Tahukah Anda?
Apakah asal usul rumah ibadat orang Yahudi?
ISTILAH “rumah ibadat” berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud “berkumpul” atau “berhimpun.” Nama ini memang sesuai, sebab orang Yahudi biasanya berkumpul untuk belajar dan beribadat di rumah ibadat sejak zaman dahulu. Walaupun rumah ibadat tidak disebut dalam Kitab Ibrani, Kitab Yunani Kristian menyatakan dengan jelas bahawa tempat sebegini sudah wujud pada abad pertama Masihi.
Kebanyakan cendekiawan percaya bahawa rumah ibadat mula dibina semasa orang Yahudi menjadi tawanan di Babilon. Encyclopaedia Judaica menjelaskan, “Mereka berada di negeri asing yang tidak ada Rumah Tuhan. Untuk mendapat kelegaan pada waktu kesusahan, mereka akan berkumpul dari masa ke masa, mungkin pada hari Sabat, untuk membaca Ayat-Ayat Suci.” Selepas dibebaskan, nampaknya orang Yahudi terus berkumpul untuk berdoa dan membaca Ayat-Ayat Suci, dan mereka mendirikan rumah ibadat di mana sahaja mereka menetap.
Pada abad pertama Masihi, rumah ibadat sudah menjadi pusat kegiatan agama dan sosial bagi masyarakat Yahudi di serata kawasan Mediterranean, Timur Tengah, dan di negeri Israel. Profesor Lee Levine dari Universiti Ibrani Yerusalem berkata, “Rumah ibadat ialah tempat untuk belajar, mengadakan jamuan suci, membicarakan kes, mengumpul dana untuk kegunaan komuniti, dan untuk pertemuan politik atau sosial.” Dia menambah, “Sudah pasti, upacara agama ialah kegiatan terpenting di situ.” Itulah sebabnya Yesus sering pergi ke rumah ibadat untuk mengajar dan menggalakkan orang di situ. (Mrk. 1:21; 6:2; Luk. 4:16) Selepas sidang Kristian ditubuhkan, Rasul Paulus juga sering menginjil di rumah ibadat. Orang yang berminat tentang hal rohani selalunya pergi ke rumah ibadat. Oleh itu, semasa Paulus memasuki sesebuah kota, dia biasanya akan menginjil di rumah ibadat terlebih dahulu.—Kis. 17:1, 2; 18:4.