Disatukan dalam Ikatan Kasih—Sebuah Konvensyen di Frankfurt, Jerman
“Bagaikan Kenduri Keluarga.” Itulah tajuk utama akhbar Frankfurter Rundschau. Mereka yang hadir turut bersetuju.
“Saya berasa sangat selesa bersama mereka!” kata Karla, yang berasal dari Puerto Rico.
“Saya berasa seperti melawat keluarga sendiri, cuma yang ini, keluarga di tempat yang sangat jauh,” kata Sara, dari Australia.
Apakah yang menyebabkan mereka berkata sedemikian? Konvensyen antarabangsa Saksi-Saksi Yehuwa. Konvensyen tersebut diadakan di Commerzbank-Arena di Frankfurt am Main, Jerman, pada 18 hingga 20 Julai 2014. Hampir 37,000 orang telah hadir.
Para hadirin berkumpul bersama untuk mempelajari Bible. Program konvensyen yang diadakan termasuk pembacaan Bible, nyanyian lagu, doa, dua drama, dan ceramah Bible yang menarik.
Hadirin terdiri daripada para Saksi di Jerman serta lebih daripada 3,000 hadirin dari Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, Britain, Greece, Lubnan, dan Serbia. Sebanyak 234 Saksi yang sedang melakukan khidmat khas, seperti kerja mubaligh, di 70 negara, turut hadir.
Sebahagian daripada program konvensyen disiarkan secara langsung ke 19 lokasi yang lain di Jerman, Austria, dan Switzerland menerusi siaran web. Jumlah hadirin di semua lokasi ialah 204,046 orang.
Bersatu Meskipun Berbeza
Di Frankfurt, program disampaikan dalam bahasa Inggeris, Jerman, dan Greek. Di lokasi lain, ceramah diterjemahkan secara langsung ke dalam 17 bahasa, termasuk bahasa Arab, Cina, Tamil, Turki, dan dua bahasa isyarat.
Walaupun para Saksi bertutur dalam bahasa yang berbeza dan datang dari pelbagai tempat, mereka disatukan oleh kasih. (Yohanes 13:34, 35) Mereka menganggap dan melayan semuanya sebagai keluarga sendiri.
“Kami mengalaminya sendiri bagaimana persaudaraan sedunia bersatu meskipun kami semua berbeza,” kata Tobias dari Britain.
“Saya jumpa dengan para Saksi dari lebih daripada 20 negara. Kami semua disatukan oleh kasih kepada Tuhan dan kepada satu sama lain,” kata Davianna dari Puerto Rico.
“Saya menjadi Saksi-Saksi Yehuwa di sebuah pekan yang kecil,” kata Malcom dari Australia. “Saya membaca tentang persaudaraan Kristian kita yang unik, malah melihat klip video tentangnya. Di sini, saya merasainya sendiri. Sekarang saya benar-benar memahami perasaannya untuk menjadi sebahagian daripada persaudaraan ini. Saya rasa iman saya telah diteguhkan.”
Keramahan yang Menyentuh Hati
Para Saksi dari 58 sidang di Frankfurt dan di tempat sekitarnya telah menyediakan hadiah dan hiburan bagi hadirin dari luar negara.
“Mereka sangat ramah,” kata Cynthia dari Amerika Syarikat. “Saya tidak akan melupakan kasih, kebaikan hati, dan kemurahan hati saudara saudari.”
“Terdapat banyak kasih, gelak ketawa, dan sukacita. Kami dapat belajar banyak daripada satu sama lain,” kata Simon yang tinggal di Jerman.
“Hiburan yang disediakan menunjukkan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa bukannya orang yang tidak suka bergembira. Kami suka menikmati hiburan yang sihat dan seronok,” kata Amy dari Australia.
Kenangan Manis Dibawa Bersama
Konvensyen di Frankfurt ialah salah satu daripada konvensyen antarabangsa yang diadakan di sembilan buah negara.
Apabila ditanya apa perasaannya semasa menghadiri konvensyen di Frankfurt, seorang hadirin berkata, “Bayangkan kamu berjumpa dengan seseorang, mungkin abang kandung kamu, buat kali pertama. Sebaik sahaja berjumpa dengannya, dia menyambut kamu dengan ramah dan menjemput kamu ke rumahnya. Hati kamu tentu tersentuh dan gembira. Sekarang, gandakan perasaan itu sebanyak 37,000 kali. Inilah perasaannya untuk berada di sana.”