Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menyedari Kelebihan Orang Lain

Menyedari Kelebihan Orang Lain

Masalahnya

Orang yang berprasangka biasanya bersikap ego dan menganggap diri lebih unggul daripada orang lain. Sesiapa sahaja dapat dipengaruhi sikap sebegini. Encyclopædia Britannica menyatakan, “Pada tahap tertentu, kebanyakan bangsa berasa bahawa cara hidup, makanan, pakaian, tabiat, kepercayaan, dan nilai bangsa mereka, lebih unggul daripada bangsa lain.” Bagaimanakah kita dapat mengelakkan pemikiran sebegini?

Prinsip Bible

“Dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri.”​—FILIPI 2:3.

Apakah maksudnya? Untuk mengelakkan diri daripada menjadi sombong, kita perlu memupuk kerendahan hati. Kerendahan hati membantu kita sedar bahawa orang lain lebih baik daripada kita dalam hal-hal tertentu, dan tiada kumpulan atau golongan yang memiliki semua kebolehan atau sifat baik.

Perhatikan contoh Stefan. Dia membesar di sebuah negara Komunis dan berjaya mengatasi sikap prasangka terhadap orang dari negara bukan Komunis. Dia berkata, “Untuk melawan sikap prasangka, amat penting untuk memandang orang lain lebih baik daripada diri kita. Saya perlu ingat bahawa saya tidak tahu segala-galanya dan dapat belajar sesuatu daripada setiap orang.”

Apa yang Dapat Anda Lakukan

Cubalah berpandangan realistik terhadap diri sendiri, dan akuilah kesilapan anda. Ingatlah bahawa orang lain lebih baik daripada anda dalam hal-hal tertentu, dan jangan berfikir bahawa semua orang dalam satu golongan memiliki kelemahan yang sama.

Daripada berpandangan negatif terhadap seseorang daripada golongan tertentu, tanyalah diri soalan-soalan seperti:

Ingatlah bahawa orang lain lebih baik daripada anda dalam hal-hal tertentu

  • “Adakah sifat orang ini yang saya tidak suka memang sifat yang buruk atau cuma berbeza daripada sifat saya?”

  • “Apakah kelemahan-kelemahan saya yang dapat dilihat oleh orang ini?”

  • “Orang ini lebih baik daripada saya dari segi apa?”

Jika anda menjawab soalan-soalan itu dengan jujur, anda bukan sahaja dapat mengatasi sikap prasangka terhadap orang itu, tetapi juga akan mula menghargai sifat-sifat baiknya.