BAB 20
Mukjizat yang Kedua di Kana
MARKUS 1:14, 15 LUKAS 4:14, 15 YOHANES 4:43-54
-
YESUS MENGUMUMKAN BAHAWA “KERAJAAN TUHAN SUDAH DEKAT”
-
DIA MENYEMBUHKAN SEORANG BUDAK DARI JAUH
Selepas dua hari di Samaria, Yesus bertolak ke daerah Galilea, iaitu tempat dia dibesarkan. Dia telah menginjil di Yudea, dan kini dia terus menginjil dengan lebih giat di Galilea. Dia tahu bahawa orang di situ mungkin tidak akan menyambutnya dengan baik kerana “seorang nabi tidak dihormati di kampung halamannya sendiri.” (Yohanes 4:44) Murid-murid Yesus telah kembali ke rumah mereka dan meneruskan pekerjaan lama mereka.
Yesus menyebarkan berita berikut: “Kerajaan Tuhan sudah dekat. Bertaubatlah dan percayalah kepada berita baik daripada Tuhan.” (Markus 1:15) Apakah reaksi orang? Ramai orang Galilea menghormati Yesus kerana berita yang disebarkannya. Ada juga yang berbuat demikian kerana mereka telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus semasa Perayaan Paska di Yerusalem beberapa bulan lalu.—Yohanes 2:23.
Nampaknya apabila Yesus kembali ke Galilea, dia memulakan kerja penyebarannya di Kana, iaitu tempat dia pernah mengubah air menjadi wain. Apabila dia tiba di situ, dia mendengar tentang seorang budak lelaki yang sakit tenat. Budak itu ialah anak kepada pegawai Herodes Antipas. (Herodes Antipas ialah raja yang memancung kepala Yohanes Pembaptis.) Apabila pegawai itu mendengar bahawa Yesus ada di Kana, dia datang dari rumahnya di Kapernaum untuk mencari Yesus. Dia merayu kepada Yesus, “Tuan, datanglah sebelum anakku mati.”—Yohanes 4:49.
Yesus memberikan jawapan yang membuat pegawai itu hairan. Dia berkata, “Pergilah. Anakmu sudah sembuh.” (Yohanes 4:50) Pegawai itu mempercayai kata-katanya lalu pergi dari situ. Dalam perjalanan pulang, hamba-hamba pegawai itu datang dan memberitahunya bahawa anaknya sudah sembuh. Maka pegawai itu bertanya bila anaknya sembuh.
“Demamnya hilang kira-kira jam satu tengah hari semalam,” jawab mereka.—Yohanes 4:52.
Pegawai itu sedar bahawa pada waktu itulah Yesus telah berkata kepadanya, “Anakmu sudah sembuh.” Maka pegawai itu, seluruh rumah tangganya, dan semua hambanya, menjadi pengikut Kristus.
Yesus telah melakukan dua mukjizat di Kana, iaitu menukar air menjadi wain, dan menyembuhkan seorang budak lelaki dari jarak sejauh kira-kira 26 kilometer. Yesus juga melakukan banyak mukjizat yang lain. Tetapi kisah penyembuhan budak ini penting kerana mukjizat ini menandakan bahawa Yesus mula menggiatkan kerja penyebarannya di Galilea. Yesus memang nabi yang diperkenankan Tuhan, tetapi adakah ‘nabi ini akan dihormati di kampung halamannya sendiri’?
Soalan ini akan dijawab seraya Yesus meneruskan kerja penyebaran ke Nasaret, kampung halamannya. Mari kita lihat apa yang akan berlaku seterusnya.