunakan kuasa mereka untuk menghalang orang daripada memiliki, menghasilkan, atau menterjemahkan Bible. Mari kita lihat dua contoh:

  • Sekitar 167 SM: Raja Antiokhus Epifanes ingin memaksa orang Yahudi memeluk agama Yunani. Jadi dia memerintahkan agar semua Kitab Ibrani dihapuskan. Seorang sejarawan yang bernama Heinrich Graetz berkata bahawa para pegawainya akan “mengoyak dan membakar gulungan-gulungan Kitab Ibrani yang dijumpai.” Dia menyambung, “Mereka juga akan membunuh orang yang mengkaji dan menaruh keyakinan kepada Bible.”

  • Zaman Pertengahan: Sesetengah pemimpin gereja Katolik berasa marah apabila ahli gereja menginjil tentang ajaran Bible dan bukannya ajaran gereja Katolik. Orang biasa hanya dibenarkan untuk memiliki buku Mazmur dalam bahasa Latin. Jika didapati memiliki bahagian buku Bible yang lain, mereka akan dipanggil murtad. Salah satu majlis gereja bahkan mengarahkan pengikut-pengikut mereka “untuk mencari dengan teliti orang yang disyaki murtad. . . . Di mana saja orang murtad sebegini dijumpai, sama ada di rumah atau di bilik bawah tanah, . . . tempat itu akan dimusnahkan.”

Bayangkan jika musuh-musuh kebenaran berjaya menghapuskan Bible, kita tidak akan berpeluang membacanya hari ini.

Terjemahan Bible William Tyndale dalam bahasa Inggeris tidak lenyap walaupun terdapat larangan, perintah untuk membakar Bible, dan Tyndale dihukum mati pada 1536

BAGAIMANA BIBLE TERPELIHARA: Raja Antiokhus telah menumpukan usahanya untuk menentang orang Yahudi di Israel. Tetapi sudah ada masyarakat orang Yahudi di kawasan yang lain. Menurut anggaran pakar, pada abad pertama, lebih daripada 60 peratus orang Yahudi sudah berpindah keluar dari kawasan Israel. Mereka juga membawa bersama gulungan Ayat-Ayat Suci dan menyimpannya di rumah ibadat. Itulah gulungan Bible yang digunakan oleh orang Kristian pada kemudian hari.​—Kisah 15:21.

Pada Zaman Pertengahan, orang yang mengasihi Firman Tuhan terus menterjemahkan dan menghasilkan Bible. Bahkan sebelum mesin cetak taip cerai diciptakan pada abad ke-15, Bible mungkin sudah dapat diperoleh dalam sekitar 33 bahasa. Sejak masa itu, usaha untuk menterjemah dan menghasilkan Bible terus berlipat ganda.

HASILNYA: Walaupun tentangan datang secara bertubi-tubi daripada pemimpin politik dan agama, Bible tidak ditewaskan. Kini, Bible ialah buku yang paling banyak diterjemahkan dan diedarkan di seluruh dunia. Bible bahkan menjadi asas bagi undang-undang dan bahasa di sesetengah negara, dan jutaan orang menggunakannya sebagai pedoman hidup.