Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TAPANI VIITALA | KISAH HIDUP

Mencapai Hasrat Saya untuk Membantu Orang Pekak

Mencapai Hasrat Saya untuk Membantu Orang Pekak

 Semasa pertama kali saya berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa, mereka menunjukkan kepada saya bahawa “telinga orang yang tuli akan dapat mendengar.” (Yesaya 35:5) Tetapi oleh sebab saya dilahirkan pekak, saya rasa susah untuk bayangkan bunyi. Akibatnya, janji itu tidak benar-benar mencapai hati saya. Saya lebih minat apabila mereka mengongsi kepada saya daripada Bible bahawa Kerajaan Tuhan akan mengakhiri semua ketidakadilan, peperangan, penyakit, dan bahkan kematian. Belakangan, saya memiliki hasrat yang membara untuk mengongsi apa yang saya pelajari kepada orang pekak yang lain.

 Saya lahir pada tahun 1941 dalam keluarga pekak, dan kami tinggal di Virrat, Finland. Ibu bapa saya, banyak saudara-mara saya, serta adik lelaki dan adik perempuan saya juga pekak. Kami berkomunikasi dalam bahasa isyarat.

Belajar Perkara yang Menakjubkan daripada Bible

 Di sekolah asrama saya, yang terletak kira-kira 240 kilometer dari rumah, kami tidak dibenarkan untuk menggunakan bahasa isyarat. Pada masa itu, sekolah untuk orang pekak di Finland menggunakan pendekatan dengar tutur. Jadi kami dipaksa untuk belajar bahasa percakapan dan bacaan gerak bibir. Jika cikgu kami nampak kami menggunakan bahasa isyarat, mereka akan mengambil pembaris atau kayu penunjuk untuk pukul jari kami dengan sangat kuat sehingga bengkak selama berhari-hari.

 Selepas sekolah menengah, saya pergi ke kolej pertanian. Ibu bapa saya mempunyai sebuah ladang, dan saya perlu belajar kemahiran untuk mengusahakan ladang. Semasa saya kembali ke rumah, saya nampak Menara Pengawal dan Sedarlah! di atas meja. Ayah saya beritahu saya bahawa majalah-majalah ini menjelaskan perkara yang menakjubkan daripada Bible dan ada sepasang suami isteri datang untuk mengadakan pembelajaran Bible dengannya dan ibu. Mereka menggunakan pen dan kertas untuk berkomunikasi dengan ibu bapa saya.

 Ayah beritahu saya bahawa semasa Kerajaan Tuhan memerintah, bumi akan menjadi sebuah firdaus yang indah dan orang mati akan dibangkitkan. Tetapi selama ini saya diajar bahawa orang mati akan pergi ke syurga. Saya fikir dia pasti sudah salah faham dengan ajaran Saksi-Saksi Yehuwa kerana mereka tidak berkomunikasi dengannya dalam bahasa isyarat.

 Semasa pasangan itu datang mengunjungi ibu bapa saya lagi, saya tanya mereka tentang hal-hal yang ayah saya katakan. Mereka berkata bahawa apa yang ayah saya cakap itu betul. Mereka menunjukkan kepada saya apa yang dikatakan Yesus tentang pembangkitan di Yohanes 5:28, 29. Mereka menjelaskan bagaimana Tuhan akan mengakhiri kejahatan dalam bumi ini dan bahawa orang akan hidup selama-lamanya dalam keadaan aman dan kesihatan yang sempurna.—Mazmur 37:10, 11; Daniel 2:44; Wahyu 21:1-4.

 Saya mahu tahu lebih lanjut, jadi saya mula belajar Bible dengan seorang Saksi yang bernama Antero. Dia tidak tahu bahasa isyarat, jadi saya menjawab soalan dalam buku pembelajaran dengan menulis jawapan dalam sekeping kertas. Kemudian, Antero akan membaca dan menulis soalan atau komen tambahan. Dia dengan sabar menggunakan cara ini untuk belajar dengan saya selama dua jam setiap minggu.

 Pada tahun 1960, saya menghadiri konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa dan programnya diterjemahkan ke dalam bahasa isyarat. Pada petang Jumaat, sebuah pengumuman dibuat yang menyatakan bahawa pembaptisan akan berlangsung pada keesokan hari. Jadi pada pagi Sabtu, saya membawa seluar renang dan tuala saya, dan kemudian dibaptis! a Tidak lama kemudian, ibu bapa dan adik-adik saya juga dibaptis.

Semua ahli keluarga saya akhirnya dibaptis

Mengongsi Kebenaran Bible

 Saya ingin mengongsi apa yang saya pelajari kepada orang pekak yang lain, dan cara terbaik untuk mencapai mereka adalah dengan bahasa isyarat. Mula-mula, saya menginjil dengan bersemangat kepada orang pekak di kampung halaman saya.

 Tidak lama kemudian saya berpindah ke Tampere, sebuah bandar perindustrian yang besar. Saya mencari orang pekak di sana dengan pergi dari rumah ke rumah dan menanya penghuni rumah jika mereka tahu sesiapa yang pekak. Saya mula mengadakan pembelajaran Bible melalui cara ini, dan dalam beberapa tahun sahaja, kawasan Tampere mempunyai lebih daripada 10 penyiar yang pekak.

 Pada tahun 1965, saya berjumpa dengan seorang saudari yang cantik bernama Maire. Kami berkahwin pada tahun yang seterusnya. Maire cepat belajar bahasa isyarat, dan dia sememangnya pasangan yang setia dan rajin selama kami berkhidmat kepada Yehuwa bersama-sama untuk 50 tahun.

Perkahwinan kami, 1966

 Dua tahun selepas berkahwin, kami mempunyai seorang anak bernama Marko yang dapat mendengar. Di rumah, dia belajar bahasa Finland yang merupakan bahasa ibundanya, dan Bahasa Isyarat Finland. Marko dibaptis semasa berusia 13 tahun.

 Belakangan banyak orang baharu menyertai kumpulan bahasa isyarat di Tampere. Jadi pada tahun 1974, kami pindah ke bandar Turku. Di sana tiada Saksi yang pekak. Sekali lagi, kami mencari orang pekak dengan pergi dari rumah ke rumah. Selama bertahun-tahun di Turku, 12 orang pelajar Bible saya telah dibaptis.

Berkhidmat di Negara Baltik

 Pada tahun 1987, Marko dijemput untuk berkhidmat di Bethel. Kumpulan bahasa isyarat kami di Turku telah menjadi kukuh, jadi kami mula membuat rancangan untuk berpindah lagi.

 Pada masa itu, kami dapat menginjil dengan bebas di Eropah Timur. Jadi pada Januari 1992, saya membuat perjalanan dengan seorang saudara pekak ke Tallinn, Estonia.

 Kami dapat berjumpa dengan seorang saudari yang mempunyai seorang abang yang pekak. Walaupun dia tidak menunjukkan minat terhadap mesej Kerajaan Tuhan, dia sangat baik hati dan membantu kami untuk mencari banyak orang pekak di Estonia. Pada malam terakhir kunjungan kami, dia membawa kami ke sebuah mesyuarat Persatuan Orang Pekak Estonia di Tallinn. Kami tiba awal dan meletakkan majalah dan buku dalam bahasa Estonia dan Rusia di atas sebuah meja. Kami telah menawarkan lebih daripada 100 buah buku dan 200 majalah serta mendapat kira-kira 70 alamat. Pada malam itulah kami telah meletakkan asas untuk kerja penyebaran bagi bahasa isyarat di Estonia!

Perjalanan semasa ke salah satu negara Baltik

 Tidak lama kemudian, saya dan Maire mula membuat perjalanan ke Estonia secara tetap untuk menginjil. Kami mengurangkan masa kerja sekular kami dan menceburi khidmat perintis. Pada tahun 1995, kami pindah lebih dekat dengan Helsinki supaya lebih senang untuk naik feri ke Tallinn. Kerja penyebaran kami di Estonia jauh lebih baik daripada apa yang kami sangkakan!

 Kami berusaha mengendalikan sebanyak mungkin pembelajaran Bible, dan 16 orang pelajar kami membuat kemajuan hingga dibaptis, termasuk dua adik-beradik perempuan yang buta dan pekak. Saya akan mengajar mereka Bible dengan memberikan isyarat di tangan mereka. Kaedah ini merupakan bahasa isyarat sentuhan.

 Mengajar Bible kepada orang pekak sangat mencabar. Pada masa itu, bahan terbitan bahasa isyarat tidak tersedia untuk kawasan penyebaran kami. Jadi saya menggunakan sebaik-baiknya gambar yang menarik daripada bahan bacaan kita dan mengumpulkannya ke dalam buku skrap.

 Pejabat cawangan di Finland meminta saya untuk melawat Latvia dan Lithuania untuk mencari tahu apa yang dapat kami lakukan untuk membantu orang yang berbahasa isyarat di negara-negara Baltik ini. Kami melawat negara-negara ini untuk beberapa kali dan membantu Saksi tempatan untuk mencari orang pekak. Hampir setiap negara mempunyai bahasa isyarat tersendiri. Jadi, saya belajar Bahasa Isyarat Estonia, Latvia, dan Lithuania, termasuk sesetengah Bahasa Isyarat Rusia, yang digunakan oleh orang pekak Rusia yang tinggal di Baltik.

 Sedihnya selepas melawat Estonia dan negara-negara Baltik yang lain selama lapan tahun, Maire menghidap penyakit Parkinson, dan kami harus berhenti.

Aturan untuk Membantu Orang Pekak

 Pada tahun 1997, sebuah kumpulan penterjemah bahasa isyarat telah ditubuhkan di cawangan Finland. Oleh sebab kami tinggal berdekatan, saya dan Maire dapat membantu menyediakan bahan terbitan bahasa isyarat. Saya masih membantu kerja ini sekali-sekala hari ini. Kami bekerja bersama anak kami Marko. Dia dan isterinya Kirsi kemudiannya membantu untuk melatih kumpulan-kumpulan penterjemah bahasa isyarat di negara lain.

Membantu menghasilkan video-video dalam Bahasa Isyarat Finland

 Selain itu, pejabat cawangan telah mengaturkan kursus untuk membantu penyiar yang dapat mendengar untuk belajar bahasa isyarat. Dengan adanya kursus-kursus sebegini, ramai yang dapat menyertai kumpulan dan sidang bahasa isyarat, menyokong kerja penyebaran dan perjumpaan, dan melaksanakan tanggungjawab dalam sidang.

Hasrat Saya untuk Membantu Tetap Membara

 Pada tahun 2004, saya dan Maire membantu untuk menubuhkan sidang Bahasa Isyarat Finland yang pertama di Helsinki. Dalam tiga tahun, sidang itu menjadi kukuh dan mempunyai banyak perintis yang bersemangat.

 Sekali lagi, kami membuat rancangan untuk berpindah ke kawasan yang memerlukan lebih banyak bantuan. Pada tahun 2008, kami pindah dekat dengan Tampere dan kembali ke kumpulan bahasa isyarat yang kami tinggalkan 34 tahun yang lalu. Setahun kemudian, kumpulan bahasa isyarat itu menjadi sidang bahasa isyarat yang kedua di Finland.

 Namun pada masa itu, kesihatan Maire menjadi semakin teruk. Saya menjaganya sehingga dia meninggal pada tahun 2016. Walaupun saya sangat merindui Maire, saya menantikan saatnya bersatu dengannya di dunia baharu. Pada masa itu, penyakit tidak akan ada lagi.—Yesaya 33:24; Wahyu 21:4.

 Sampai sekarang, hasrat saya untuk mengongsi berita baik dengan orang pekak masih membara. Itulah kerja yang telah saya lakukan selama 60 tahun lalu!

a Hal ini berlaku sebelum aturan dibuat untuk penatua sidang berjumpa dengan calon pembaptisan terlebih dahulu.