Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 75

Yesus Menyingkapkan Rahsia Kebahagiaan

Yesus Menyingkapkan Rahsia Kebahagiaan

LUKAS 11:14-36

  • MENGUSIR ROH JAHAT DENGAN “JARI TUHAN”

  • RAHSIA KEBAHAGIAAN SEJATI

Semasa di Galilea, Yesus dituduh mendapat kuasa daripada ketua roh-roh jahat untuk melakukan mukjizat. Sekarang di Yudea, tuduhan yang sama dilontarkan terhadapnya sekali lagi.

Selepas Yesus mengusir roh jahat daripada seorang lelaki yang bisu, lelaki itu dapat bercakap semula. Orang ramai berasa kagum, tetapi ada dalam kalangan mereka berkata, “Dia mengusir roh jahat kerana mendapat kuasa daripada Beelzebub, iaitu ketua roh-roh jahat.” (Lukas 11:15) Yang lain pula memintanya untuk menunjukkan tanda dari syurga.

Yesus tahu bahawa mereka sedang mengujinya. Maka dia berkata bahawa setiap kerajaan yang berpecah belah akan musnah. Kemudian dia bertanya, “Jika Syaitan melawan dirinya sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan?” Dia menambah, “Tetapi jika jari Tuhan yang membolehkan aku mengusir roh-roh jahat, hal ini bermaksud Kerajaan Tuhan sudah ada di sini namun kamu tidak menyedarinya.”​—Lukas 11:18-20, nota kaki.

Para pendengarnya mungkin teringat tentang apa yang berlaku pada zaman Musa. Apabila orang di istana Firaun nampak Musa melakukan mukjizat, mereka berseru, “Kuasa suci Tuhan [atau “jari Tuhan,” nota kaki] yang membolehkan hal ini terjadi!” Selain itu, “dengan jari-Nya, Tuhan telah menulis perintah-Nya” pada dua keping batu tulis. (Keluaran 8:19; 31:18) Maka Yesus sedang menunjukkan bahawa “jari Tuhan” atau kuasa suci Tuhan yang membolehkannya untuk mengusir roh jahat dan menyembuhkan orang. Ya, Yesus ialah Raja Kerajaan Tuhan, tetapi mereka tidak menerimanya. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Kerajaan Tuhan sudah ada di sini namun kamu tidak menyedarinya.”

Yesus berkata bahawa jika seseorang ingin masuk ke dalam rumah seorang lelaki yang kuat untuk merampas barang-barangnya, dia harus lebih kuat daripada lelaki itu. Jadi Yesus dapat mengusir roh jahat kerana dia lebih berkuasa daripada Syaitan. Kemudian dia mengulangi perumpamaannya tentang roh jahat yang keluar daripada seseorang. Jika orang itu tidak mengisi kekosongan itu, roh itu akan kembali dengan membawa tujuh roh lain yang lebih jahat untuk memasuki orang itu. Akhirnya keadaannya akan menjadi lebih buruk daripada keadaannya yang asal. (Matius 12:22, 25-29, 43-45) Demikianlah keadaan orang Israel pada masa itu.

Kemudian seorang wanita yang ada di situ tiba-tiba berseru, “Berbahagialah wanita yang melahirkan dan menyusuimu!” Semua wanita Yahudi ingin menjadi ibu nabi atau ibu Mesias. Maka wanita ini berasa bahawa Maria pasti berbahagia kerana dia ibu Yesus. Tetapi Yesus membetulkan pandangan wanita ini dengan berkata, “Tidak. Sebaliknya, berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!” (Lukas 11:27, 28) Yesus tidak pernah berkata bahawa ibunya harus dimuliakan. Sebaliknya dia berkata bahawa kebahagiaan sejati dapat diraih jika seseorang menyembah Tuhan dengan setia. Ya, pencapaian atau hubungan kekeluargaan bukanlah rahsia kebahagiaan sejati.

Yesus menegur orang ramai kerana mereka meminta tanda dari syurga. Dia berkata bahawa mereka hanya akan diberikan “tanda Yunus.” Yunus menjadi tanda kepada penduduk Niniwe kerana dia berada di dalam perut ikan selama tiga hari, dan kerana dia menginjil dengan berani. Tetapi Yesus berkata, “Orang yang lebih besar daripada Yunus ada di sini.” (Lukas 11:29-32) Yesus juga bercakap tentang kebijaksanaan Salomo, yang dikagumi oleh ratu dari Syeba. Tetapi Yesus berkata, “Orang yang lebih besar daripada Salomo ada di sini.”

Yesus menyambung, “Selepas seseorang menyalakan pelita, dia tidak akan meletakkannya di tempat yang tersembunyi atau di bawah bakul. Sebaliknya dia akan meletakkannya di atas kaki pelita.” (Lukas 11:33) Yesus mungkin rasa bahawa usahanya untuk mengajar para pendengarnya seperti menyalakan sebuah pelita dan meletakkannya di bawah sebuah bakul, kerana mereka tidak mempunyai pandangan rohani dan tidak memahami erti di sebalik mukjizat yang dilakukannya.

Yesus baru sahaja mengusir roh jahat daripada seorang lelaki yang bisu. Orang ramai patut memuliakan Tuhan dan memberitahu orang lain tentang-Nya. Maka Yesus memberikan peringatan berikut kepada para penentangnya: “Berwaspadalah supaya cahaya dalam dirimu itu bukanlah kegelapan. Jika seluruh tubuhmu terang dan langsung tidak mempunyai bahagian yang gelap, seluruh tubuhmu akan bersinar terang seperti pelita yang memberimu cahaya.”​—Lukas 11:35, 36.