Lompat ke kandungan

Membawa Mesej Bible ke Kawasan Terpencil di Utara

Membawa Mesej Bible ke Kawasan Terpencil di Utara

Pada tahun 2014, Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa memberikan arahan tentang aturan baru untuk membawa mesej Bible ke kawasan terpencil di utara Eropah dan Amerika Utara. (Kisah 1:8) Dari awal lagi, aturan ini bertumpu kepada penduduk di Alaska (A.S.), Lapland (Finland), serta Nunavut dan Wilayah Barat Laut (Kanada).

Selama puluhan tahun, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengunjungi kawasan-kawasan terpencil ini untuk menginjil. Namun, kunjungan para Saksi tidak lama. Jadi, mereka hanya mengedarkan bahan bacaan Bible.

Di bawah aturan baru ini, pejabat cawangan yang menyelia kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa di kawasan terpencil di utara menjemput penginjil sepenuh masa (perintis) untuk tinggal sekurang-kurangnya tiga bulan di kawasan tertentu. Jika penduduk di sana berminat untuk belajar Bible, para penginjil boleh tinggal di situ lebih lama dan mengadakan perjumpaan umum.

Sudah tentu kawasan di Utara mempunyai cabarannya yang tersendiri. Dua orang perintis yang tinggal di California selatan dan Georgia, A.S. telah ditugaskan ke Barrow, Alaska. Semasa musim sejuk di Barrow, suhu turun serendah negatif 38 darjah Celsius (-36°F)! Walaupun demikian, dalam masa beberapa bulan setelah tiba di sana, mereka telah mengunjungi lebih kurang 95 peratus daripada rumah di bandar itu dan mengadakan empat pembelajaran Bible. Salah seorang pelajar mereka ialah seorang pemuda yang bernama John. Dia dan teman wanitanya sedang mempelajari buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? Dia mengongsi apa yang dipelajarinya dengan kawan-kawan dan rakan sekerjanya. Dia juga membaca ayat harian melalui aplikasi JW Library dalam telefon bimbitnya.

Oleh sebab tiada jalan raya, dua orang perintis perlu menaiki kapal terbang untuk pergi ke Rankin Inlet, di kawasan Nunavut, Kanada. Di kampung kecil itu mereka memulakan beberapa pembelajaran Bible. Selepas seorang lelaki menonton video Apakah yang Berlaku di Dewan Perjumpaan? dia bertanya bila Dewan Perjumpaan akan dibina di sana. Dia berkata, “Jika saya masih ada selepas kamu membinanya, saya akan datang ke perjumpaan.”

“Suhu sangat rendah dan terdapat banyak salji,” kata para perintis yang ditugaskan ke Savukoski, Finland. Di situ, jumlah rusa kutub kira-kira 10 kali ganda lebih banyak daripada jumlah penduduk. Para perintis berkata bahawa mereka telah tiba pada masa yang sesuai. Mengapa? “Kami dapat meliputi kawasan di sana dengan menyeluruh,” kata mereka. “Jalan ke perkampungan dan kawasan terpencil sentiasa dibersihkan daripada salji dan dijaga dengan baik. Oleh sebab cuaca yang sejuk, orang menghabiskan lebih banyak masa di rumah.”

Usaha untuk menyebarkan kebenaran Bible di kawasan terpencil di utara telah menarik perhatian orang. Dua orang perintis telah melawat datuk bandar bagi salah sebuah kawasan di Alaska. Kemudiannya, datuk bandar itu meletakkan satu mesej yang menggalakkan di media sosial. Dia menceritakan perbincangannya dengan para perintis dan memaparkan gambar risalah Apa Itu Kerajaan Tuhan?

Di Haines, Alaska, dua orang perintis telah mengalu-alukan kedatangan seramai lapan orang ke perjumpaan yang diadakan di perpustakaan awam. Akhbar tempatan melaporkan bahawa dua orang lelaki dari Texas dan Carolina Utara sedang menawarkan pembelajaran Bible secara individu di rumah. Laporan itu berakhir dengan pernyataan, “Layarilah jw.org untuk maklumat lanjut.”