“Sukan Ekstrem”—Patutkah Anda Membahayakan Nyawa deminya?
Pandangan Bible
“Sukan Ekstrem”—Patutkah Anda Membahayakan Nyawa deminya?
“KINI, LEBIH RAMAI ORANG BUKAN SEKADAR MENONTON SUKAN EKSTREM TETAPI MEREKA SENDIRI INGIN MENCUBANYA. ADA YANG LOMPAT DARI KAPAL TERBANG, LUNCUR DARI CERUN YANG CURAM, KAYAK MEREDAH AIR TERJUN YANG BAHAYA, DAN MENYELAM BERSAMA IKAN YU.”—SURAT KHABAR WILLOW GLEN RESIDENT.
PERNYATAAN ini menunjukkan bahawa sukan ekstrem kini semakin popular. Banyak orang suka sukan berisiko tinggi seperti terjun udara (skydiving), panjat tebing ais (ice climbing), luncur udara (paragliding), dan terjun tapak (BASE jumping). * Sesetengah orang juga menggunakan papan luncur salji, basikal bukit, skateboard, dan kasut roda di tempat yang sangat curam, sangat tinggi, dan cuba mencapai lompatan yang paling jauh. Menurut majalah Time, semakin banyak orang suka menceburi sukan ekstrem, “tidak kira sebagai hobi ataupun secara profesional. Mereka sanggup membahayakan nyawa dan menawan perasaan takut demi mencabar batas dan had diri dan mengasah kemahiran.”
Apakah risiko sukan sebegini? Ramai orang tercedera kerana sukan yang biasa dilakukan secara ekstrem. Pada tahun 1997 di Amerika Syarikat sahaja, jumlah kecederaan yang memerlukan rawatan kecemasan bagi sukan skateboard telah meningkat lebih daripada 33 peratus; snowboard 31 peratus; mendaki gunung 20 peratus. Sedihnya, ramai juga terkorban akibat sukan ekstrem yang lain. Adakah mereka sedar akan bahayanya? Ya. Seorang wanita yang bermain sukan luncur ais ekstrem mengaku, “Saya tahu saya mungkin mati pada bila-bila masa.” Seorang pemain snowboard yang profesional berkata, “Kalau kamu tidak cedera, maksudnya kamu belum cuba sedaya upaya.”
Apakah sepatutnya pandangan orang Kristian terhadap sukan sebegini? Apakah pandangan Bible? Kita boleh mendapat jawapannya dengan mengkaji pandangan Tuhan terhadap nyawa.
Pandangan Tuhan terhadap Nyawa
Bible memberitahu kita bahawa Tuhan ialah “sumber segala kehidupan.” (Mazmur 36:9) Dia telah menciptakan manusia dan memberi segala yang kita perlukan untuk menikmati hidup. (Mazmur 139:14; Kisah 14:16, 17; 17:24-28) Sudah pasti Dia mahu kita menjaga dan menghargai nyawa yang telah dikurniakan-Nya. Untuk memahami hal ini dengan lebih jelas, mari kita periksa hukum dan prinsip Yehuwa kepada bangsa Israel.
Menurut Hukum Musa, setiap orang harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi nyawa diri dan orang lain agar tidak berhutang darah. Contohnya, pemilik rumah harus membina pagar di sekeliling bumbung rumahnya. Jika tidak, seseorang mungkin jatuh dari bumbung dan dia akan bertanggungjawab atas kematiannya. (Ulangan 22:8) Jika seekor lembu jantan menanduk seseorang, pemilik lembu itu tidak akan dihukum. Namun, jika seorang pemilik tahu lembunya selalu menanduk orang tetapi dia masih tidak mengawalnya, pemilik itu mungkin berhutang darah dan dihukum mati jika seseorang mati akibat lembunya. (Keluaran 21:28, 29) Sememangnya, hukum-hukum Yehuwa menunjukkan bahawa Dia sangat menghargai nyawa dan Dia mahu kita berhati-hati.
Kisah Bible juga mengajar kita bahawa nyawa sangat berharga. Pernah sekali, Raja Daud kata bahawa dia ingin “minum air dari perigi dekat pintu gerbang Betlehem.” Pada masa itu, Betlehem berada di bawah kuasa orang Filistin. Tetapi, setelah mendengar hal itu, tiga orang pahlawan Daud menyerbu perkhemahan orang Filistin. Mereka menimba air dari perigi dekat pintu gerbang Betlehem lalu membawanya kepada Daud. Apakah reaksi Daud? Dia menuangkan air itu ke tanah. Mengapa? Daud berkata, “Tidak mungkin beta minum air ini kerana beta takut kepada Tuhan beta. Mereka telah mempertaruhkan nyawa mereka hanya untuk membawa air ini. Jika beta meminumnya, beta seolah-olah minum darah orang yang telah mempertaruhkan nyawa mereka.” (1 Tawarikh 11:17-19) Ya, Daud tidak sanggup membahayakan nyawa orang lain sekadar untuk memuaskan keinginan sendiri.
Yesus juga menunjukkan bahawa nyawa sangat berharga. Apabila Si Iblis mencabar Yesus untuk terjun dari puncak tembok Rumah Tuhan, Yesus kata, “Jangan menguji Yehuwa, Tuhan kamu.” (Matius 4:5-7) Daripada teladan Daud dan Yesus, kita tahu bahawa Tuhan tidak mahu kita sengaja mengambil risiko dan membahayakan nyawa.
Tapi, bagaimanakah kita dapat menentukan apa yang dianggap ekstrem atau bahaya? Memandangkan sukan yang dianggap biasa pun dapat dilakukan secara ekstrem, apakah batasnya?
Adakah Risikonya Berbaloi?
Kita perlu berfikir secara jujur dan tanya diri sendiri, “Berapa kerapkah seseorang mengalami kemalangan atau kecederaan semasa menceburi sukan ini? Adakah saya mendapat latihan atau mempunyai perlengkapan untuk melindungi diri daripada kecederaan? Apakah akibatnya jika saya terjatuh, salah terjun, atau jika peralatan keselamatan saya tidak berfungsi? Adakah saya akan cedera ringan, cedera teruk, atau mungkin mati?”
Seorang Kristian yang suka melakukan riadah yang berisiko tinggi sebenarnya sedang menjejaskan hubungannya dengan Yehuwa. Dia juga mungkin tidak layak memikul tanggungjawab di sidang. (1 Timotius 3:2, 8-10; 4:12; Titus 2:6-8) Sememangnya, tidak kira semasa bersukan atau beriadah, orang Kristian harus berfikir tentang pandangan Tuhan terhadap nyawa.
[Nota kaki]
^ per. 4 BASE ialah singkatan bahasa Inggeris (building, antenna, span, dan earth) untuk sukan lasak payung terjun yang dilakukan dari bangunan, antena, jambatan, dan cerun. Sukan sebegini dianggap sangat berbahaya dan dilarang oleh Perkhidmatan Taman Negara di Amerika Syarikat.