DAPATKAH BUMI KITA DISELAMATKAN?
Lautan
LAUTAN bukan sahaja menghasilkan banyak makanan untuk kita, tetapi juga mempunyai banyak bahan yang diperlukan untuk menghasilkan ubat-ubatan. Lebih separuh daripada oksigen di bumi dihasilkan oleh lautan, dan lautan juga menyerap gas-gas karbon yang berbahaya. Tambahan lagi, lautan menyederhanakan iklim bumi.
Lautan Kita Terancam
Perubahan iklim mengancam terumbu karang, kerang-kerangan, dan hidupan laut yang lain. Terumbu karang menampung kehidupan sekurang-kurangnya 25 peratus hidupan di laut. Tetapi ahli sains menjangkakan bahawa hampir semua terumbu karang mungkin lenyap dalam masa 30 tahun.
Menurut anggaran pakar, hampir 90 peratus burung laut telah menelan sisa plastik. Jutaan hidupan laut mati setiap tahun disebabkan sisa plastik.
Pada tahun 2022, Setiausaha Agung PBB, António Guterres, berkata, “Kita tidak menjaga lautan dengan baik. Kini kita berdepan dengan masalah yang saya gelar ‘Kecemasan Lautan.’”
Bumi—Direka supaya Lautan Tetap Bersih
Lautan dan hidupan laut direka agar dapat tetap bersih dan sihat jika tidak dicemari dengan teruk. Buku Regeneration: Ending the Climate Crisis in One Generation menjelaskan bahawa apabila lautan tidak dicemari oleh industri manusia, “keupayaan lautan untuk membaiki dan memulihkan diri sendiri dapat berfungsi dengan baik.” Perhatikan beberapa contoh berikut:
-
Organisma halus yang dipanggil fitoplankton menyerap dan menyimpan karbon dioksida, iaitu gas yang dipercayai merupakan punca utama pemanasan global. Karbon dioksida yang diserap oleh fitoplankton sahaja sudah hampir sama dengan karbon dioksida yang diserap oleh pokok, rumput, dan tumbuhan darat yang lain.
-
Mikrob akan makan sisa dan bangkai ikan supaya tidak mencemari laut. Kemudian mikrob akan menjadi makanan bagi hidupan laut yang lain. Menurut Smithsonian Institution Ocean Portal, rangkaian ini membolehkan “laut tetap bersih dan jernih.”
-
Air laut yang bersifat asid berbahaya untuk terumbu karang, kerang-kerangan, dan hidupan lain. Tetapi sistem pencernaan banyak hidupan laut dapat mengubah air laut yang bersifat asid menjadi alkali.
Usaha Manusia untuk Menjaga Lautan
Jika sampah tidak dibuang ke dalam laut, laut tidak perlu dibersihkan. Pakar menggalakkan orang ramai untuk menggunakan semula beg dan bekas penyimpanan barang atau makanan, daripada menggunakan produk plastik pakai buang.
Tetapi itu tidak cukup. Baru-baru ini, dalam masa setahun, sebuah pertubuhan alam sekitar telah mengumpulkan lebih daripada 8,300 tan sampah yang terdampar di pantai di 112 negara. Jumlah itu hanya sekitar 0.1 peratus daripada jumlah sampah yang dibuang ke dalam laut setiap tahun.
National Geographic melaporkan bahawa “keadaan laut yang menjadi semakin berasid nampaknya tidak dapat dipulihkan. Manusia menggunakan begitu banyak bahan bakar fosil sehingga hidupan di laut tidak mampu membersihkan lautan.”
Mengapa Bumi Masih Ada Harapan—Bible kata:
“Bumi penuh dengan hasil karya-Mu. Lihatlah laut yang luas terbentang, sarat dengan makhluk hidup yang tidak terkira, baik kecil mahupun besar.”—Mazmur 104:24, 25.
Tuhan telah menciptakan laut dan memberi laut keupayaan untuk membersihkan diri. Fikirkan: Jika Tuhan begitu mengenali lautan dan semua hidupan di laut, sudah tentu Dia dapat memulihkan lautan kita yang sudah dicemari. Lihat rencana “Tuhan Berjanji Bumi Kita Akan Selamat,” pada muka surat 15.