Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

4 | Bible Memberikan Nasihat yang Praktikal

4 | Bible Memberikan Nasihat yang Praktikal

BIBLE KATA: “Segenap Ayat-Ayat Suci . . . berguna.”​—2 TIMOTIUS 3:16.

Maksudnya

Bible bukanlah buku panduan perubatan, tetapi Bible mempunyai nasihat yang praktikal dan berguna. Nasihat Bible dapat membantu seseorang yang sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental. Perhatikan beberapa contoh.

Manfaatnya untuk Kita

“Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.”​—MATIUS 9:12.

Bible memberitahu kita bahawa kita perlu mendapatkan rawatan perubatan. Banyak orang berasa lega selepas mendapat lebih banyak maklumat tentang penyakit mental mereka daripada pakar perubatan dan sumber yang dapat dipercayai.

“Latihan jasmani ada faedahnya.”​—1 TIMOTIUS 4:8, Alkitab Berita Baik.

Jika kita menggunakan masa dan tenaga kita untuk memupuk tabiat yang sihat, kita dapat meningkatkan kesihatan mental kita. Kita boleh melakukan hal-hal seperti bersenam secara tetap, mengamalkan pemakanan yang sihat, dan mendapatkan tidur yang secukupnya.

“Hati yang gembira bagaikan ubat yang mujarab, tetapi hati yang hancur mematahkan semangat.”​—AMSAL 17:22.

Apabila anda membaca kisah Bible yang menggalakkan dan menetapkan matlamat yang mampu anda capai, hal itu dapat membantu anda menjadi lebih ceria. Jika anda bersikap positif dan percaya bahawa masa depan akan bertambah baik, anda akan dibantu untuk terus seimbang dari segi emosi semasa anda menangani masalah kesihatan mental.

“Kebijaksanaan ada pada orang yang rendah hati.”​—AMSAL 11:2.

Anda mungkin mendapati anda tidak dapat melakukan segala yang anda ingin lakukan, jadi terimalah bantuan orang lain. Keluarga dan sahabat anda ingin membantu anda, tetapi mereka mungkin tidak tahu caranya. Maka beritahulah mereka bagaimana mereka dapat membantu anda. Janganlah mengharapkan terlalu banyak daripada mereka, dan ingatlah untuk sentiasa menunjukkan penghargaan.

Bagaimana Nasihat Bible Membantu Mereka

“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan saya, jadi saya jumpa dengan doktor. Selepas doktor memberitahu saya apa masalah saya, saya dapat menerima hakikatnya dan cuba mencari rawatan yang sesuai.”​—Nicole, a yang menderita gangguan bipolar.

“Saya mendapati bahawa membaca Bible secara tetap bersama isteri saya membantu saya untuk memulakan hari saya dengan fikiran yang positif dan membina. Pada hari-hari yang saya rasa sangat murung, pasti ada ayat Bible yang menyentuh hati saya.”​—Peter, yang mengalami masalah kemurungan.

“Saya berasa sangat malu untuk memberitahu orang lain masalah saya. Tapi seorang kawan rapat sudi mendengar dengan teliti dan cuba menyelami perasaan saya. Kerana bantuannya, saya rasa lebih OK dan tidak rasa keseorangan.”​—Ji-yoo, yang bergelut dengan masalah gangguan pemakanan.

“Bible membantu saya seimbangkan kerja dengan waktu rehat. Nasihat Bible yang bijak telah membantu saya menangani masalah emosi saya.”​—Timothy, yang mengalami masalah gangguan obsesif kompulsif.

a Sesetengah nama telah diubah.