Bagaimanakah Anda Dapat Mengawal Pengambilan Alkohol?
Ada orang yang suka minum alkohol semasa mereka rasa sunyi, bosan, atau stres. Adakah anda sedang minum lebih banyak daripada dulu? Jika ya, bagaimanakah anda dapat pastikan bahawa anda tidak menyalahgunakan alkohol atau ketagihan alkohol? Perhatikan beberapa tip yang dapat membantu anda untuk mengawal diri.
Apakah kadar peminuman yang sederhana?
Nasihat Bible: “Janganlah tergolong sebagai orang yang minum terlalu banyak wain.”—Amsal 23:20.
Fikirkan: Bible tidak melarang kita minum alkohol. (Pengkhutbah 9:7) Tetapi Bible ada sebut tentang peminuman yang sederhana, berlebihan, dan kemabukan. (Lukas 21:34; Efesus 5:18; Titus 2:3) Biarpun anda tidak minum sampai mabuk, minuman yang berlebihan akan mempengaruhi keputusan anda, hubungan anda dengan orang lain, dan kesihatan anda.—Amsal 23:29, 30.
Sesetengah pihak berkuasa ada sebut tentang pengambilan alkohol yang berisiko rendah dan berisiko tinggi. Hal ini biasanya ditentukan oleh berapa banyak seseorang minum setiap hari dan berapa hari seseorang minum dalam seminggu. a Tetapi setiap orang berbeza, maka di bawah keadaan tertentu, adalah lebih baik jika seseorang memilih untuk tidak minum. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia:
“Bahkan satu atau dua minuman alkohol dikira bahaya jika anda . . .
Memandu atau mengendalikan mesin.
Hamil atau menyusui anak.
Ambil ubat.
Mempunyai masalah kesihatan.
Tidak dapat mengawal peminuman.”
Adakah anda menyalahgunakan alkohol?
Nasihat Bible: “Marilah kita meneliti serta memeriksa kehidupan kita.”—Ratapan 3:40.
Fikirkan: Anda dapat mengelakkan pengambilan alkohol yang berlebihan jika anda sering menilai keadaan diri dan membuat perubahan yang diperlukan. Berikut ialah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa anda kurang kawalan diri:
Anda perlu minum untuk rasa gembira. Tanpa alkohol, anda tidak dapat berseronok atau relaks. Anda minum untuk tangani stres.
Anda minum lebih banyak daripada dulu. Anda lebih sering minum, minum minuman yang lebih kuat, dan anda perlu minum lebih banyak untuk merasai kesannya.
Masalah timbul di rumah dan di tempat kerja kerana tabiat peminuman anda. Sebagai contoh, biarpun tidak mampu, anda menggunakan banyak wang untuk membeli alkohol.
Anda membuat keputusan yang kurang bijak selepas minum, contohnya memandu, berenang, atau mengendalikan mesin.
Orang lain rasa bimbang tentang tabiat peminuman anda. Anda naik marah apabila ditegur dan mula membela diri. Anda cuba menyembunyikan tabiat peminuman anda dan menipu tentang jumlah alkohol yang anda minum.
Anda susah berhenti. Anda cuba untuk mengurangkan peminuman atau berhenti, tapi tidak berjaya.
Lima tip untuk membantu anda mengawal pengambilan alkohol
1. Buatlah rancangan.
Nasihat Bible: “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan.”—Amsal 21:5.
Cubalah: Tentukan hari yang anda akan minum alkohol dan hadkan jumlahnya. Pilihlah dua hari dan jangan minum pada kedua-dua hari itu.
Sebuah pusat kebajikan di U.K. menyatakan, “Dari masa ke masa, janganlah minum agar anda tidak ketagihan alkohol.”
2. Bertindaklah.
Nasihat Bible: “Selesaikanlah apa yang telah kamu mulakan.”—2 Korintus 8:11.
Cubalah: Ketahuilah standard ukuran bagi minuman beralkohol. Dengan demikian, anda akan tahu berapa banyak yang telah anda minum. Selain itu, sebagai minuman alternatif, pastikan anda mempunyai minuman tidak beralkohol yang anda gemari.
Menurut Institut Kebangsaan Penyalahgunaan Alkohol dan Alkoholisme Amerika Syarikat, “Perubahan yang kecil dapat membawa manfaat yang besar untuk menangani masalah yang disebabkan tabiat peminuman.”
3. Jangan menyerah.
Nasihat Bible: “Katakan ‘Ya’ semasa kamu bermaksud ya, dan katakan ‘Tidak’ semasa kamu bermaksud tidak.”—Yakobus 5:12.
Cubalah: Jika anda sudah merancang untuk tidak minum, bersedialah untuk menolak tawaran orang dengan sopan.
Institut Kebangsaan Penyalahgunaan Alkohol dan Alkoholisme Amerika Syarikat berkata, “Semakin cepat anda dapat menolak tawaran untuk minum minuman beralkohol, semakin kuat tekad anda untuk tidak menyerah.”
4. Tumpukan pada manfaat keputusan anda.
Nasihat Bible: “Kesudahan sesuatu perkara lebih baik daripada permulaannya.”—Pengkhutbah 7:8.
Cubalah: Senaraikan sebab mengapa anda mahu mengawal tabiat peminuman anda. Senarai anda mungkin merangkumi manfaat seperti tidur yang lebih baik, menjaga kesihatan, menjimatkan wang, dan memiliki hubungan yang lebih baik dengan orang lain. Semasa bercakap kepada orang lain tentang keputusan anda, berikanlah tumpuan kepada manfaatnya dan bukan cabaran.
5. Bergantung pada bantuan Tuhan.
Nasihat Bible: “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”—Filipi 4:13.
Cubalah: Jika anda risau tentang tabiat peminuman anda, berdoalah kepada Tuhan untuk meminta bantuan-Nya. Anda boleh berdoa untuk meminta kekuatan dan kawalan diri. b Luangkanlah masa untuk mencari nasihat yang praktikal dalam Bible. Dengan bantuan Tuhan, anda dapat mengawal tabiat peminuman anda.
a Sebagai contoh, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Masyarakat Amerika Syarikat menyatakan, “Bagi wanita, pengambilan alkohol yang berisiko tinggi ialah 4 minuman alkohol atau lebih dalam sehari atau 8 minuman alkohol atau lebih dalam seminggu. Bagi lelaki pula ialah 5 minuman alkohol atau lebih dalam sehari atau 15 atau lebih minuman alkohol dalam seminggu.” Ukuran minuman alkohol adalah berbeza dari negara ke negara. Jumpalah doktor anda untuk mengetahui apakah jumlah pengambilan alkohol yang berisiko rendah bagi anda.
b Jika anda tidak dapat mengawal tabiat peminuman anda, anda mungkin perlu mendapatkan bantuan profesional.