Usaha Huldrych Zwingli untuk Mencari Kebenaran Bible
Hari ini, jika seseorang ingin periksa sama ada kepercayaan mereka selaras dengan Bible atau tidak, mereka dapat melakukannya dengan mudah. Namun, bukan semua orang dapat melakukan hal ini pada abad ke-16. Mengapa? Kerana kebanyakan orang tidak mempunyai Bible dalam bahasa sendiri. Jadi, hanya segelintir ahli gereja yang dapat membandingkan apa yang diajar dalam gereja dengan apa yang dikatakan dalam Bible. Tambahan lagi, pemimpin gereja juga tidak selalunya dapat membantu. Buku History of the Christian Church kata, “Para pemimpin gereja di sebuah Gereja di Switzerland tidak bermoral, tidak tahu apa-apa, dan mengamalkan kepercayaan karut.”
Maka, pada masa itu, Huldrych Zwingli mula mencari kebenaran Bible. Apa yang dia dapati? Bagaimanakah dia mengongsi apa yang dia pelajari dengan orang lain? Apakah yang kita boleh belajar daripada kehidupan dan kepercayaannya?
Pencarian Zwingli Bermula
Semasa Zwingli berusia awal 20-an, dia bertekad untuk menjadi seorang paderi Katolik. Pada masa itu, seseorang yang ingin dilantik sebagai paderi harus mempelajari falsafah dan tradisi gereja. Dia juga harus mengkaji tulisan paderi lain, tapi tidak mempelajari Bible.
Jadi, bagaimanakah Zwingli mula menemui kebenaran Bible? Kisahnya bermula di sebuah universiti di Basel, Switzerland. Ketika itu, dia menghadiri kuliah yang disampaikan oleh Thomas Wyttenbach, seorang lelaki yang mengutuk ajaran gereja mengenai amalan indulgensi. a Menurut seorang pengarang biografi, Zwingli “belajar daripada [Wyttenbach] bahawa kematian Yesus telah menebus dosa-dosa manusia.” (1 Petrus 3:18) Setelah memahami bahawa korban tebusan Yesus ialah satu-satunya cara untuk diampunkan, Zwingli segera menolak ajaran gereja yang mengatakan bahawa pengampunan dapat dibeli dengan wang. (Kisah 8:20) Walaupun begitu, Zwingli tetap meneruskan pengajiannya dan menjadi seorang paderi Katolik semasa berumur 22 tahun.
Ketika dalam lingkungan umur 20-an, dia juga mula belajar bahasa Yunani agar dapat memahami Kitab Yunani Kristian (atau Perjanjian Baharu) dalam bahasa asal. Selain itu, dia belajar daripada karya Erasmus bahawa hanya Yesus merupakan Perantara antara Tuhan dengan manusia, dan ini selaras dengan ajaran Bible. (1 Timotius 2:5) Dari saat itu, keraguan mula bertumbuh dalam fikiran Zwingli terhadap ajaran gereja Katolik, terutamanya mengenai peranan santo sebagai perantara manusia dengan Tuhan.
Kemudian, Zwingli yang sudah berumur 30-an terus mencari kebenaran Bible dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Meskipun demikian, dia masih bertugas sebagai paderi bagi pasukan tentera yang berperang di kawasan Eropah untuk menguasai Itali. Semasa pertempuran Marignano pada 1515, Zwingli melihat tentera Katolik saling membunuh sehingga ribuan yang terkorban. Beberapa tahun kemudian, Zwingli telah siap menyalin Kitab Yunani Kristian dan bahkan menghafal sebahagian besar buku itu. Pada 1519, Zwingli menetap di Zurich, iaitu tempat yang berpengaruh bagi hal politik di Switzerland. Di sana, dia telah mencapai satu kesimpulan yang penting, iaitu pihak gereja harus berhenti mengajarkan perkara yang tidak berasaskan Bible. Tetapi, bagaimanakah dia dapat membantu orang lain untuk memahami dan menyokong pandangannya ini?
“Kami Tidak Pernah Dengar Ajaran Ini”
Zwingli percaya bahawa orang ramai akan menolak ajaran yang palsu setelah mendengar kebenaran Bible. Maka, selepas dilantik sebagai paderi di gereja Grossmünster, sebuah tempat ibadat yang terkemuka di Zurich, dia dengan terus terang menyatakan rancangannya kepada ahli gereja. Dia kata bahawa dia tidak lagi akan membaca leksionari b yang sudah menjadi adat pemimpin gereja selama ratusan tahun. Sebaliknya, dia akan berkhutbah berdasarkan Bible, bab demi bab, dari mula sampai akhir. Dia tidak akan menggunakan pemahaman paderi-paderi gereja untuk menjelaskan Bible, tetapi membiarkan seluruh Bible untuk menjelaskan ajaran Tuhan. Cara dia melakukan hal ini adalah dengan menggunakan ayat-ayat Bible yang lebih mudah difahami untuk menjelaskan ayat yang lebih susah dan mendalam.—2 Timotius 3:16.
Zwingli berusaha menonjolkan bahawa nasihat Bible amat berguna dalam kehidupan. Dia juga sering mengajarkan piawaian moral Bible kepada orang ramai. Dia membantu orang faham bahawa ajaran seperti menyembah Maria, berdoa kepada santo, dan amalan indulgensi adalah salah. Dia juga mendedahkan perbuatan pemimpin gereja yang tidak bermoral. Apakah reaksi orang ramai terhadap ajarannya? Selepas mendengar khutbah pertamanya, sesetengah orang berkata, “Kami tidak pernah dengar ajaran ini.” Seorang sejarawan telah menulis catatan ini mengenai kesan ajaran Zwingli terhadap penganut agama Katolik: “Penganut yang enggan menyertai khutbah gereja kerana rasa jijik terhadap perbuatan jahat dan kebebalan paderi telah kembali ke gereja.”
Namun, pada 1522, pemimpin gereja telah mendapatkan sokongan ahli politik di Zurich untuk menyekat amalan yang bercanggahan dengan ajaran gereja. Akibatnya, Zwingli dituduh menyebarkan ajaran sesat. Oleh kerana dia enggan berganjak daripada pendiriannya, dia akhirnya berhenti menjadi paderi Katolik.
Apakah yang Dilakukan oleh Zwingli?
Walaupun dia bukan seorang paderi, dia tetap menginjil dengan giat dan mengongsi pemahamannya dengan orang lain. Hasilnya, orang mula memberikan perhatian dan Zwingli menjadi agak berpengaruh dalam kalangan ahli politik di Zurich. Dia menggunakan pengaruhnya untuk mengubah sistem agama di Zurich. Misalnya, pada 1523, dia meyakinkan pihak perundangan untuk melarang penyebaran ajaran yang tidak dapat dibuktikan daripada Bible. Pada 1524, penyembahan berhala juga dilarang di sisi undang-undang. Dengan sokongan para penginjil dan orang ramai, penguat kuasa undang-undang telah memusnahkan mazbah, patung berhala, serta gambar dan objek-objek penyembahan. Buku Zwingli—God’s Armed Prophet menyatakan, “Selain kejadian rompakan rumah ibadat oleh orang Viking, Gereja Barat tidak pernah menyaksikan pemusnahan yang diaturkan seteruk ini.” Pada 1525, atas pengaruh Zwingli, pihak berkuasa mengubah bangunan milik gereja menjadi hospital, dan mengizinkan biarawan dan biarawati untuk berkahwin. Zwingli juga mencadangkan bahawa upacara Misa digantikan dengan sambutan ringkas seperti yang dinyatakan dalam Bible. (1 Korintus 11:23-25) Menurut para sejarawan, usaha Zwingli telah menyatukan pemimpin agama dan politik di Zurich, serta menjadi asas gerakan Reformasi dan aliran Protestan.
Namun, usaha Zwingli yang paling penting merupakan kerja terjemahan Bible. Pada 1520-an, dia berganding bahu dengan sekumpulan cendekiawan untuk kerja ini. Mereka akan menggunakan Bible dalam bahasa Ibrani dan Yunani asal, serta Septuagint bahasa Yunani dan Vulgate bahasa Latin. Bagaimanakah mereka melakukan kerja terjemahan Bible? Mereka akan membaca setiap ayat dari manuskrip bahasa asal dan terjemahan lain yang terkemuka. Kemudian, mereka akan membincangkan maksud ayat itu dan menulis kesimpulan mereka. Titik peluh mereka untuk menterjemahkan Bible dan menjelaskan ajarannya telah membuahkan hasil. Pada 1531, edisi Bible Zurich dalam satu jilid telah dikeluarkan.
Meskipun Zwingli ikhlas ingin menyebarkan kebenaran, dia bersikap agresif dan tidak sudi bertoleransi dengan pandangan orang lain. Contohnya, pada 1525, dia menyertai perbicaraan ahli gereja Anabaptist, iaitu aliran Kristian yang tidak setuju dengan pemahaman Zwingli yang menyokong pembaptisan bayi. Akhirnya, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap sesiapa yang menolak ajaran pembaptisan bayi, dan Zwingli juga tidak membantah keputusan mahkamah yang kejam itu. Selain itu, Zwingli mendesak pemimpin politik untuk menggunakan kuasa tentera agar reformasi dapat dilaksanakan. Tetapi, beberapa kawasan di Switzerland yang menyokong gereja Katolik menolak reformasinya lalu tercetuslah perang sivil. Zwingli dan tentera dari Zurich telah menyertai perang tersebut. Akibatnya, Zwingli terbunuh dalam pertempuran itu semasa berusia 47 tahun.
Warisan Zwingli
Walaupun terdapat tokoh-tokoh Reformasi Protestan yang lebih terkenal seperti Martin Luther dan John Calvin, tidak dapat dinafikan bahawa Huldrych Zwingli telah memainkan peranan yang penting dalam sejarah. Berbanding Martin Luther, Zwingli lebih tegas menolak ajaran Roman Katolik. Selain itu, usaha Zwingli juga membuka jalan bagi orang untuk menerima ajaran John Calvin. Atas sebab-sebab ini, Zwingli telah diberi gelaran Tokoh Ketiga dalam Reformasi Protestan.
Meskipun tindakan Zwingli telah membawa kebaikan, penglibatannya dalam perang dan politik telah mencela reputasinya. Tindakan ini bercanggah dengan ajaran dan teladan Yesus Kristus, yang enggan terlibat dalam politik dunia dan mengajar pengikutnya untuk mengasihi musuh mereka, bukannya membunuh mereka.—Matius 5:43, 44; Yohanes 6:14, 15.
Namun, Huldrych Zwingli tetap diingati sebagai seorang pelajar Bible yang gigih dan penginjil yang giat. Dia telah berjaya menemui banyak kebenaran Bible dan juga membantu orang lain untuk berbuat demikian.
a Indulgensi (indulgence) ialah suatu perintah daripada pemimpin gereja untuk mengurangkan atau membatalkan hukuman yang akan dialami pendosa di Api Penyucian selepas dia meninggal.
b Leksionari ialah sebuah buku yang mengandungi ayat-ayat Bible terpilih dan dibacakan sepanjang tahun tersebut.