Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | APAKAH AJARAN BIBLE TENTANG HIDUP DAN MATI?

Ajaran Bible tentang Kehidupan dan Kematian

Ajaran Bible tentang Kehidupan dan Kematian

Dengan membaca buku Kejadian dalam Bible, kita tahu bahawa Tuhan memberi Adam, manusia yang pertama, perintah ini: “Engkau boleh makan buah-buahan daripada semua pokok di taman ini, kecuali buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Engkau tidak boleh makan buah pokok itu; jika engkau memakannya, engkau pasti mati pada hari itu juga.” (Kejadian 2:16, 17) Kata-kata Tuhan jelas menunjukkan bahawa jika Adam mentaati perintah-Nya, dia akan terus hidup di Taman Eden dan tidak akan mati.

Sedihnya, Adam membuat keputusan yang salah. Dia memilih untuk mengingkari Tuhan dengan memakan buah larangan yang diberikan isterinya Hawa. (Kejadian 3:1-6) Kita masih merasai akibat daripada tindakan itu. Rasul Paulus berkata, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.” (Roma 5:12) “Satu orang” itu ialah Adam. Tetapi apakah dosa Adam, dan mengapakah dosa itu membawa kematian?

Adam telah berdosa dengan sengaja melanggar hukum Tuhan. (1 Yohanes 3:4) Seperti yang dikatakan tadi, hukuman bagi dosa ialah kematian. Jelaslah bahawa Tuhan tidak menciptakan manusia untuk mati. Jika Adam dan keturunannya tetap mematuhi perintah Tuhan, mereka tidak akan berdosa dan akan hidup selama-lamanya.

Sememangnya, “kematian tersebar kepada semua orang.” Namun selepas seseorang mati, adakah jiwa atau rohnya akan terus hidup di alam lain seperti yang dipercayai banyak orang? Jika jiwa manusia tidak dapat mati, kematian bukan lagi hukuman bagi dosa. Hal itu bermaksud Tuhan telah menipu Adam. Tetapi Bible menyatakan, “Tidak mungkin Tuhan akan berdusta.” (Ibrani 6:18) Hakikatnya, Syaitanlah yang telah berdusta apabila dia memberitahu Hawa, “Kamu tidak akan mati.”​—Kejadian 3:4.

Persoalannya, jika ajaran tentang jiwa yang tidak dapat mati ialah suatu penipuan, apakah yang sebenarnya berlaku selepas kita mati?

BIBLE MEMBERIKAN PENJELASAN YANG TEPAT

Buku Kejadian menyatakan, ‘Tuhan Yehuwa mengambil sedikit tanah dan membentuk manusia, lalu menghembuskan nafas yang memberi hidup ke dalam lubang hidungnya; maka hiduplah manusia itu.’ Ungkapan “hiduplah manusia itu” diterjemahkan daripada perkataan Ibrani ne’phesh, * yang secara harfiah bermaksud “makhluk yang bernafas.”​—Kejadian 2:7.

Maka, Bible dengan jelas menyatakan bahawa Tuhan memberi manusia “nafas yang memberi hidup,” bukannya roh yang tidak dapat mati. Itulah sebabnya anda tidak akan menjumpai ungkapan “jiwa yang tidak dapat mati” dalam Bible.

Memandangkan Bible tidak mengajarkan bahawa manusia memiliki jiwa yang tidak dapat mati, mengapakah kebanyakan agama mengajarkan yang sebaliknya? Sebenarnya, ajaran ini bermula pada zaman Mesir kuno.

AJARAN KAFIR YANG TERSEBAR LUAS

Herodotus, seorang sejarawan Yunani pada abad kelima SM, menyatakan bahawa orang Mesir ialah “golongan pertama yang berpegang pada ajaran bahawa jiwa tidak dapat mati.” Ajaran itu juga berkait rapat dengan orang Babilonia kuno. Semasa Iskandar Agung menakluki Asia Tengah pada 332 SM, ahli-ahli falsafah Yunani sudah menjadikan ajaran itu sangat popular. Tidak lama kemudian, ajaran tentang jiwa yang tidak dapat mati telah tersebar ke seluruh Empayar Yunani.

Anda tidak dapat menjumpai ungkapan “jiwa yang tidak dapat mati” dalam Bible

Pada abad pertama Masihi, dua kumpulan Yahudi, iaitu golongan Essene dan Farisi, mengajarkan bahawa terdapat jiwa yang terus hidup selepas seseorang mati. Buku The Jewish Encyclopedia menyatakan, “Orang Yahudi percaya akan jiwa yang tidak dapat mati kerana pengaruh ajaran Yunani, terutamanya falsafah Plato.” Josephus, seorang sejarawan Yahudi abad pertama, menyatakan bahawa ajaran itu tidak berasal daripada Kitab Suci, tetapi daripada “kepercayaan orang Yunani.” Dia menyifatkan ajaran itu sebagai koleksi cerita dongeng para ahli mitologi.

Apabila pengaruh budaya Yunani semakin meluas, orang yang mengaku diri Kristian juga menerima ajaran kafir bahawa jiwa manusia tidak dapat mati. Menurut sejarawan Jona Lendering, “Plato beranggapan bahawa jiwa kita pernah hidup di alam yang lebih baik tapi kini berada di dunia yang jahat. Falsafahnya mudah digabungkan dengan ajaran Kristian.” Demikianlah ajaran kafir itu diserap ke dalam gereja “Kristian” dan menjadi salah satu kepercayaannya yang asas.

“KEBENARAN ITU AKAN MEMBEBASKAN KAMU”

Pada abad pertama, Rasul Paulus mengingatkan orang Kristian bahawa “firman yang diilhami Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa akan tiba suatu jangka masa apabila sesetengah orang akan menyangkal iman, kerana mereka menumpukan perhatian kepada ajaran roh-roh jahat dan kepada pernyataan yang menyesatkan yang diilhami oleh roh-roh jahat.” (1 Timotius 4:1) Kata-kata itu memang benar! Ajaran tentang jiwa yang tidak dapat mati merupakan “ajaran roh-roh jahat.” Ajaran itu tidak berdasarkan Bible, tetapi berasal daripada agama kafir dan falsafah zaman kuno.

Yesus pernah berkata, “Kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan membebaskan kamu.” (Yohanes 8:32) Apabila kita menimba pengetahuan yang tepat daripada Bible, kita dibebaskan daripada banyak ajaran dan amalan yang tidak menyenangkan hati Tuhan. Kita juga dibebaskan daripada adat dan pantang larang yang berkaitan dengan kematian.​—Lihat kotak “ Di Manakah Orang Mati?

Pencipta kita tidak ingin kita hidup sekadar 70 atau 80 tahun di bumi dan kemudian berpindah ke alam lain untuk hidup selama-lamanya. Tuhan sangat mengasihi manusia dan mahu manusia yang taat kepada-Nya hidup selama-lamanya di bumi. Tujuan itu pasti tercapai dan tidak akan gagal. (Maleakhi 3:6) Penulis mazmur berkata, “Orang yang salih akan memiliki negeri ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.”​—Mazmur 37:29.

 

^ per. 9 Dalam Alkitab Versi Borneo, perkataan ne’phesh diterjemahkan sebagai “makhluk yang hidup.”