Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara Menjadi Sahabat Sejati

Cara Menjadi Sahabat Sejati

PERNAHKAH anda menghadapi masalah dan berasa tiada orang yang membantu anda? Kita sedang hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi” yang boleh membuat kita berasa tawar hati dan sunyi. (2 Tim. 3:1) Namun, Bible memberitahu kita bahawa terdapat sahabat sejati yang dapat menyokong kita “pada masa kesusahan.”​—Ams. 17:17.

SAHABAT SEJATI SANGAT BERNILAI

Biarpun ditahan di rumah, Rasul Paulus dapat melaksanakan tugas sucinya dengan adanya bantuan daripada sahabat yang setia

Sahabat-sahabat Paulus yang mengikutnya dalam perjalanannya sebagai mubaligh memberinya banyak bantuan. (Kol. 4:​7-11) Perhatikan bagaimana mereka membantu Paulus semasa dia dipenjarakan di Roma. Epafroditus membawa barang keperluan yang disediakan oleh sidang di Filipi dan memberikannya kepada Paulus. (Flp. 4:18) Tikhikus mengirim surat Paulus kepada sidang-sidang. (Kol. 4:7) Dengan adanya sokongan daripada sahabatnya, Paulus dapat terus menjalankan tugas sucinya biarpun dia ditahan di rumah atau dipenjarakan. Bagaimanakah anda dapat menjadi sahabat sejati hari ini?

Perhatikan contoh zaman moden yang menunjukkan pentingnya memiliki sahabat sejati. Elisabet, seorang perintis biasa di Sepanyol, telah merasai bantuan daripada sahabat sejati. Semasa ibunya didapati menghidap penyakit kanser yang tidak dapat diubati, seorang saudari telah menghantar banyak mesej yang menggalakkan daripada Bible kepada Elisabet. Elisabet berkata, “Mesej-mesej itu meyakinkan saya bahawa saya tidak keseorangan dan menguatkan saya untuk menghadapi cabaran setiap hari.”​—Ams. 18:24.

Persahabatan kita dengan rakan seiman dapat menjadi lebih erat jika kita membantu mereka menyertai aktiviti sidang. Contohnya, dapatkah anda menyediakan pengangkutan untuk saudara atau saudari tua yang mahu menghadiri perjumpaan atau keluar menginjil? Dengan memberikan bantuan, anda dan mereka berpeluang menggalakkan satu sama lain. (Rm. 1:12) Bagaimana pula dengan rakan seiman yang tidak dapat keluar dari rumah? Bagaimanakah kita dapat menjadi sahabat sejati mereka?

MENJADI SAHABAT SEJATI BAGI MEREKA YANG TIDAK DAPAT KELUAR DARI RUMAH

Sesetengah rakan seiman kita tidak dapat menghadiri perjumpaan secara bersemuka kerana masalah kesihatan atau cabaran lain. Perhatikan pengalaman David, yang menghidap penyakit limfoma, iaitu sejenis kanser. Selama lebih daripada enam bulan, dia menerima rawatan kemoterapi. Sepanjang rawatannya, David dan isterinya Lidia menghadiri perjumpaan melalui persidangan video.

Bagaimanakah sahabat-sahabat mereka di sidang menyokong mereka? Selepas perjumpaan, saudara saudari di Dewan Perjumpaan akan berbual dengan David dan Lidia menerusi persidangan video. Selain itu, apabila David dan Lidia memberikan komen, saudara saudari akan menghantar mesej untuk mengucapkan terima kasih. Hasilnya, David dan Lidia berasa dikasihi.

Jemputlah mereka yang tidak dapat keluar dari rumah untuk menginjil bersama anda

Dapatkah anda menjemput mereka yang tidak dapat keluar dari rumah untuk menginjil bersama anda? Dengan membuat sedikit perubahan dalam jadual anda, anda dapat menunjukkan bahawa anda tidak melupakan mereka. (Ams. 3:27) Contohnya, cubalah aturkan masa untuk membuat kesaksian menerusi telefon atau surat bersama mereka. Selain itu, dapatkah anda mengaturkan supaya mereka dapat menyertai perjumpaan sebelum kerja penyebaran melalui persidangan video? David dan Lidia menghargai aturan sebegini. David berkata, “Perjumpaan sebelum kerja penyebaran dan doa memang singkat. Tetapi kami rasa bersemangat setelah menghadirinya bersama saudara saudari.” Tambahan lagi, jika keadaannya selamat dan sesuai, dari masa ke masa, bawalah pelajar Bible anda ke rumah seorang penyiar yang tidak dapat keluar dari rumah supaya dia dapat menyertai pembelajaran Bible anda.

Apabila kita meluangkan masa untuk melakukan aktiviti rohani bersama saudara saudari yang tidak dapat keluar dari rumah, kita dapat melihat sifat-sifat baik mereka dan menjadi lebih rapat dengan mereka. Sebagai contoh, semasa anda melihat bagaimana mereka menggunakan Firman Tuhan untuk mencapai hati orang, anda akan lebih menghormati mereka. Apabila anda menyokong rakan seiman anda, anda sedang meluaskan lingkungan persahabatan anda.​—2 Kor. 6:13.

Semasa Paulus ditimpa kesusahan, dia berasa lega kerana sahabatnya Titus datang untuk melawatnya. (2 Kor. 7:​5-7) Kisah ini mengingatkan kita bahawa kita dapat melegakan rakan seiman yang susah hati bukan sahaja melalui kata-kata kita, tetapi juga dengan menemani mereka dan memberi mereka bantuan praktikal.​—1 Yoh. 3:18.

MENJADI SAHABAT SEJATI BAGI MEREKA YANG DIANIAYA

Saudara saudari di Rusia menetapkan teladan yang baik dengan menyokong rakan seiman mereka yang dianiaya. Perhatikan pengalaman Sergey dan isterinya, Tatyana. Selepas rumah mereka digeledah oleh polis, mereka dibawa untuk disoal siasat. Tatyana dibebaskan terlebih dahulu dan pulang ke rumah. Sergey berkata, “Sejurus selepas [Tatyana] sampai ke rumah, seorang saudari yang berani berada di depan pintu. Selepas itu, lebih ramai saudara saudari datang dan bantu kami bersihkan rumah.”

Sergey menambah, “Dari dulu lagi saya suka ayat di Amsal 17:17 yang kata, ‘Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.’ Ayat ini menjadi semakin bermakna bagi saya terutamanya semasa saya dianiaya dan pada saat saya tidak dapat bertahan seorang diri. Yehuwa beri kawan-kawan yang berani. Mereka di samping saya dan bersedia untuk hulurkan bantuan.” a

Seraya masalah hidup semakin bertambah, kita akan semakin memerlukan sahabat sejati yang dapat diharapkan, dan kita akan lebih memerlukan mereka semasa kesengsaraan besar. Maka, marilah kita berusaha untuk menjadi sahabat yang sejati sekarang!​—1 Ptr. 4:​7, 8.