Bagaimana Mengatasi Keletihan Pandemik
Adakah perasaan takut terhadap COVID-19 membuat anda berasa letih? Jika ya, anda tidak bersendirian. Selama berbulan-bulan, orang di serata dunia terpaksa menyesuaikan kehidupan mereka di bawah ancaman pandemik ini. Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Eropah yang bernama Dr. Hans Kluge berkata, “Ramai orang telah membuat pengorbanan besar untuk mencegah penularan COVID-19. Dalam situasi seperti ini, perasaan acuh tak acuh, kurang bersemangat, dan letih, adalah perkara biasa.”
Jika anda sedang mengalami keletihan pandemik, janganlah tawar hati. Bible sedang membantu ramai orang menangani cabaran hidup pada masa yang susah ini. Bible dapat membantu anda juga.
Apakah itu keletihan pandemik?
Keletihan pandemik bukanlah suatu penyakit. Sebaliknya, istilah ini menggambarkan perasaan orang setelah mengalami pandemik ini untuk masa yang lama. Pandemik ini telah mengubah hidup mereka dan menyebabkan mereka berasa bahawa masa depan tidak menentu. Walaupun reaksi setiap orang berbeza, berikut adalah beberapa tanda keletihan pandemik:
Kurang semangat
Tabiat makan dan tidur berubah
Berasa geram
Stres semasa melakukan tugas yang biasanya senang ditangani
Susah menumpukan perhatian
Berasa tidak berdaya
Mengapakah keletihan pandemik begitu serius?
Keletihan pandemik adalah berbahaya bagi kita dan orang lain. Jika kita tidak menanganinya, kita mungkin akan beransur-ansur kehilangan semangat untuk mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID. Lama-kelamaan, kita mungkin bersikap acuh tak acuh terhadap virus itu biarpun virus itu semakin menular dan menyebabkan kematian. Kita mungkin berasa bosan kerana hidup terkongkong dan mula mencari kebebasan. Hal ini dapat membahayakan kita dan orang lain.
Pada masa yang mencabar ini, ramai orang setuju dengan ayat Bible ini: “Jika kamu tawar hati pada masa kesusahan, kekuatanmu akan berkurang.” (Amsal 24:10) Terdapat prinsip-prinsip dalam Bible yang dapat membantu kita menangani situasi yang mencabar, termasuk pandemik ini.
Apakah prinsip Bible yang dapat membantu anda mengatasi keletihan pandemik?
Kekalkan penjarakan secara fizikal, bukannya secara sosial
Bible berkata, “Sahabat sejati . . . dapat diharapkan pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17.
Mengapa penting: Sahabat sejati menguatkan kita. (1 Tesalonika 5:11) Sebaliknya, jika kita mengasingkan diri untuk masa yang lama, kita membahayakan kesihatan kita.—Amsal 18:1.
Cadangan: Teruslah berhubung dengan kawan-kawan melalui panggilan video, telefon, e-mel, atau SMS. Hubungilah mereka apabila anda susah hati dan cubalah bertanya khabar kepada mereka secara tetap. Kongsilah tip tentang apa yang sedang membantu anda menangani pandemik. Carilah peluang untuk menunjukkan kebaikan kepada kawan anda. Hasilnya, anda berdua akan berasa lebih baik.
Manfaatkan keadaan anda sekarang
Bible berkata, “Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—Efesus 5:16.
Mengapa penting: Apabila anda menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, anda dapat terus berfikiran positif dan mengelakkan kerisauan yang melampau.—Lukas 12:25.
Cadangan: Janganlah berfokus kepada apa yang anda tidak lagi dapat lakukan. Sebaliknya, cubalah memanfaatkan keadaan anda sekarang. Sebagai contoh, bolehkah anda melakukan projek atau hobi yang baharu? Bolehkah anda meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga anda?
Kekalkan rutin
Bible berkata, “Segala sesuatu haruslah berlaku dengan . . . teratur.”—1 Korintus 14:40.
Mengapa penting: Ramai orang berasa lebih stabil dan bahagia apabila mereka ada rutin harian.
Cadangan: Buatlah jadual yang sesuai dengan situasi anda sekarang. Tetapkanlah masa tertentu untuk melakukan kerja sekolah, kerja sekular, dan kerja di rumah. Tetapkanlah masa juga untuk melakukan hal-hal rohani dan menghampiri Tuhan. Jangan lupa untuk jadualkan masa bagi aktiviti-aktiviti lain yang sihat seperti meluangkan masa dengan keluarga, bersenam, dan melakukan aktiviti di luar rumah. Dari masa ke masa, periksalah jadual anda dan jika perlu, buatlah penyesuaian.
Sesuaikan diri mengikut musim
Bible berkata, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya.”—Amsal 22:3.
Mengapa penting: Di sesetengah tempat, perubahan musim mungkin mengehadkan peluang seseorang untuk menikmati udara yang segar serta cahaya matahari. Kedua-dua perkara ini adalah baik untuk kesihatan fizikal dan mental kita.
Cadangan: Jika musim sejuk sudah dekat, cubalah mengatur ruang tamu atau ruang kerja anda agar lebih banyak cahaya matahari dapat masuk. Rancanglah kegiatan di luar rumah yang masih boleh dilakukan meskipun cuaca sejuk. Jika dapat, belilah pakaian musim sejuk yang tebal agar anda dapat meluangkan lebih banyak masa di luar rumah.
Jika musim panas sudah dekat, orang akan meluangkan lebih banyak masa di luar, jadi berhati-hatilah. Rancanglah tempat yang ingin anda pergi, dan pergi ke sana apabila kurang orang.
Terus mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID
Bible berkata, “Orang bodoh bersikap cuai dan terlalu yakin.”—Amsal 14:16.
Mengapa penting: COVID-19 boleh membawa maut. Jika kita tidak berhati-hati, kita berisiko untuk dijangkiti.
Cadangan: Periksalah secara tetap arahan tempatan yang boleh dipercayai dan pastikan bahawa anda masih mematuhinya. Fikirkan bagaimana tindakan anda akan menjejaskan anda, keluarga anda, dan orang lain.
Kuatkan hubungan anda dengan Tuhan
Bible berkata, “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.”—Yakobus 4:8.
Mengapa penting: Tuhan dapat membantu anda menangani segala macam cubaan.—Yesaya 41:13.
Cadangan: Setiap hari, bacalah sebahagian daripada Firman Tuhan, iaitu Bible. Jadual pembacaan Bible ini dapat membantu anda.
Hubungilah Saksi-Saksi Yehuwa untuk mengetahui aturan perjumpaan semasa pandemik COVID-19. Sebagai contoh, di serata dunia, mereka menggunakan aplikasi persidangan video untuk mengadakan perjumpaan Kristian, acara peringatan kematian Yesus, dan konvensyen tahunan.
Ayat Bible yang dapat membantu anda menangani keletihan pandemik
Yesaya 30:15: “Jika kamu bertenang dan percaya kepada-Ku, kamu akan dikuatkan.”
Maksud: Jika kita mempercayai nasihat Tuhan, kita dapat tetap tenang ketika menghadapi masa yang susah.
Amsal 15:15: “Bagi orang yang menderita, kehidupan sentiasa dipenuhi kesengsaraan, tetapi bagi orang yang ceria, kehidupan sentiasa dipenuhi kegembiraan.”
Maksud: Apabila kita bertumpu kepada hal-hal positif, kita akan dibantu untuk berasa bahagia walaupun menghadapi kesusahan.
Amsal 14:15: “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.”
Maksud: Patuhilah langkah berjaga-jaga demi kesihatan dan janganlah berfikir bahawa amalan tersebut tidak penting.
Yesaya 33:24: “Tiada sesiapa pun di negeri itu yang akan berkata, ‘Aku sakit.’”
Maksud: Tuhan berjanji untuk mengakhiri semua penyakit.