Lompat ke kandungan

TOPIK UTAMA

Cara Menggunakan Masa dengan Bijak

Cara Menggunakan Masa dengan Bijak

Setiap hari kita ada 24 jam. Tapi ada banyak hal yang perlu kita lakukan. Maka kita mungkin rasa, “Saya tidak cukup masa.” Sama ada kaya atau miskin, kita semua mempunyai jumlah masa yang sama. Kita tidak dapat mengumpulkan masa seperti wang. Masa yang berlalu tidak dapat dikembalikan. Memandangkan masa itu emas, kita harus menggunakannya dengan bijak. Bagaimanakah kita dapat melakukannya? Perhatikan empat cadangan yang berikut.

Nasihat 1: Jadualkan Masa Anda

Tetapkan keutamaan. Bible kata, ‘Kenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.’ (Filipi 1:10) Mula-mula, senaraikan hal-hal yang perlu dibuat dengan segera dan hal-hal yang penting. Kadangkala, apa yang anda rasa penting, seperti membeli baju, tidak semestinya harus dilakukan dengan segera. Tetapi sebaliknya, apa yang anda rasa harus dilakukan dengan segera, contohnya menonton drama, tidaklah begitu penting. a

Buatlah rancangan. Pengkhutbah 10:10 kata, “Seseorang terpaksa bekerja lebih keras, jika alat besi yang digunakannya tumpul dan matanya tidak ditajamkan. Tetapi kebijaksanaan dapat membantu seseorang untuk berjaya.” Pengajarannya? Jika kita membuat rancangan, kita seperti pekerja yang menajamkan alat besinya. Dengan demikian, kita dapat menjadi lebih efisien dan tidak akan membazirkan masa. Jika kita sudah menyiapkan kerja yang dirancang, kita dapat melakukan tugas yang seterusnya.

Jangan terlalu sibuk. Belajar untuk katakan “tidak” kepada hal-hal yang kurang penting. Jika jadual anda terlalu penuh, anda akan stres dan hilang sukacita.

Nasihat 2: Kenal Pasti Pencuri Masa

Sikap suka menangguh dan teragak-agak untuk membuat keputusan. Bible kata, “Orang yang asyik memerhatikan angin tidak akan menabur benih, dan orang yang asyik memerhatikan awan tidak akan menuai apa-apa.” (Pengkhutbah 11:4) Pengajarannya? Sikap suka menunda-nunda sesuatu ialah pencuri masa dan dapat mengurangkan produktiviti anda. Contohnya, seorang petani yang menunggu sehingga situasinya sempurna, tidak akan menabur benih ataupun menuai apa-apa. Begitu juga, jika kita selalu menangguhkan sesuatu, akhirnya kita tidak akan melakukan apa-apa. Selain itu semasa membuat keputusan, anda memang perlu membuat kajian dan mendapatkan maklumat yang penting. “Orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya,” kata Amsal 14:15. Tetapi janganlah bersikap melampau. Adalah mustahil untuk mendapatkan semua maklumat sebelum membuat keputusan.​—Pengkhutbah 11:6.

Menuntut kesempurnaan. Yakobus 3:17 kata, ‘Kebijaksanaan yang datang dari syurga [atau dari Tuhan] adalah munasabah.’ Semasa melakukan sesuatu, kita inginkan hasil yang terbaik. Itu tidak salah. Tetapi jika kita bersikap melampau, kita tidak akan rasa puas dengan hasil usaha kita. Akhirnya, kita mungkin tidak mencapai hasil yang diinginkan dan rasa kecewa dengan diri sendiri. Contohnya, semasa mempelajari bahasa yang baharu, kita pasti akan membuat kesilapan. Jika kita menuntut kesempurnaan daripada diri sendiri, susah bagi kita untuk buat kemajuan. Amsal 11:2 kata, “Kebijaksanaan ada pada orang yang rendah hati.” Jika kita rendah hati, kita tidak akan terlalu risau atau cepat putus asa apabila kita tersalah cakap. Hasilnya, kemajuan kita tidak akan terbantut dan kita akan menguasai bahasa yang baharu itu dengan lebih cepat.

“Barang yang dibeli bukan hanya menelan wang, tetapi memakan masa kita.”​—What to Do Between Birth and Death

Nasihat 3: Bersikap Seimbang dan Realistik

Seimbang dalam soal kerja dan rekreasi. Bible kata, “Segenggam rehat lebih baik daripada dua genggam kerja keras dan usaha mengejar angin.” (Pengkhutbah 4:6) Ada orang yang terlalu gilakan kerja sehingga tiada masa untuk berekreasi. Sesetengah orang pula berat tulang dan malas bekerja. Tetapi kita mahu bersikap seimbang. Bible menggalakkan kita untuk bekerja keras dan menikmati hasil kerja kita kerana itu “pemberian Tuhan.”​—Pengkhutbah 5:19.

Dapatkan tidur yang cukup. Seorang penulis Bible kata, “Aku akan berbaring dan tidur dengan tenteram.” (Mazmur 4:8) Biasanya, orang dewasa memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam tidur setiap malam. Hal itu menyumbang kepada emosi yang lebih stabil, badan yang lebih sihat, dan otak yang lebih cergas. Anda bukannya membuang masa semasa tidur. Tidur yang cukup dapat membantu anda menumpukan perhatian, mempunyai ingatan yang lebih baik, dan belajar sesuatu dengan lebih cepat. Jika kita tidak cukup tidur pula, kita lebih senang jadi marah, buat kesilapan, dan bahkan mengalami kemalangan.

Tetapkan matlamat yang realistik. Bible kata, “Lebih baik menikmati apa yang dapat dilihat dengan mata daripada mengejar keinginan hati.” (Pengkhutbah 6:9) Pengajarannya? Jangan biarkan keinginan kita yang tidak realistik untuk mengawal kita. Jika kita berpuas hati, kita akan bertumpu pada matlamat kita dan tidak senang tersimpang. Dengan demikian, kita tidak akan mengikut hati kita dan mengejar hal-hal yang mustahil dicapai.

Nasihat 4: Ikut Nilai-Nilai Murni

Tentukan pegangan hidup anda. Hidup kita diibaratkan seperti anak panah, dan pegangan hidup yang betul akan membantu kita menghalakan anak panah ke arah sasarannya. Banyak orang menggunakan Bible sebagai pegangan hidup mereka. (Amsal 2:6, 7) Dengan demikian, mereka mempunyai keutamaan hidup yang betul dan dapat menggunakan masa mereka dengan bijak.

Pegangan hidup yang berdasarkan kasih. Kolose 3:14 kata, “Kasih ialah ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.” Tanpa kasih, kita tidak dapat hidup dengan bahagia. Jika kita melaburkan masa untuk memupuk kasih dalam keluarga, kita akan rasa selamat dan bahagia. Tetapi jika kita menggunakan semua masa kita untuk mengejar kekayaan dan kerjaya, kita tidak akan dapat sukacita yang kekal. Sememangnya, Tuhan mahu kita menjadikan kasih sebagai pegangan hidup kita.​—1 Korintus 13:1-3; 1 Yohanes 4:8.

Luangkan masa untuk memenuhi keperluan rohani anda. Geoff ialah seorang paramedik. Dia ada seorang isteri yang pengasih dan dua orang anak. Dia juga mempunyai kawan-kawan yang baik. Namun setiap hari di tempat kerjanya, dia melihat banyak orang menderita dan bahkan mati. Hal ini buat Geoff tertanya-tanya, “Apakah tujuan hidup?” Pada suatu hari, dia menemui jawapan kepada soalannya dalam bahan bacaan yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

Kemudian Geoff menceritakan apa yang dibacanya kepada isteri dan anak-anaknya. Mereka sangat berminat dengan apa yang mereka dengar. Mereka mula meluangkan masa untuk belajar Bible dan hal itu telah memperkaya hidup mereka. Melalui Bible, mereka juga belajar tentang masa depan yang cerah tanpa penderitaan.​—Wahyu 21:3, 4.

Pengalaman Geoff mengingatkan kita tentang kata-kata Yesus, “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka.” (Matius 5:3) Adakah anda sudi meluangkan masa untuk memenuhi keperluan rohani anda? Ini adalah cara terbaik anda dapat menggunakan masa anda, dan hal ini akan menjadikan hidup anda lebih bermakna.

a Lihat rencana “20 Cara Menciptakan Lebih Banyak Waktu,” dalam majalah Sedarlah! bahasa Indonesia terbitan April 2010.